Monday, July 25, 2011

Kualiti Masa



Lengang masa cuti di hari Ahad ini dapat saya manfaatkan untuk berehat dan bersantai bersama keluarga.

Dapat juga saya melunjurkan saraf yang dikekang sibuk sepanjang minggu. Hambatan masa yang begitu laju memaksa saya memerah keringat fizikal serta mental untuk kekal focus dan mempunyai upaya untuk terus bekerja dan beramal.

Rasa lenguh dibadan dan kini mulai mesra menjengah kepala, saya lunaskan dengan berehat seharian, jadual hujung minggu kali ini tidak bertanda di takwim saya. Ianya bermaksud saya bebas seharian menjalankan aktiviti keluarga di hujung minggu yang sentiasa cemburu.

Ketika jendela masa sudah menuju ke penghujung usia senja. Saya senang melayari berita awam di internet. Sesekali menjenguk teratak rakan lama mendengar celoteh dan nasihat mereka. Sekadar menjengah maklumat khabar mereka agar sentiasa diulit bahagia, hati terasa tenang bila kebahagian selalu menemani mereka. Kekadang saya meninjau fenomena isu semasa melalui perspektif khalayak kebanyakan. Mengintai respon dan mengulit denyut nadi masyarakat marhaen berbicara sentiasa mencuit rasa simpati, prihatin dan cakna.

Namun sebagai pemerhati, ulasan dan komentar massa ini senantiasa dijolok emosi dan terhakis etika. Kata yang kurang enak dengan semburan tuduhan yang entah beralasan kukuh atau sebaliknya sedikit sebanyak mencuak saya, dengan limpahan maklumat dalam banjiran arus majority sebegini belum tentu menjanjikan kebenaran, meneliti hujah dan berwaspasa menilai adalah jalan terbaik menghadam isu semasa sebegini agar tidak segera melatah dan malu tersalah.

Ketika jam sudah berputar ke angka 7.15 petang, memori saya dikejutkan impuls sebuah data lama.

Bukankah malam ini ada ceramah Ustaz Azhar Idrus di Masjid Takwa, Bertam Indah.

Membuak hati saya untuk turut sama menjadi antara penonton mutiara ilmunya. Sebelum ini, saya hanya mendengar bicara ilmunya lewat fanatic rakan yang begitu menyanjungi dan menyayanginya. Terasa elok juga saya merasa nikmat bersimpuh mendengar ilmu sebegini setelah sekian lama duduk berkerusi di meja penceramah.

Saya bergegas menyiapkan diri sambil sempat menitip salam dan memaklum keizinan kepada isteri saya yang kehairanan dengan tingkah saya. Sememangnya dia amat memahami.

Memandu dijalan yang mulai diselimuti gelap menjadikan kita lebih focus dan memegang perhatian untuk tidak tersasar agakan. Sinar neon jalanan yang malap banyak membantu.

Namun tiba2, hati saya diserkup sayu ....

Hiba mencengkam diri.

Pilu menjengah perdu jiwa...

Terbayang wajah anak2 yang ceria dan aktif beraksi dan berbicara. Anak2 yang sentiasa saya tinggalkan berhimpun dibalik penjuru rumah. Anak2 yang tak lekang bertanya soalan yang hamper sama tatkala melihat saya sudah bersiap ikatan serban dan jubah, .... Abah nak pergi mana ?? Abah nak pergi masjid ke ??

Walaupun mereka sudah lali dan masak dengan jawapannya... hati mulus dan tulus mereka terus menginginkan pertanyaan dan reaksi saya.

Kekadang, mereka serentak berkata .... abah, boleh ke kami ikut ??

Dalam nipis kabus malam minggu itu saya teringat lagi. Isteri tercinta saya membuka cerita, usai kepulangan dari satu tugasan dakwah sebelah malamnya...

Anak2 terasa kehilangan abahnya.... Sibuk abahnya belum mampu mereka mengerti dengan akal kecil mereka. Hingga ada diantara mereka bertanya, adakah kehidupan kita dipulau mutiara ini semakin gawat, bebanan kewangan keluarga semakin mencengkam dan menghimpit. Miskinkah kita mama ?? Sampai abah terpaksa mencari duit hingga ke tengah malam. Betulkah sekarang kita amat memerlukan duit, mama ??

Hati saya yang berkaca di malam itu, terasa seperti ingin memutar stereng untuk u-turn segera ke rumah. Mendakap dan menjamah panahan mata setiap anak dengan limpahan kasih seorang ayah. Ayah yang waktunya kekadang tercuri di arena dakwah. Ketahuilah, abahmu ini menghilang bukannya kerana hauskan duit dan habuan !!

Tatkala berkongsi cerita dengan rakan saya, dia mengakui fenomena yang sama dan lantas dia tersenyum menyatakan, nasib baik anak anta belum bijak berkata begini : Mama, berapakah wang yang ayah dapat setiap malam keluar berceramah ? Kalau saya ada duit, saya nak bayar harga tersebut supaya ayah dapat kekal bersama kita semalaman. Ucapan ikhlas dan santainya bagaikan sembilu menikam saya .... terasa seakan tanggungjawab saya seakan terabai seketika.

Kerana itulah, kita para pendakwah perlu mempunyai masa berkualiti bersama keluarga, biarpun hanya beberapa jam Cuma, namun pastikan ianya kita khususkan buat anak2 kita sepenuhnya, beri focus dan perhatian untuk mereka, meladeni karenah dan soalan mereka tanpa perlu bersibuk dengan laptop kerja atau membaca atau melayari internet. Insya allah, kualiti masa sebegini akan sentiasa diingati anak2 dan dihargai.

Malam itu, lebih 8000 pengunjung yang memenuhi perkarangan Masjid Takwa, limpahan manusia ini memaksa pengurusan menyediakan skrin besar diluar masjid dengan khemah yang sudah sedia terpasang.

Lautan manusiawi ini mengiktiraf keilmuan dan kewarakan seorang guru. Moga Allah merahmati. Dan malam itu sememangnya banyak yang dapat saya pelajari dan fahami.

No comments:

Post a Comment