Friday, February 15, 2013

Trauma bersahabat ?


Hey kawan,

Moga rahmat Allah sentiasa bersama kalian.

Aku menyayangi kalian kerana Allah. Aku ingin menyantuni kalian sebaik yang dianjurkan Rasulullah. Aku rela menggadaikan masa terluangku untuk bersama menyunting silaturahim agar kekal berseri dijambangan ukhuwwah, bukankah SILATURRAHIM ini penyubur perpaduan dan evidens akhlak mulia yang bersemi di sanubari jiwa.

Tapi Kawan,

Hati aku terasa pilu.

Mudahnya goresan sedih ini mencalarkan gebu ceria syawalku.

Kilatan permukaan perasaan yang sekian lama telah ku polish dan gilapkan sepanjang Ramadhan yang lalu kini semakin kabur dipuput kabut dan debu perjalanan ini.

Coretan khilaf pantas menampal di cerminan rasa. Aku terkedu langsung terkilan.

Kawan,

Maafkan aku untuk berkongsi rasa.

Sesak juga rasanya bila diterjah teguran. Kedu membalut rasa.

Aku bukan seorang yang sering on-line. Mungkin selepas 3-4 hari, baru aku punya masa untuk mengunjungi teratak maya ku ini. Rutinku memaksa aku begini. Namun, cukuplah aku katakan aku  sememangnya selesa begini.

Kerana itu aku tidak memilih method social seperti facebook, twitter dan lain-lainnya sebagai medium berhubung. Aku takut aku tak punya masa dan kesempatan berbalas salam dan sapaan. Kalau sekadar senyum, aku tak kisah ….. aku kan sentiasa senyum untuk kalian.

Aku juga bimbang ianya akan mempengaruhi dan memberi kesan kepada rutin kehidupanku nanti yang akan sentiasa terkejar2 dengan sesuatu yang bersifat HAJIYAT semata2. Justeru, aku senang memilih wacana kurang popular seperti blog ini untuk berbicara dan menyatakan …. Aku masih update bermakna aku masih hidup.

Aaah, itulah pilihan mediumku buat setakat ini. Mungkin di kemudian hari nanti ia akan berubah.

Tapi senyumku kawan tak selebar dulu.

Hari ini aku diterjah rambang diruangan komen.

Oleh seseorang yang amat akrab, kerana itu mungkin ianya melestarikan nick name TEMAN yang sentiasa 
lebih rapat dan intim dari kawan bukan.

TEMANku menulis : ZIARAHLAH DAN HUBUNGILAH TEMAN2 ANDA, JANGAN ASYIK BERTAZKIRAH SAHAJA. BUKANKAH ITUPUN AJARAN NABI JUGA.

Terima kasih teman, atas ingatanmu.

Ingatan yang cukup tulus dan baik ….. maklumlah datangnya dari TEMAN yang ikhlas sehingga segan untuk bermadah salam dan menyatakan identity. Bukankah menyatakan identity juga adalah sunnah nabi yang cukup anti kepada orang yang hanya ingin bersembunyi disebalik nama Ana, Ana, Ana ….. Man Ana ?????



Justeru, aku tidak ingin tersinggung dengan teguran.

Cuma aku tersentuh kiranya aku sebenarnya, memang telah menyakiti dan mengabaikan ramai kawan2ku diluar sana. Seakan aku terpetik suis automatic untuk membayangkan slide wajah kawan2 yang mencetuskan ceria dalam hidupku ….

Aku terbayang taulan seperjuanganku dibumi syam dahulu.

Aku terkenang rakan sepengajianku di maahad muhammadi sebelum itu,

Aku tersilau cerminan wajah sahabat2 pemuda di bumi bawah bayu dahulu,

Aku terimbau figura teman sepasukan di pulau mutiara ini yang menunjangi aktiviti dakwah pelajar dan 
pengajian berguru, juga rakan sepemuda yang baru sepekan ku kenali,

Aku tertoleh ke memori imej anak2 didik balkis dan bakti yang kini bertaburan meneruskan nafas perjuangan,

Aku terenung dengan imbasan watak sahabat kesarjanaan yang menghuni teratak kuin sekarang ini,

Aaah, siapakah gerangan engkau wahai teman yang telah aku calari susilaku …

Aku buntu !!


Dalam kehairanan aku bertafakur, mengamati salah dan bodohku, berkumat –kamit aku hitungkan keburukanku…. Aku sememangnya bukan manusia sempurna.

Maafkan aku duhai teman…..

Tanpa sedar, aku mula bersetuju dengan pandangan al Imam al Ghazali ketika beliau mengupas tajuk uzlahnya di lembaran bukunya Minhajul abidin ila jannati rabbil alamin, untuk menuju jalan selamat …. Ke teratak kasih ar Rahman, ambillah jalan yang menjauhi massa, elaklah untuk berterusan menggauli manusia, sesungguhnya ramai manusia dan rakan itu akan melalaikan diri dari ibadah dan mengingati allah, manusia juga punca kerosakan hati dan diri, pujian manusia adalah pemusnah, penghormatan mereka adalah hamparan untuk riak dan bangga diri, apatah lagi ianya juga sumber kesedihan dan kepedihan …. Bukankah kita akan terasa lebih sakit bila ditegur dan dimarahi oleh orang yang kita lebih sayangi berbanding orang yang tidak kita kenali ??

Maknanya : semakin ramai TEMAN dan KAWAN , kita bisa disakiti berulang kali , bahkan bisanya lebih pedih menyengat ulu hati.

Benar juga petikan ucapan yang terhambur dari bibir DR Zulkifli al Bakri pada perhimpunan Guru Mursyid kebangsaan di IAB, Genting tempohari, Buku adalah sebaik2 rakan dan ianya tidak akan sekali2 menyakiti mu, pilih dan berpadalah dalam berkawan, kerana kawan bukan semuanya akan menguntungkan diri dan maruah agamamu, bahkan ramai kawan yang sebenarnya tidak engkau perlukan sama sekali….

Atau , mungkin juga ayat al quran yang membisikkan makna : Para pencinta, rakan taulan yang berkasih saying dan berkenalan di dunia ini suatu hari nanti akan saling bermusuhan di hari akhirat nanti kecuali lah mereka yang benar2 bertakwa dan memilih berkasih hanya untuk Allah dan agamanya.

Aaah, aku ingin berada dikelompok suram ini, dalam kelompok bak melukut ditepi gantang, tanpa perlu didendang di mata manusia, biarlah amal dan bakti menjadi wira dicakna malaikat pencatatnya.

Terima kasih teman atas teguran.

Aku tidak ingin tersinggung lagi.



Dan tatkala engkau datang lagi selepas sekian lama menyepi sejak syawal dahulu dan berkata dengan mengharmonikan nick name baru iaitu KAWAN, aku tahu engkau TEMANku yang sama.

KAWAN pun berkata : bila nak ziarah dan jemput kawan kawan mai rumah, janganlah kedekut sangat.

Aku tersenyum dan berterima kasih atas ingatanmu.

Jika engkau pun kawanku, jemputlah ke rumahku tanpa perlu diundang.

Pasti engkau sudah tahu jalan dan lorongnya kan.

Atau sebagai kawan dan teman, hantarkan lah suaramu ke corong telefonku bertanya khabar dan salam, aku pasti menyantuni mu. Takkan engkau tidak tahu nombor telefonku kan ??

Dan alangkah baiknya kalau engkau tanggalkan seketika topeng zorro nick name mu untuk sekurang2nya aku mampu menatap ceria ikhlas wajahmu. Dan aduhai malangnya kalau tidak, dapat juga aku jemput dalam kenduri sulung dirumahku pada 23 Disember yang lalu. Kenduri meraikan rakan sekejirananku di bertam putra ini, juga buat mensyukuri kedua anakku yang Berjaya khatam bacaan al-quran kali pertama mereka, juga buat meniup semangat buat anak sulungku Anas yang Berjaya melanjutkan pelajaran di asrama penuh, SMKA al Masyhur lelaki sana … juga buat memohon keberkatan dan keamanan pada kediamanku agar dapat dimanfaat dan bermanfaatkan.

Apapun, terima kasih buat TEMAN ataupun KAWAN atau SESIAPA pun dirimu yang ku kenali.

No comments:

Post a Comment