Saturday, July 2, 2011

Lelaki Baca Novel ??

Masih terngiang soalan cepumas dari rakan sejawat saya tempohari.

Terasa pijar seketika ruangan memori seperti ada sesuatu yang terbakar.

Aliran emosi juga seperti tertahan dan tersumbat tanpa setia mengalir tenang seperti biasa.

Susahkah hendak membaca ?? Apakah perlu ada seribu alasan untuk mencipta bahagia demi kepuasan menutup segala kelemahan sendiri. Kekurangan lewat minat yang tidak terasuh dan kemalasan mengasah minda kritis untuk mengempur segala maklumat dan informasi baru adalah jawapan kepada segala alasan tiada masa membaca.

Maka akan terciptalah seribu kepayahan untuk membaca yang merupakan jambatan ilmu yang terulung ini.

Benar juga kiasan melayu yang bersenandung : Orang yang hebat akan membuatkan orang lain turut merasa hebat, manakala orang yang kecil suka memperkecilkan orang lain ... dan orang yang lemah akan sentiasa lemah melihat cabaran dan peluang.

Terkenang saya bagaimana getirnya mungkin para ulamak silam khususnya di nusantara ini memupuk budaya membaca ini barangkali. Lalu mungkin kerana itulah mereka bereksperimen dengan pelbagai bahan bacaan dan jurusan penulisan hanya untuk membina generasi celik ilmu dan sukakan agama.

Golongan Pak Turut dan taklid buta hanya akan melemahkan agama.

Mujurlah saya masih mampu berterima kasih atas jasa ulamak nusantara persis HAMKA yang berani menongkah arus dan menerjang badai adat dengan turut sama mengarang bukan sahaja artikel agama, kupasan hukum bahkan beliau sanggup menulis novel sarat dengan citra percintaan yang diadun dengan sulaman agama untuk menarik golongan muda dan pertengahan untuk kembali kepada agama.

Sekilas saya memandang buku2nya yang masih tersimpan di rak ilmu saya dengan doa moga Allah merahmati dan memberkatinya. Tenggelamnya kapal Van der wijck dan Di Bawah lindongan Kaabah adalah antara buku terawal beliau yang saya baca... Dalam getar dan debar, beliau menyusun kalimat CINTA sebenarnya hanya pada ALLAH.

Mungkin kupasan dari Saudara IMAEN MUHAMMAD ini ada jawapannya. Beliau merupakan penulis novel yang kritis, dan bijak menggunakan nuansa islam untk membentuk konflik dan saspen yang amat mengujakan lewat novelnya Labyrinth, Bohemian, Vendetta dan lainnya.

--- http://imaen.blogdrive.com




Rasanya, walau tiada siapa tahu angka rasmi, tidak ramai lelaki Melayu yang membaca novel Melayu. Pada ramai lelaki Melayu, membaca novel Melayu itu ialah sesuatu yang tidak berfaedah, sia-sia, membuang masa dan boleh mengurangkan kejantanan. Mengikut pemahaman mereka, novel Melayu itu hanya novel satu genre - cinta asyik maksyuk di mana hero dan heroin ialah malaikat yang terperangkap dalam badan manusia. Kisah hero yang sanggup menangis merayu pada kaki heroin untuk sebuah cinta. Mana-mana lelaki yang membaca novel Melayu akan jadi 'lelaki semi-pro', jadi auw! Jadi baik jangan cuba.


Tak tahulah siapa yang memulakan ajaran sesat ini.

Ibu bapa? Guru? Menteri? Kita tidak tahu jawapannya, tapi kita tahu semua itu hanya alasan. Sebab sebenar mereka tidak membaca novel ialah sikap malas membaca. Kalau mereka mahu membaca, ada juga novel Melayu yang tidak menjadikan cinta sesama manusia sebagai tema atau matlamat utama kehidupan. Dan kita manusia yang dinamakan haiwan ekonomi oleh setengah ahli ekonomi Barat selalu terikat dengan hukum permintaan dan penawaran. Ada permintaan pasti ada penawaran. Ramai yang mahu membaca novel bukan cinta-cintun maka ada banyaklah novel bukan cinta-cintun di pasaran. Akademi Fantasia dan Sehati Berdansa itu ada tiap-tiap tahun kerana permintaan terhadapnya tinggi!


Sedikit sebanyak kurangnya minat lelaki Melayu membaca novel mengurangkan 'mutu' lelaki Melayu sebagai lelaki. Orang bijak pandai memberitahu bahawa novel itu memanusiakan seseorang manusia. Membaca novel itu membantu menjadikan manusia lebih memiliki sifat-sifat kemanusiaan. Sepanjang pengalaman saya berkawan, kawan-kawan lelaki yang membaca novel secara umum lebih bersopan-santun dan kurang menjadikan material sebagai matlamat utama kehidupan. Kawan-kawan lelaki saya yang membaca novel juga ramai yang tidak merokok – tentulah tidak selesa membaca novel sambil merokok.

Kalau membaca novel itu tidak berguna pasti Prof Hamka tidak menulis novel. Pasti juga Syeikh Yusof Qardhawi tidak memberi hukum harus untuk menulis fiksyen, dan dia sendiri mengaku pernah menulis dua buah skrip drama pentas ketika muda dulu. Dan saya pernah membaca Syahid Syed Qutb juga pernah menulis novel. Dan kita juga tentu tidak berpeluang membaca antologi cerpen Tuk Kenali, ulama tasawuf tersohor itu kalau membaca cerita fiksyen itu sia-sia.

Lelaki Melayu mesti digalakkan membaca novel. Saya rasa masalah sosial (dan so sial) yang dialami oleh kaum lelaki Melayu sedikit sebanyak dapat diatasi dengan membaca novel. Masalah nisbah 30:70 antara lelaki dengan perempuan di universiti, masalah budak lelaki Melayu lebih berminat menjadi Mat Rempit (cuba tanya Mat Rempit berapa ramai yang baca novel), masalah lepak kaum boy friend, kaum suami atau kaum bapa di kedai mamak, masalah lelaki Melayu antara yang paling tidak romantis di dunia, masalah masyarakat kita sekarang menduduki top 10 dalam indeks kebiadaban manusia di dunia (Saya dengar dalam orang bijak pandai berforum dalam Astro Awani)

Minat membaca perlu dipupuk. Dalam ringkasan Ihya' Imam Ghazali ada satu contoh yang patut kita renungi. Katanya kalau seseorang itu diajar makan tanah dari kecil maka dia akan membesar sebagai orang yang makan tanah. Saya ada seorang kawan ketika sekolah dulu yang gelisah kalau tidak dapat membaca sehari kerana dia telah melatih dirinya untuk membaca.

Tugas siapa untuk menggalakkan lelaki Melayu membaca novel terletak pada pemimpin, guru dan ibu bapa. Saya membaca kerana dulu para guru saya memberitahu faedah membaca dalam kelas. Perpustakaan sekolah saya dulu mempunyai banyak rak-rak novel dan hasil sastera. Malah dalam kelas saya ketika sekolah dulu juga ada sudut komik. Cikgu kelas kami mengutip sepuluh sen sehari daripada setiap kami untuk membeli komik. Tujuannya supaya pelajar membaca. Saya membaca juga kerana imam di kampung saya menasihati saya supaya membaca. Saya membaca juga kerana ibu saya memaksa saya membaca ketika sekolah rendah dulu.

Jadi, kalau ibu saya yang tidak bersekolah secara formal mampu memaksa saya membaca, tiada sebab mengapa ibu yang bergelar cikgu, pengurus, jurutera atau peguam tidak mampu menyuruh anaknya membaca.

No comments:

Post a Comment