Friday, June 18, 2010

Ceramah Palestin di Surau Flat Persekutuan Likas

Berteduh dibawah lembayung kasih ilahi, terasa nyamannya udara yang memupuk kesegaran rasa dan hati.

Kunjungan bermakna ke sabah ini terasa makin berseri dengan perjumpaan dan agenda ziarah yang telah dihitung atur lebih awal. Namun kelewatan saya untuk tiba ekoran masalah tiket tempohari sememangnya telah merencat hampir 40 peratus semangat dan motivasi musafir saya. Bayangkan kelewatan itu sebenarnya telah merenggut 2 program besar yang sememangnya saya amat ingin menghadirinya. Satunya ialah Program kepimpinan persatuan pelajar BALKIS yang menghimpunkan ramai anak didik saya dan keduanya slot tazkirah di surau flat yang saya pernah menjadi pengerusi dan imamnya.

Keduanya seolah terlepas dari genggaman harap ini, lalu terus kedalam perencanaan takdir ilahi yang lebih berhikmah.

Namun Alhamdulillah, walau kepulangan saya hanya seketika dan terlewat pula dari jangkaan. Para sahabat masih mampu dan tega melaksanakan program secara bergotong royong menghimpun hadirin yang tidak bercuti, menghebah berita ceramah, menyiapkan tugasan masakan, mengitar semula keceriaan dan akhirnya bersama menghadirinya pada malam penuh makna tersebut.

Tanggal 12 Jun saya diberi izin bercakap semula dihadapan hadirin sahabat lama, bertukar berita dan cerita sambil diselitkan sedikit sebanyak pengajaran dan prinsip sikap yang perlu diambil seorang muslim dalam isu palestin.

Kehadiran yang cukup baik dan bererti, menghimpunkan sahabat2 ditaman lama saya YAKIM JAYA, kawasan sekitar FLAT dan juga di area LIKAS ini, mereka datang bersama keluarga yang memudahkan saya mengikat semula memori lama kenangan ini satu persatu dan seterusnya mengubat rindu dan silaturrahim ini. Hampir 40 orang yang menyambut kehadiran saya disini dengan penuh erti ukhuwwah dan persaudaraan islam.

Setelah usai tazkirah, kami selitkan doa bersama dalam solat hajat penuh khusyuk mengimpikan bantuan yang maha kuasa mempermudahkan segala urusan dan menguraikan segala kekusustan.

Seperti biasa kami akhirinya dengan bersila menghadap makanan penuh nikmat, mensyukuri pertemuan dan bersantai bertukar cerita.

Sungguh, terasa saya masih disana, menjadi pengerusi dan imam, bertemu dan bersua, berjemaah dan membaca yasin, saling tak tumpah seperti tahun2 sebelumnya. Langsung tidak terasa saya sudah meninggalkan mihrabnya hamper 6 bulan yang lalu.

Baunya, pemandangannya, susun atur perabutnya, sejadahnya, mikrofonnya dan para sahabat yang berjemaah bersama adalah rakan tetamu rumah allah yang sama, yang membawa mesej dan sikap yang sama, berjemaah dan berkasih kerana allah.

Moga allah menghimpun kita dibawah naungannya di mahsyar nanti.







No comments:

Post a Comment