Wednesday, November 24, 2010

Praktikal Sembelihan 2


Solat raya dipagi itu tenang dan damai.

Sepi dari dentuman guruh dan panahan halintar silih berganti dalam tugasan setianya sejak 2 minggu lalu.

Tenang juga dari butiran halus air hujan yang sentiasa mencurah basah.

Damai jua dari hambatan angin ribut yang meniupkan hawa panasnya.

Lembut dengan belaian keinsafan yang dituturkan Khatib di Masjid Tandop, Alor Setar itu merembes dari perdu minbar yang berjasa ke telinga dan hati jemaah yang menjamahnya.

Usainya solat kami berhimpun lagi di Taman Desa Kamela, berhimpun untuk melunasi tuntutan ibadah tanda pengabdian diri pada yang esa.

Menunggu untuk melaksanakan ibadah korban bersama Ibu Mertua saya dipagi itu. Setelah terlebih dahulu bertamu beberapa minit dirumah kenalan ibu mertua, halaman taman sudah mula dipenuhi oleh khalayak masyarakat yang sama2 berpartisipasi dalam majlis korban pagi itu.

Tak perlu menunggu lama, pemilik lembu terus membuat akad bersama para peserta korban. 2 ekor lembu akan ditumbangkan pagi itu.

Setelah berlalu ½ jam, lembu masih gagah berdiri. Meragut rumput semahunya ditepian kakinya.
Tali hidungnya belum terusik dan lembu masih mampu melenguh riang walau sesekali disentuh singgung oleh bebudak comel berbaju raya yang begitu seronok mengelilinginya.

15 minit pula berlalu, lembu semakin ceria memperagakan susuk tubuh mungilnya manakala kawanan budak mula rimas dengan gigitan sang aedes.

Saya yang bersama dipagi itu mendukung anak kecil dan bersembang sahaja bersama dengan adik2 ipar saya dan ibu mertua saya tiba2 didatangi seorang ahli surau berdekatan.

Ni, ustaz kan…., diaorang cakap ustaz pandai sembelih. Kita sedang tunggu penyembelih ni, tapi dia ada turn ditempat lain dulu barulah akan ke mari. Kalau ustaz tak keberatan, bolehlah tolong sembelihkan…. Katanya penuh adab dan berbahasa.

Senyum saya mendengar permintaannya. Tapi saying, bab menyembelih ini bukan kepakaran saya. Terasa kesal disudut hati ini kerana belum dapat menguasainya.

Sejarah saya 9 tahun bersama dengan pemuda islam di Sabah, kami berjaya melaksanakan pelbagai program yang kami serikan dengan aktiviti korban dan akikah.
Teringat saya, seawal tahun 2001 kami bertamu didada bidang bumi sabah, kalimah korban dan penyembelihan lembu sesungguhnya amat asing dibumi ini.

Tahun tersebut memperlihatkan aktiviti hari raya haji hanya disambut dengan solat raya dan sedikit ziarah. Tiada acara korban dan tiada juga pembahagian dagingnya.

Seingat saya, acara korban yang ingin dilaksanakan pun perlu dibuat di pusat ternakan dan tempat sembelihan itu sendiri iaitu di KG NYARIS-NYARIS, Membakut yang lokasinya lebih 90 km dari Kota Kinabalu. Daging yang selesai dilapah, barulah akan diagihkan kepada ahli dan rangkaian masyarakat yang terdekat.


Masjid2 yang tersergam indah tika itu disini seolah2 belum lagi berjaya membudayakan amalan dan acara korban sebegini dalam masyarakat. Namun akhirnya, dewasa kini setiap masjid bahkan surau kecil disana sekalipun sudah mampu berlumba dan mempraktikkan amali korban ini menjadi budaya islam yang dipertahankan.

Tapi sedihnya, jika tahun 2001 dahulu harga seekor lembu hanyalah sekitar RM 1500 dan seorang peserta sudah boleh mengikuti korban hanya dengan purata harga RM 210. Tapi kini seekor lembu di Sabah yang cukup umur dan sedia disembelih berharga di paras RM 2000 ke atas yang menjadikan purata harga seorang peserta ialah RM 350-400 beserta sedikit tambahan untuk kenduri dan gotong royong.

Dan sayu juga bila ada kawan saya melaporkan, ada acara korban yang tidak mampu dilaksanakan di sesetengah kawasan ekoran kekeurangan peserta hasil lambungan harga lembu yang meningkat tinggi.

Dan sepanjang nostalgia kembara pengalaman itu, saya sempat diberi peluang menyempurnakan penyembelihan seekor lembu dalam acara KORBAN PERDANA anjuran gabungan SMP dan SM Teknik Likas.

Alhamdulillah, lembunya mati dan syarat penyembelihannya sah. Terasa masih darah merah dan pekat menyembur hangat pergelangan tangan saya yang masih memegang erat hulu parang yang tajam itu. Terasa mengalirnya tanda rahmat dan permohonan moga dosa kita juga mengalir keluar sebagaimana darah tersebut.

Tersenyum puas saya melihatnya, pantas saya menoleh ke sisi. Sahabat dan juga mentor sembelih saya, Cikgu Mat Zuki mengangguk tanda puas hati dan berjaya.


Beliaulah sebenarnya tukang sembelih yang menjadi pakar rujukan untuk kami di sekitar Kota Kinabalu dalam bidang ini. Menjadi antara tempahan awal untuk acara korban di komuniti berdekatan dan beliaulah juga yang cuba untuk memprogramkan para sahabat untuk berani memegang dan mengasah pisau memotong sendiri lembu korban yang ada.

Namun tak ramai yang berani dan sanggup.

Tak ramai yang sudi dan mengangguk.

Dan kini, harapan tinggal harapan.

Saya tersenyum entah dari siapa yang mencadangkan nama saya dipagi itu.

Mungkin nama arwah bapa mertua saya yang juga merupakan pakar sembelih di daerah tersebut yang melonjakkan saham nama saya ke bursa harapan penduduk, sayangnya AYAH tak sempat menitipkan azimat dan petua sembelihan secara serius kepada saya, ilmunya tak sempat diperturunkan, kepakarannya bersemadi bersama lahad yang bernisan.

Maafkan saya pak cik, saya tak boleh. Saya belum berani dan bersedia untuk tugasan ini. Insya allah di lain kali. Kata saya menghampakan harapannya.

15 minit kemudian, akhirnya datanglah Pak Cik Man, tukang sembelih di kampong itu, namun memandangkan hanya satu yang sempat direbahkan, beliau melunasi amanahnya dengan menyembelih seekor sahaja lembu terlebih dahulu.

Tugasannya dituntut ditempat lain seusai itu. Segera.

40 minit dan sesudah selesai melapah lembu yang pertama, barulah beliau datang sekali lagi menyempurnakan tugasan yang berbaki.

Sedih …. Kecewa …..Malu……. dan Geram ……

Itulah perasaan saya terhadap kelemahan diri ini. Tatkala tuntutan masyarakat amat perlu dan berhajat. Saya dan para ustaz yang berkelayakan, masih mampu berteleku lutut.

Insya allah, satu hari saya mesti lakukannya !!

No comments:

Post a Comment