Sunday, October 25, 2009

ENTAHLAH HIDAYAH ......

Entah bagai dirancang dan sememangnya sudah tersurat, kelahiran blog ini amat membahagiakan. Ianya juga lantunan dari idea dan gesaan kawan – kawan yang mahukan perkongsian ilmu dan rasa ini berterusan diabadikan dan dimanfaatkan secara bersama di alam maya ini. Dan kini ianya menjadi kenyataan namun rasa rendah diri dan kekurangan terus menyerang sudut hati ini takut dan bimbang amanah ilmu yang disampaikan tersasar dari hidayat dan niat yang dipaterikan diperingkat awal terpesong jauh dari keikhlasan.Ya allah,ku pohon padamu agar usahaku ini mendapat keredhaan mu dan caraku ini tidak melalaikan dan memesongkan aku dari hidayahmu.

Dan entah mengapa ianya bagai direncanakan apabila blog ini dengan bersendikan judul Travelog Hidayah diluncurkan ke alam maya ini, rupanya ia serentak dengan kemunculan Solusi isu ke12 yang membawa tajuk utamanya Hidayah Kompas Kehidupan yang dicanang oleh Ketua editornya Sdr Pahrol Mohamad Juoi, memang ia sebuah majalah yang baik untuk tatapan umum yang dahagakan informasi agama apatah lagi ianya diulas dan diolah oleh minda ulamak yang sudah teruji kewibawaannya. Moga ianya terus membawa kebaikan untuk semua.

Sebenarnya entah mengapa hati ini terus terpaut dengan nama Travelog Hidayah ini mungkin selepas diri tergamam dan kagum dengan buah tangan penuh rasa dan airmata serta hadiah pengalaman Prof Mohd Kamil Ibrahim,yang menulis buku bestsellernya Travelog Haji dan Dakwah, seterusnya melakarkan perubahan dan hidayah luarbiasa yang mengubah sempadan iman dan amal sebelum ini.Moga blog ini juga mampu mencoret perubahan dan hidayah pada diri pemilik dan pembacanya,insya allah.

Dan memang entah mengapa, rasa ingin memiliki dan menyebarkan blog yang berorientasikan dakwah dan ilmu ini ke tengah arus masyarakat ini semakin menebal dan membuak apabila sifu sahabat blogger sabah Ust Akmal Othman dengan blog popularnya Abu Nuha Corner menyarankan usaha dakwah di alaf moden ini harus dirancakkan dengan pelbagai alternatif,strategi dan medium yang boleh dimanfaatkan.Gesaannya itu dibuat semasa membentangkan slot tarbiah dan pengenalan blogger semasa Konvensyen IT Pemuda Islam di Kundasang 24-25 okober yang lalu, ia amat bermakna dan mengujakan.Banyak manfaat yang diperolehi… moga allah memberi ganjaran.

Ya,memang entah mengapa…. Hakikat hidayah ini hanya allah yang tahu, allah memberi hidayah kepada siapa yang ia kehendaki dan allah juga akan menyesatkan mereka yang membenci agamanya ini berdasarkan apa yang ia kehendaki.

Moga allah memberikan kita hidayah dan petunjuk dan ini bukannya entahlah, tapi mohonlah dengan penuh kepastian dan keyakinan.

No comments:

Post a Comment