Thursday, April 26, 2012
Kuliah Bersama Ust Nursalam al Hafiz
Sebuah mesej santapan hati.
Mengisi tembolok rasa yang beradun pasrah dan harap.
Mengenyangkan minda dengan serat ilmu dan pencerahan.
Mengasyikkan dengan kupasan bicara yang dipenuhi aroma sentimental dan emosi.
Terlalu mengujakan dengan sajian penuh ekslusif hidangan mantap bertemakan Kematian.
Dalam maudhuk yang penuh sensasi.
Hati ini hadir khusyuk meladeni bicara ini.
Di surau saya sendiri. Aura Ust Nursalam al Hafiz ini begitu membekas dihati.
Patutlah dulunya beliau diGAM dalam larangan berceramah begitu hebat dan kuat sekali, namanya terletak ditangga rangking ke ENAM penceramah yang paling ditakuti ... selepas Ust Kamal Ashaari.
Saya meniti pencerahan ini dengan hati yang basah menginsafi.
Tiada jalan lain untuk kita lari ....... Sakaratul maut hanya menanti.
Bersedia atau alpa pastinya bukan jawapan yang ideal.
Hanya rahmat dan amalan yang mampu menyelamatkan.
Dari kedahsyatan MABUK yang di pertontonkan MAUT ini. Untuk manusia yang mengerti.
Tuesday, April 10, 2012
Mesyuarat Agung Kali Ke 4 Surau Salikin
Kali pertama saya dijemput menghadiri Mesyuarat Agung Surau Salikin di taman perumahan saya setelah setahun bermukim di sini.
Perjalanan dan pengurusan aktiviti surau juga dijana dengan baik bersama keutuhan jawatankuasa surau yang saya kenali amat memberi kerjasama dan rajin.
Mampukah saya menyempurnakan amanah taklif ini ??
Doakan saya, kawan !
Saturday, April 7, 2012
Yusof Qaradhawi di Sabah

Siapakah yang tidak mengenali sosok tersohor ulamak besar dunia ini.
Seteguh namanya yang di sanjung massa dengan ketegasan ilmu bersulamkan komitmen perjuangan yang obornya tidak pernah padam dari pertuturan tokoh ulung ini yang telah beberapa kali menempah sel penjara untuk menyahut seruan nabi bagi berkata yang benar walaupun terhadap pimpinan negara yang angkuh dan salah.
Dan seutuh itu jugalah tersergam agam sebuah binaan nun jauh dipenjuru kanan peta malaysia yang memetakan pekan telupid sebagai antara titik koordinat tengah penghubung antara Kota Kinabalu dan Sandakan. Pekan kecil yang menempatkan bilangan penduduk yang kuantitinya gagal mencapai tahap bandar sekalipun dan tiada suatu keunikan pun untuk mempopularkannya dalam carta tempat pelancongan yang perlu dilawati di sabah.
Namun, entah dari siapa cadangannya dan entah dari mana ilhamnya, tiba2 terpacul signboard kukuh yang mencatatkan realiti sebuah kebenaran : MASJID JAMEK YUSUF AL QARADHAWY, Pekan Telupid.

Moga ianya mampu mengumpulkan para pencinta ilmu dari segenap pelusuk dan dimanfaatkan struktur bangunannya untuk mendaulatkan agama.
Moga ianya seindah namanya yang melakar manfaat kebaikan untuk setiap manusia yang dahagakan kebenaran.

Membelai Syukur
Hey Kawan,
Sudahkah kalian bersyukur pada tuhan hari ini ?
Apakah tanda kesyukuran itu ya, adakah anda berterima kasih dengan sepenuh jiwa buat segala rezeki dan nikmat yang dikurniakan tuhan, atau mungkin saudara kini cuba melaksanakan ketaatan dengan lebih gigih untuk membalas segala jasa sumbangan ilahi yang tidak terkira banyaknya, atau ... mungkin juga kalian telah membahagikan harta kekayaan nikmat tuhan ini untuk dikongsi bersama mereka yang kurang berkemampuan.
Atau... kalian sengaja mengangkat tangan dan senyum untuk terus membahagiakan hamba2 allah yang lain sebagai tanda kesyukuran itu atau kalian sengaja meringankan tangan dan tenaga untuk membantu dan membahu mereka yang memerlukan setiap masa.
Atau ...
Cukuplah kawan , aku tak perlu tahu apa yang kalian kerjakan. Bukankah semuanya telah dicatat malaikat tuhan untuk menjadi hujjah di akhirat nanti. Moga kita sentiasa menjadi manusia istimewa dengan pilihan tuhan untuk sentiasa bersyukur. Bukannya ramai yang terpilih untuk bersyukur ??? Bersyukurlah kita untuk terpilih menjadi pensyukur.
Tahukah kalian, Rentetan kejayaan semalam, aku terharu.
Entah dari sudut mana munculnya provokasi dalaman diri yang amat menginsafkan aku.
Berhakkah aku menerima nikmat kemenangan ?
Siapakah aku untuk diberi kemenangan ini ?
Konsistenkah amalan dan ibadatku untuk mendapat nikmat kemenangan seumpama ini ??
Aku terduduk, mataku seakan berkaca menyambut monolog ikhlas yang terzahir pada bibir munajatku lewat solat asar tempohari.
Ya Allah, aku akui kelemahanku setiap masa.
Aku malu dengan sekian banyak dosa penderhakaanku padamu tuhan saban waktu.
Aku insafi kekuranganku dalam ibadah dan amal soleh.
Aku bukanlah hamba yang terbaik. Aku hiasi diri dengan pelbagai kejahatan.
Terasa aku sememangnya tidak layak untuk menerima nikmatmu ini !
Telah pelbagai nikmat yang engkau berikan gagal aku syukuri sewajarnya.
Dan aku tak tahu bagaimanakah lagi aku mampu mensyukuri nikmat kejayaan yang telah engkau berikan ini, tuhan.
Aku menghimpun kudrat suara. Namun hampa. Hanya Hati yang mampu berbicara.
Dalam sunyi aku berseru dengan doa titipan rasul buat sahabatnya Muaz bin Jabal : Allahumma Ainni ala zikrika wasyukrika wahusni ibadatika Ya Allah.
Ya Allah, Bantulah aku untuk mengingatimu tuhan, mensyukuri nikmatmu tuhan dan tega beribadat untukmu tuhan , sepanjang hayatku ini . Amin ya Rabbal A,lamin.
Sebelum pulang dipetang hari itu, aku disapa rakan seperjuangan pengendali bola sepak sekolah En Nizar yang kini diamanahkan untuk membawa Pasukan Sekolah Alma ke pertandingan peringkat negeri. “ Ustaz, saya nak ustaz terus jadi pengurus pasukan bolasepak sekolah untuk peringkat negeri nanti ya !! Macamana ustaz boleh ke ? Apa keputusan ustaz .... “
Pertandingan bolasepak peringkat negeri pula !!?
Aku terbayang komitmenku dalam pandangan yang berbelah bahagi.
Apa seharusnya keputusan ku kawan .....??
Bolehkah kalian membantuku .
Thursday, April 5, 2012
Tuah ALMA di MTQ

MTQ SS Peringkat PPD Tengah
Venue pertandingan kali ini ialah di SMK Machang Bubuk.
Tuan rumah kepada pertandingan MTQ SS Peringkat Daerah Tengah.
Kami membawa 5 wakil bagi 6 acara yang dipertandingkan sebelum ini. Kami gagal membawa wakil dalam tilawah perempuan sahaja.
Pemenang pertandingan kali ini akan layak untuk menjadi pencabar dalam saingandi peringkat negeri nanti yang akan berlangsung pada 18 April di SMK Teluk Bahang.
Hanya Johan sahaja yang akan terpilih antara para pesaing yang bertanding.
Dengan membawa imej kemenangan gemilang sebelum ini kami bermula agak gugup di pentas masing2. Cuma yang membantu kali ini ialah angka giliran kami tidak ada seorang peserta pun yang bertuah memilih nombor SATU lagi.
Jika dahulu kami selesa menjadi pasukan tanpa nama, underdog dan bukannya pesaing selebriti. Kami kini sudah dijolok sebagai pencabar yang harus diberi perhatian. Bukan sedikit tumpuan dan perhatian yang diberikan untuk melihat momentum kemenangan tempohari bagi pasukan MTQ kami ini terus melakar tuahnya.
Teringat saya kata2 Ustaz Zahazan dalam tulisannya : Andai kamu mendengar dirimu menjadi bahan umpatan dan kata2 di BELAKANG, janganlah marah dan terganggu fokusmu memburu kejayaan , ingatlah itu adalah tanda bahawa kamu sudah jauh di HADAPAN mereka.
Pertandingan dimulakan tanpa gangguan.
Berlangsung dengan penuh debaran.
Persaingan dengan cabaran memuncak.
Memilih yang terbaik.
Menapis yang lebih sempurna.
Mencari yang lebih cemerlang.
Setengah jam kami menunggu keputusan dalam dewan. Selepas ucapan dan sedikit persembahan.
Tibalah saatnya keputusan diumumkan.
Dengan sijil dan piala yang disertakan buat para pemenang. Kami seakan tidak sabar menanti pengumuman.
Natijahnya , tahniah buat kontinjen Alma yang masih mengungguli kemenangan.
Acara Tilawah Al-Quran Lelaki :
| ||
Tempat | Nama Peserta | Nama Sekolah |
1 | Muhammad Hafiszi bin Ahmad | SMK Alma |
2 | Muhd Shahidan Mustafa | SMA DMW2 |
3 | Muhammad Ehsan Abd Latif | SM Teknik Seberang Perai |
Acara Hafazan Al-Quran Lelaki :
| ||
Tempat | Nama Peserta | Nama Sekolah |
1 | Muhd Yusryl Mohd Yusof | SMA Faqiah Daimiah |
2 | Mohd Syahmi Mohd Fauzi | SMA Al Masriyyah |
3 | Ahmad Fahim Mohd Fauzi | SMK Alma |
Acara Syarahan Spontan Lelaki :
| ||
Tempat | Nama Peserta | Nama Sekolah |
1 | Muhd Farhan Roslan | Sm Teknik seberang Perai |
2 | Mohd Syafiq Mohd Jani | SMK Alma |
3 | Mohd Arif Mohd Puad | SMK Permatang Pasir |
Nota : Perbezaan tempat pertama dan kedua hanyalah 4 mata.
Acara Tilawah Al-Quran Perempuan :
| ||
Tempat | Nama Peserta | Nama Sekolah |
1 | Nur SyahirahFatini Shaharudin | SMA Al Masriyyah |
2 | Fatin Adila Johari | SMK Guar Perahu |
3 | Nurul Amira Sulaiman | SMK Taman Inderawasih |
Acara Hafazan Al-Quran Perempuan :
| ||
Tempat | Nama Peserta | Nama Sekolah |
1 | Shakira Izzati Johari | SMK Alma |
2 | Nabila Darus | SMK Permatang Pasir |
3 | Nadirah Hanani Abd Razak | SM Sains TSSS |
Acara Tilawah Al-Quran Perempuan :
| ||
Tempat | Nama Peserta | Nama Sekolah |
1 | Siti Nur Ain | SMK Alma |
2 | Hana Shuhada Sarizat | SMK Tinggi Bkt Mertajam |
3 | Nur Atirah Abd Afuzi | SMK Taman Inderawasih |
Sunday, April 1, 2012
Dramatik Alma (5)

Hey kawan,
Debaran saspen semakin menghampiri klimaksnya.
Getaran dijantung ini seakan tidak tertahan. Kami akan dimuktamadkan melalui drama sepakan penalti yang pastinya tragik.
Penalti adalah kesudahan yang amat tragik. Ia boleh menjadi sangat sadis dengan kekecewaan dan kadang2 ianya cukup manis dengan kemenangan.
Kesudahannya ??
Jangan terburu2 kawan, ! Layanlah saspen drama ini, kawan !!
Penentuan sepakan penalty pula menjadi taruhan kami.
Sains memulakan sepakan. Kecekapan penjaga gol alma bijak menutup ruang. 4-5
Alma pula mengambil tendangan lemah. Mudah ditangkap. 4-4
Sains membuat tendangan kencang, bergaya penjaga gol alma menepisnya. 3-4
Alma mensasarkan bola ketengah gol. Ditahan kemas oleh penjaga gol. 3-3
Sains mencari penjuru kanan. Terbang penjaga gol alma menyelamatkannya. 2-3
Alma menerkam ketengah sekali lagi. Tendangannya ditutup kemas sekali lagi. 2-2
Sains membuat sepakan lagi. Penjaga gol masih mampu mampu membacanya. 1-2
Alma pula mengambil kesempatan melalui ketua pasukannya. Lemah dan ditangkap 1-1
Sains membuat sepakan terakhir kencang kearah atas disisi kiri gol. Deras dan padu. Nasib baik keeper alma masih sempat menahannya dengan sebelah tangan ke angkasa. 0-1
Peluang terakhir dari penyerang alma, debaran bertambah untuk semua penyokong alma yang kuat bersorak disisi kiri dan kanan padang yang memang dikuasai alma.
Penyerang import itu menyasarkan sepakan leret kencang kesudut bawah sebelah kiri yang akhirnya menewaskan keeper sains untuk tunduk akur pada kegamatan sorakan alma yang berjaya membelah sejarah sukan bolasepak hari itu.
Alma dinobatkan juara bolasepak zon bukit mertajam msspp petang itu.
Drama tangisan pula mengakhiri suasana, entah dari mana kelihatan kelibat pengetua, semua penolong kanan yang tiga orang itu tampil memberi tahniah, beberapa orang guru mengesat lengan bajunya, meluncur deras air mata kegembiraan dan segera membekas mata merah pada sebahagian besar pemain.
Aku terkedu. Tak percaya. Kami menang hari ini.
Menang dengan penuh dramatiknya.
Sememangnya hari ini penuh drama kan kawan !!!