Thursday, February 21, 2013

Talak Si Mabuk 3


Pandangan Pilihan

Meletakkan pandangan pilihan merupakan sesuatu yang agak sukar kepada para pengkaji hukum yang baru seperti kita, apatah lagi apabila kita berdepan dengan dua pandangan yang berbeza dengan hujjah yang kuat dan logic berdasarkan kepatuhan pada syariah.

Memilih majority dengan pakej dua dalam satu iaitu hukuman serta pengajaran dikira wajar untuk mencegah sikap lewa dan tidak acuh para pemabuk supaya bersikap bijak dan menolak maksiat dari memusnahkan kehidupannya.

Namun zaman globalisasi kini yang mencetuskan fenomena kurang kepedulian dalam agama dan pengabaiaan tanggungjawab dalam keluarga memangkinkan lagi banyak kesan buruk terhadap masa depan generasi muslim, apatah lagi keruntuhan institusi kekeluargaan menyaksikan beban kebejatan social semakin berat untuk dijunjung dan ditangani. Oleh kerana itulah, factor yang boleh mempermudahkan perceraian seperti ini patut dinilai semula.

Mengutamakan keutuhan rumahtangga patut dijadikan sandaran utama kepada pemilihan qadhi untuk menjatuhkan hukuman, contohnya jika si pesalah ternyata terkhilaf cakap dalam mabuknya dan ianya jelas terpamer rona kesal dan sesal di wajahnya serta seisi keluarga yang menyayanginya kaget terperanjat dijatuh talak tanpa sedar sebegini perlulah dinilai tidak sah demi kemaslahatan keluarga.

Adapun bagi pesalah yang sengaja mencabar kewibawaan agama dengan berulangkali  melafazkan noda sama tanpa endah menginsafi serta terlibat pula dalam penderaan fizikal terhadap isteri atau keluarganya, maka seeloknya dinilai jatuh untuk menyelamatkan keluarganya yang nyata tidak bersalah dan perlu dibebaskan dari kerakusan tolol suami pemabuk.

Mungkin juga boleh dijadikan suatu informasi yang berguna kepada kita dan ia juga diguna pakai dalam enakmen undang-undang keluarga di Syiria dan Mesir yang menoktahkan Undang-Undang Bilangan 25 Tahun 1929 di Mesir contohnya menyatakan : Tidak dikira talak yang dilafazkan orang yang mabuk, sebagaimana undang-undang keluarga syiria bilangan 89 menyatakan : tidak jatuh talak yang dilafazkan orang mabuk, orang yang hilang kewarasan kerana marah, panic dan sebagainya juga orang yang dipaksa.

Rujukan :
1. FIQH ISLAMI WA ADILLATUHU – DR. WAHBAH ZUHAILI , DAR FIKR, DAMASCUC SYIRIA, CETAKAN KETIGA TAHUN 1989, JILID 6 MS 366

2. FEQAH MANHAJI ALA MAZAHIB IMAM SYAFEI – DR MUSTAFA BUGHA DAN RAKAN,  DAR QALAM DAMASCUS, CETAKAN KEDUA TAHUN 1996, JILID 2 MS 125

3. AL MUFASSAL FI AHKAMIL MAR’AH WAL BAITUL MUSLIM – DR ABD KARIM ZAIDAN , MUASSASAH RISALAH, BEIRUT LUBNAN, CETAKAN KEDUA 1994, JILID 7 MS 368-373

4. KITABUL FIQH ALA MAZAHIBIL ARBA’AH – ABD RAHMAN AL JAZIRI ,DAR KUTUBIL ILMIYYAH, BEIRUT LUBNAN ,CETAKAN PERTAMA TAHUN 1990,  JILID 4 MS 250 -253

5. FATAWA MUASARAH , DR YUSUF AL QARADAWIY

6. FATHUL BARI SYARAH SAHIH AL BUKHARI.

No comments:

Post a Comment