Thursday, October 29, 2009

HALALKAH ALKOHOL ?

Satu hari sebagaimana biasa kakiku menapak anak tangga untuk menginjak ke kelas tingkatan 5 yang terletak di bangunan paling atas kawasan sekolah, sesudah memberi salam dan doa pagi, para pelajar seperti sepakat terus bertumpu kearahku dan bertanya dengan suara yang tak keruan...

Ustaz...apakah hukum makan tapai? Halalkah ia... bukankah ianya satu proses yang ada alkohol. kan alkohol ni haram? macamana pulak kita boleh memakan makanan beralkohol ni ustaz...kan ianya sama macam arak, lekaslah ustaz.... sebenarnya ada cikgu yang tanya kami bah ustaz... kami pun tak tau nak jawab macamana..

Begitulah antara kata-kata mereka antara soalan dan persoalan yang dikemukakan bertalu-talu kearahku...namun,lidahku kelu untuk terus menjawab takut2 tersilap fakta dan hukum.... biar ustaz buat kajian dulu dan nanti ustaz jawab semula.

Dan ... untukmu anak2 didikku :

Kenapa Tapai boleh dimakan dalam Islam sedangkan ianya merupakan proses Fermentasi atau pemeraman yang menjurus kepada perubahan kimia melibatkan alkohol.

Penjelasan :
Islam adalah satu sistem hidup yang indah dan sesuai dengan fitrah semulajadi manusia. Ianya bertujuan untuk mempastikan kesinambungan hidup manusia dapat berlangsung dengan baik dan sempurna.
Untuk itu , Islam menggariskan 5 perkara asas dalam kehidupaN yang harus dijaga dan dititik beratkan oleh semua manusia dan ianya juga dipanggil Dharuriyyat iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. (1)

Dalam menjaga akal contohnya : Islam memeliharanya dengan mewajibkan umat Islam menggandakan keilmuan untuk memantapkan fungsi akal dan minda seseorang, disamping itu juga Islam juga menegah dan mengharamkan segala bahan uyang boleh merosak dan mencacatkan fungsi akal seperti arak, dadah dan perkara-perkara yang memabukkan.
Arak ialah alkohol dalam bentuk ethyl alkohol dan ianya sejenis perangsang yang bertindak keatas otak manusia dan seringkali menyebabkan ketagihan seperti dadah. Ia biasanya dihasilkan oleh sel-sel ragi atau yeast cells yang bertindak ke atas karbohidrat yang terdapat dalam buah-buahan dan biji-bijian. (2)

Ianya akan terus bertindak ke atas sel-sel otak dengan merangsang otak itu sebelum
mengganggu fungsinya sehingga menyebabkan gangguan kepada penglihatan, ingatan dan kestabilan. Ianya amat memberikan kesan negatif kepada diri, keluarga dan masyarakat. Ianya disahkan boleh mengakibatkan sakit jantung,radang paru-paru, batuk kering, barah mulut serta kerongkong, radang hati serta pancreas, kanser esofagus serta perut dan melemahkan system imunisasi badan.(3) Mengikut kajian yang dijalan oleh American council for drugs education 1999 menyatakan jumlah kematian disebabkan arak di amerika adalah 100 000 orang setiap tahun.

Di atas fakta dan statistik yang di utarakan menjelaskan mengapa Islam bersikap tegas dan dingin terhadap arak bahkan ianya disamakan dalam kitab suci al quran sebagai keji, permainan syaitan bahkan najis yang menyebabkan proses ibadah tidak diterima. (4)

Untuk menjelaskan persoalan di atas kita mesti mengetahui dua prinsip asas ini :
Pertama : Alkohol bukannya arak mahupun najis, manakala arak yang terjadi dalam proses pemeraman (fermentasi) dan memabukkan asalah najis dan haram diminum.
Perkara ini dijelaskan oleh Lembaga Fatwa Al Azhar dan Majlis Fatwa Kebangsaan dengan teksnya berbunyi : Setiap minuman arak mengandungi alkohol bukan alkohol itu dari arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak maka hukumnya tidak najis dan tidak haram diminum. Begitu juga pandangan Sarjana Islam zaman kini ketika menyatakan bukan semua alkohol adalah najis, hanya alkohol yang sudah sampai ke peringkat memabukkan sahaja dikira najis dan haram (5) serta syeikh Sya’rawi dalam bukunya Anta tas’al wa Islam Tujib. Adapun penggunaan istilah semua minuman beralkohol adalah haram adalah berasaskan majoriti dan kebanyakan minuman ini adalah memabukkan.

Kedua : setiap perkara yang memabukkan dan mengganggu fungsi akal dikira arak dan diharamkan dalam islam. Ini berdasarkan hadis yang dilafazkan oleh nabi SAW:

Maksudnya: “Setiap yang memabukkan itu adalah khamr (arak) dan setiap yang memabukkan (juga) adalah haram” (Hadis riwayat Muslim)

Alkohol ialah kaedah saintifik kepada sebatian yang mempunyai kumpulan C-OH. Dua jenis alkohol yang paling baik ialah Methyl alkohol (Methanol) atau alkohol (kayu) dan Ethily alkohol (Ethanol) atau alkohol biji-bijian.Methyl alkohol (methanol) tidak digunakan untuk minuman kerana ia merupakan racun yang kuat, manakala ethly alkohol digunakan sebagai campuran di dalam minuman keras. (6)
Pembuatan atau penyediaan makanan seperti tapai, sehingga terjadinya alkohol adalah termasuk dalam proses penapaian (fermentation). Alkohol yang wujud dalam tapai berkenaan jika belum sampai kepada tahap alkohol yang boleh memabukkan, maka tapai itu tidak haram dimakan. (7)

Ini juga berdasarkan beberapa hadis sahih yang diriwayatkan oleh Muslim dan Bukhari yang menjelaskan bahawa nabi juga meminum Nabidz iaitu sejenis minuman yang diperbuat dari kismis , kurma atau gandum yang diperam selama kurang dari 3 hari dan belum sampai ke tahap memabukkan, imam nawawi menyatakan rendaman ini harus dan halal diminum selama mana ianya masih terasa manis, belum berubah dan belum mendidih ( antara tanda ianya memabukkan). Ianya juga adalah hokum yang diterima pakai oleh kesemua sarjana dan ulamak islam secara ijmak. (8)

Begitulah beberapa hadis yang dapat menjelaskan kedudukan alkohol dalam makanan seperti yang ada pada tapai yang belum sampai kepada tahap yang memabukkan.
Andai kata alkohol yang ada pada tapai itu sudah sampai kepada tahap yang memabukkan, maka tidak syak lagi tapai itu haram dimakan. Tapai yang sifatnya memabukkan adalah sama seperti hukum arak (haram meminumnya).

Walau bagaimanapun apabila unsur memabukkan yang ada pada tapai itu hilang, maka tapai itu halal dimakan. Hal ini adalah berdasarkan kepada qiyâs/perbandingan tentang hukum yang telah disepakati berhubung dengan air perahan daripada buah-buahan atau air perahan biji-bijian iaitu apabila ia disimpan buat seketika lamanya, maka air perahan itu akan mendidih (terdapat unsur memabukkan). Tetapi kemudian apabila ia turun dan berubah menjadi cuka, maka cuka itu halal dimakan dan ia suci selagi pertukarannya kepada cuka itu terjadi dengan sendirinya (bukan dicampur dengan apa-apa bahan) kerana sifatnya yang memabukkan itu sudah tidak ada lagi. Akan tetapi jika ketika air perahan itu mendidih dan sifatnya memabukkan, maka haram diminum air perahan buah atau biji-bijian itu dan ia juga adalah najis. Apabila sifatnya yang memabukkan itu hilang, maka ia tidak lagi dihukumkan najis dan air perahan itu menjadi suci dan halal diminum.

Begitulah dengan tapai, jika ia memabukkan haram dimakan, dan jika tidak, maka halallah memakannya.

Maka dengan ini kita juga mampu membuat kesimpulan bahawa alkohol semata-mata bukanlah penyebab kepada pengharaman sesuatu dan kenajisannya, tetapi ianya akibat perubahan sebatian tersebut kearah kemabukan dan gangguan kepada fungsi minda. Kerana itu kita melihat proses alkohol (C-Oh) ini berlangsung pada ketiga-tiga peringkat ini (penapaian – arak – cuka) namun yang diharamkan Islam hanyalah pada prinsip setiap yang memabukkan adalah arak dan arak diharamkan dalam Islam. (9)
Menururt resolusi Nadwah Fiqh Perubatan kali ke 8 kelolaan Pertubuhan Ilmu-ilmu Perubatan Islam di Kuwait (Mei 1995), telah memutuskan: (10)

"Bahan makanan yang ditaruh kuantiti kecil alkohol dalam pemprosesannya bagi melarutkan sesetengah bahan yang tidak larut dalam air seperti pewarna, pengawet dan lain-lain, harus mengambilnya kerana berdasarkan knsep "umumul balwa" dan kerana kebanyakan alkohol telahpun hilang semasa pemprosesan makanan itu dilakukan"
"Tidak harus menggunakan makanan yang mengandungi kuantiti tertentu arak walaupun kecil, lebih-lebih lagi yang dijual di Negara Barat seperti sesetengah makanan sejuk seperti aiskrim,gelatin dan buza-minuman yang diperbuat daripada sekoi- dan beberapa minuman bergas sebagai mengambil kira kaedah yang menjelaskan benda yang banyak pengambilannya yang menyebabkan mabuk, maka sedikitnya juga dikira mabuk. Tidak ada aspek kelonggaran dalam masalah ini.

Moga penjelasan ini dapat merungkai persoalan kita terhadap keharusan dan kehalalan beberapa perkara yang berkaitan seperti makanan tapai dan cuka juga penggunaan minyak wangi yang bersadur alkohol untuk menyebar dan semerbakkan wangiannya.

RUJUKAN ;

1. Rumusan dari buku Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden oleh Dr. Danial zainal abidin, (2003) PTS Millenia Sdn Bhd, Kuala Lumpur . Cetakan keenam 2007 , halaman 59-61
2. Rujuk Soal jawab bersama alahkam di http://members.tripod.com/ahkam_2/soaljawab
3. Perubatan Islam dan Bukti sains Moden , Dr. Danial Zainal Abidin (2003)
4. Rujuk Quranul Karim Surah al Maidah Ayat ke 90
5. Rumusan dari artikel Ust Zaharuddin Abd Rahman di http://dukeamienerev.blogspot.com/2008/10/hukum-sembahyang-alkohol-minyak-wangi.html
6. Rumusan dari tajuk : Alkohol dan minyak wangi di http://www.mail-archive.com/hizb@hizbi.net/msg27610.html
7. Rujuk Koleksi Fatwa Brunei di www.brunet.bn/gov/mufti/alhadaf/
8. Ibid
9. Rujuk Hadis Nabi yang diriwayatkan oleh imam ahmad, abu Daud dan Tarmizi bermaksud : Sesuatu yang kalau diambil atau diminum banyak boleh memabukkan maka sedikit pun dikira arak iaitu hukumnya haram. Begitu juga pesanan Umar al Khattab diatas mimbar Madinah : Arak ialah sesuatu yang merosakkan fungsi akal.
10. Rujuk dari al-insyirah.forummotion.com/islam-f3/perlukah-mengambil-ubatan-beralkohol

No comments:

Post a Comment