Thursday, July 21, 2011

Kenangan Sabah

Kala ini, saya sering mencari ruang sepicing cuma untuk berehat.

Dengan kestabilan urusan peribadi yang belum konsisten, saya sering dihimpit antara mengutamakan privasi keperibadian ataupun memenuhi tuntutan komuniti yang menjemput minta diisi gelas jiwa yang hauskan ilmu.

Kebanyakannya saya penuhi hingga menjadikan kelelahan dan kelenguhan minda dan badan saling menyapa berselirat di saraf deria saya. Dunia seakan menghambat masa saya, berkejaran memenuhi jemputan dalam ruangan masa yang terbatas dan rengekan anak minta dimanjakan dan diberi perhatian, namun begitu, jiwa terasa bermakna dan masa seperti diberkati.

Dengan hidangan komuniti audiens yang berkuantiti baik, kepelbagaian jalur pemikiran dan kedewasaan minda memberikan saya keseronokan berkongsi idea dan ilmu, mungkin saya terusik dengan suasana ilmu yang mekar di pulau mutiara ini, sesuatu yang jarang saya nikmatinya dahulu walau pernah mencuba. Terkenang kala masih dipupuk bayu di sebuah pekan bernama Kinabalu, mengumpul khalayak untuk berjemaah dan menuntun tangga masjid lebih sukar bagi saya daripada mengulit ceramah agama itu sendiri. Kehadirannya sama dan komitmennya juga sama walau sudah diacah dengan pelbagai azam dan semangat. Mungkin saya belum gigih mencuba dahulunya.

Tersentuh saya bila sempat menatap bicara hati seorang rakan sejawat saya ABU NUHA yang kaya dengan pengalaman dakwahnya di Sabah berkongsi rasa, bernada memujuk dan memintal perubahan. Terasa saya berada di sisinya kala itu.


Suatu ketika, saya bersama kawan-kawan tiba di satu lokasi @ masjid untuk mengisi program yang sudah diatur bersama.

Kepada penganjur, saya ada mencadangkan agar maklumat program diumumkan sebelum azan solat jumaat kerana ceramah dijadualkan pada malamnya nanti. Setiba kami jam 6.40 petang, masjid yang cantik ini masih bergelap walaupun waktu maghrib sudah masuk hampir 10 minit lalu.

Tiada kelibat imam, bilal atau jamaah masjid kecuali setelah jam 6.45 petang. Imam datang relaks menemui saya sambil jarinya menyepit sebatang rokok yang berasap. “Hari inikah ustaz datang? Kami ingatkan semalam. Hari ni tiada orang ustaz.. kalau semalam ustaz datang memang ramai”, saya terpaksa menerima hakikat mereka tersalah informasi antara ‘malam jumaat’ dengan ‘jumaat malam’ walaupun saya telah jelaskan agar iklankan program sebelum azan jumaat. Walaubagaimanapun, saya kesal melihat masjid terbiar lengang. Ertinya kalau tiada program khas, tiadalah jamaah, padahal solat berjamaah itulah programnya.

Selepas solat maghrib berjamaah bersama mereka – semua sekali lima orang -, kami bergerak perlahan-lahan menaiki kereta, melalui kepekatan malam di beberapa buah kampung berhampiran. Kami melimpasi beberapa masjid dan surau yang berstatus sama – hampir kosong, hampir tiada jamaah berada di dalamnya kecuali seorang dua. Di satu sisi, kami bertembung beberapa kali anak-anak muda yang melepak dalam samar kegelapan itu, mereka tersilau dengan cahaya lampu kereta yang saya pandu.

Pada mulanya saya fikir orang-orang kampung di sini barangkali lebih selesa berada di rumah masing-masing bersama keluarga memandangkan suasana yang sunyi sepi walaupun jam baru menunjukkan sekitar jam 7 malam (awal maghrib). Tetapi apabila tiba di kawasan pekan, kami melihat ratusan orang (kalaupun tidak ribuan) memenuhi kawasan gerai-gerai makan. Ada menu sayap ayam, sate, dan bermacam-macam lagi. “Oh, di sini mereka berjamaah!”, saya menyimpulkan pemandangan kami saat waktu menghampiri isyak.

Wahai umat islam, wahai para pendakwah, wahai para ustaz ustazah, wahai para imam, rupanya tugas kita masih banyak lagi. Bukannya tugas belum selesai, tetapi mungkin belum bermula. Saya bimbang kalau ombak kuat menerjang kawasan gerai berkenaan, menghanyutkan manusia yang hanyut dengan dunianya.

No comments:

Post a Comment