Wednesday, February 20, 2013

Talak Si Mabuk 2


HUKUM TALAK SI MABUK

Frasa SI MABUK sengaja diketengahkan disini sebagai merujuk kepada situasi dan individu yang berbeza dari PEMABUK yang boleh dikategorikan sebagai seorang yang tegar dan mangli dalam penagihan alkoholik mahupun narkotik seperti ini.

Wajar juga dinyatakan disini, sumber atau media untuk mabuk mungkin bermacam bentuknya sama ada cecair seperti arak dan tapai mungkin juga serbuk seperti dadah heroin dan morfin mahupun ubatan seperti pil dan sebagainya.

Sebagaimana yang telah disepakati para ulamak, berakal dan waras adalah salah satu syarat utama bagi kesahan talak, jika seseorang didapati hilang akal seperti kurang siuman dan gila maka ucapannya tidak akan dikira dan talaknya tidak berlaku, begitu juga kepada seseorang yang hilang kesedaran akal kerana tidur dan mengigau tidak juga diiktiraf talaknya.




Adapun bagi SI MABUK yang kehilangan deria sedarnya dan terlibat dalam ucapan menjatuhkan talak kepada isterinya boleh di bahagikan hukumnya kepada dua situasi :

1) Sekiranya mabuk itu terjadi secara tidak disengajakan dan bukannya berpunca dari pelanggaran syariat islam dan pengambilan bahan-bahan yang memabukkan maka sekiranya berlaku lafaz talak ianya tidak diiktiraf.

2) Adapun jika ianya sengaja mengambil serta mengetahui bahawa sesuatu bahan itu memabukkan lantas dalam keadaan tidak sedarnya dia telah menjatuhkan talak. Maka dalam keadaan ini jumhur ulamak menyatakan jatuh talaknya sebagai satu pengajaran dan hukuman kerana dia telah memilih kemaksiatan dan jenayah dengan kerelaannya sendiri. Maka kesalahan yang dihimpunnya kesan dari mabuk itu juga terpaksa ditanggungnya sekali. Jika dia membunuh, berzina mahupun mencuri maka kesemua kesalahan itu perlu dihukum dengan hukuman yang telah ditetapkan oleh syariat kerana dia dianggap sebagai waras ketika memilih mabuk dan mengetahui implikasinya melakukan dosa.

Pandangan ini ditegaskan kebanyakan fuqaha daripada jalur aliran syafiiyyah, hanafiah, malikiah mahupun hanbaliah dan zaidiyyah bersumberkan pandangan teras dari tokoh tabien said bin musaiyyib, ata’ , mujahid , hasan al basri, ibnu sirin, sya’bie sebagaimana ianya merupakan pandangan terpilih dari saidina ali, ibnu abbas dan saidina umar.

Namun disebalik kesepakatan majority ulamak ini, terdapat juga para tokoh fuqaha yang memberikan hokum : tidak berlaku talak dan tidak diiktiraf kata-katanya sebagaimana tidak diambil kira lafaz dan ucapan orang yang gila dan tidur.

Ianya merupakan jalur fahaman bersumber dari peneroka mazhab Dzohiriah iaitu Ibnu Hazm dan juga pegangan mazhab jaafariyyah. Imam ibnu hazm menukilkan tidak jatuh talak orang yang mabuk (tanpa membezakan antara yang disengajakan atau tidak).

Namun perbahasan hukum ini menjadi semakin menarik apabila beberapa ulamak berwibawa hari ini turut mengambil sikap dan pandangan menyetujui pandangan Ibn Hazam dan lebih menyebelahi pandangan bahawa tidak jatuh talak mereka yang mabuk sama ada secara sengaja atau tidak. Antara yang meletakkan tarjih hukum kepada pandangan ini ialah Dr Abd Karim Zaidan dan Dr Wahbah Zuhaili dalam teras kitab feqah pandangan mereka.

Untuk memperhalusi perbezaan jalur pemikiran mereka, eloklah kita menelusuri sumur sumber dan hujjah yang dipegang dan dinilai kedua pandangan ini.



PERBAHASAN DALIL BAGI KEDUA PIHAK

Pandangan Jumhur

1) Amalan Para Sahabat – Tidak terlindung daripada para ulamak bahawa amalan yang tersebar dan diamalkan oleh para sahabat di zaman mereka ialah menjatuhkan hukum sah talak dan perceraian kepada mereka yang sengaja memilih mabuk sebagai pengajaran dan denda kepada mereka sebagaimana mereka menjatuhkan hukuman yang sama sebagaimana orang yang sedar jika mereka melakukan jenayah lain seperti qazaf, curi mahupun bunuh.

2) Saddu Zarai’e – Mencegah Kemungkaran daripada berlaku dan dipermainkan. Jika dibebaskan pelaku kesalahan dan dosa kerana alas an mabuk nescaya hukum tuhan seperti hudud dan qisas tidak akan terlaksana dan mencapai objektifnya kerana setiap mereka yang berkeinginan melakukan jenayah dan kesalahan mengambil keputusan untuk sengaja memabukkan diri masing-masing bagi melepaskan diri dari sabitan dosa dan jenayah.

3) Hadis Nabi “ Semua jenis talak dikira berlaku kecuali talak orang yang kurang siuman” Riwayat Bukhari dan direkodkan dalam Kitab Nailul Awtar MS235/J6.

4) Hukuman sebagai pengajaran dan denda – sebagaimana yang disepakati oleh para ulamak bahawa anak yang membunuh ayahnya tidak akan dikenakan hukuman bunuh qisas tetapi dia tetap akan terseksa untuk tidak dapat memiliki harta pesaka. Begitulah yang sepatutnya berlaku kepada para pemabuk sebagai hukuman dan peringatan kepada mereka.

Pandangan Ibnu Hazam

1) Firman Allah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ
Ayat al Quran surah annisak 43, dengan jelas menyatakan solat orang yang mabuk tidak dikira kerana mereka tidak tahu apa yang mereka ucapkan. Begitulah juga untuk setiap kata-katanya ketika mabuk tidak akan diterima sebagai rekod dan bukti menyabitkan kesalahan.

2) Dalam Sahih Bukhari meriwayatkan cerita tentang Saidina Hamzah yang didapati menyembelih 2 ekor unta milik saidina ali, maka datanglah nabi untuk menasihati dan mengadilinya tetapi didapati bapa saudaranya itu dalam keadaan mabuk. Lalu Hamzah berkata : Kamu semua adalah hamba kepada ayahku (abdul mutalib). Maka nabi pun pulang tanpa mengambil apa-apa tindakan. Jika kata-kata seperti ini diucapkan seorang yang waras kepada nabi nescaya jadilah dia seorang yang murtad dan kufur, tapi nabi tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Hamzah.

3) Amalan dan Ijtihad Sahabat – Jika dikatakan bahawa majority sahabat berpandangan sebaliknya, namun terdapat maklumat yang sah menyatakan bahawa saidina usman bin affan dalam pemerintahannya serta ibnu abbas dalam penghakimannya menyatakan tidak jatuh talak kepada pemabuk. Maka kedua hukum ini adalah patuh kepada syariah dan perlu mengikut kesesuaian masa dan tempat berdasarkan ijtihad yang muktabar.

4) Jenayah Fizikal dan bukannya dosa ucapan - Menyabitkan hukuman terhadap kesalahan jenayah bagi pemabuk tidak semestinya perlu menjatuhkan hukuman terhadap setiap kata-katanya. Ini kerana jenayah fizikal pemabuk tetap akan dikira kerana ia memberi kesan besar kepada komuniti berbanding kesan kata-katanya yang tidak akan terpakai kerana bukan bersandarkan akal yang waras dan sedar. Jenayah fizikal akan meninggalkan kesan dan takkan dapat diundurkan berbanding dosa ucapan yang tidak meninggalkan bekas dan dikira kata-kata yang tiada makna dan diiktiraf.



5) Satu kesalahan dua hukuman – Islam telah menetapkan setiap kesalahan akan dibalas dengan hukuman yang bertepatan. Kesalahan minum arak dan mabuk hukumannya ialah sebatan manakala menambahkan seksa hukuman terhadap kesalahannya dengan mengesahkan perceraiannya hanya akan menimbulkan kesan negatif dan penyeksaan kepada isteri dan keluarganya diatas kesalahan yang bukan mereka lakukan, bukan juga dengan kehendak dan kerelaan suaminya sendiri. Sesungguhnya ini akan memusnahkan sebuah perkahwinan dan mengakibatkan pengabaiaan kritikal terhadap anak-anaknya yang sememangnya bercanggah dengan kehendak syariat yang murni.

6) Mabuk yang disengajakan umpama mabuk yang tidak disengajakan – kesalahan maksiat yang dilakukan secara sengaja tetap memudaratkan kewarasannya dan hukum perlu dikira berdasarkan ucapan seorang yang kurang waras. Tiada perbezaan antara sengaja dan tidak untuk dijatuhkan hukuman sebagaimana jika seseorang terjatuh dan patah kakinya maka dia dibolehkan bersolat secara duduk sama dengan seorang yang sengaja mematahkan kakinya juga diwajibkan solat secara duduk tanpa perbezaan.

Bersambung Talak si Mabuk 3

No comments:

Post a Comment