Thursday, October 28, 2010

Kreativiti Membina Soalan



Kreatif itu hikmah. Hikmah itu kebijaksanaan.

Kebijaksanaan itu merupakan khazanah mukmin yang paling berharga. Bukan sedikit ayat ilahi yang menggetus hikmah dalam berdakwah, bahkan hikmah diperlukan hampir disemua posisi dakwah samada bertamu didepan penguasa zalim menyatakan yang makruf dan mungkar, atau berada di situasi mendamaikan sengketa nusyuz isteri mahupun ketika menyampaikan formula ilmu dan kebaikan. Hikmah sememangnya senjata ampuh islam memenangkan kebenaran.

Wahyu allah pernah membisikkan : Serulah (berdakwahlah) di jalan allah dengan penuh hikmah kebijaksanaan, juga gunakanlah nasihat yang baik dan menyenangkan atau jika perlu berdebatlah dengan cara yang paling terhormat untuk mematahkan hujjah lawan.

Hikmah datang dengan pelbagai dimensi.

Standardnya berbeza menyantuni kepelbagaian ragam akal manusiawi.

Jangan pula berlagak akademik tika menyantuni fikrah persoalan anak kecil, dan jangan juga terlalu berteori tika berdepan sang remaja yang sedang dibakar amarah mudanya, lagi tak wajar melayani pak tua hanya dengan bicara panjang yang membosankan.

Bukankah nabi pernah berpesan : ucapkanlah bicaramu berpandukan kondisi tahap akal yang mendengar. Jika tidak, pastinya ia satu noktah kesalahan yang memalitkan nista pada maruah kalaupun ia bukannya pembaziran lisandan mungkin juga kebiasaannya menimbulkan kecamuk fitnah.

Antara method hikmah yang terbaik….. lontarkanlah soalan.



Soalan membuka pintu ilmu sebagaimana soalan dapat member nilai pada keberkesanan pengajaran atau mendedahkan kebebalan penanya.

Mereka yang pandai mengutarakan soalan akan memanfaatkan khalayak dengan krisis persoalannya. Minda menjadi kritis dalam menyimpulkan pengalaman kehidupan menjadi tandatanya. Bahkan ketepatan soalannya akan menjurus kepada pintu ilmu yang lebih tinggi dan baik….

Tapi jangan tersalah soal. Soalan yang tidak kena pada tempatnya hanya akan mengundang malu. Soalan yang disangka madu kebijaksanaan rupanya hampas kedunguan pemiliknya.

Bayangkan tika pengajian penuh persoalan puasa yang dikupas panjang lebar berdasarkan hukum, hikmah dan peraturannya. Semua audiens bersemangat menjamu pemikiran mereka dengan jawapan pada persoalan ibadah mereka yang ingin dijana sebaiknya. Persoalan batal dan rukhsah puasa dibincangkan sewajarnya, mencakupi persoalan kesihatan terkini yang sedikit sebanyak akan merencatkan momentum kualiti puasa itu sendiri.
Dan disatu sudut, dengan pakaian bersih jubah putih yang menutupi fizikalnya, dengan serban merah yang berekor kemas berjuntai kekiri bahunya, dengan sedikit janggut menjemput dagunya ia mengangkat tangan bertanyakan soalan persis seorang ulamak besar yang ingin menghakimi viva pembentangan anak muridnya.

Dia bertanya : Macamana ustaz ? Kalau suatu hari kita berpuasa tiba2 kiamat, apakah yang harus kita buat ?? Batalkah puasa kita ?? Jika ya, adakah kita kena ganti puasa kita ?


Soalan yang berona lembut keluar dari halkumnya ternyata seperti halilintar menjamah setiap sudut pendengaran audiens yang lain. Semua terpana kehairanan dan ketakjuban. Sekelip mata ruang masjid turut menyepi.

Satu soalan berani dan berwawasan. Melangkaui zaman. Sang penanya tersenyum kepuasan. Soalannya menggugat kredibiliti si ustaz muda. Kagumnya sendirian disebalik rawak wajah yang cuba ditenangkan.

Tenang sang surau menampung audiens yang terpaku menanti jawapan.

Gelojak nafas mereka tak keruan merenung wajah si ustaz yang barangkali kepanasan.

Apa jawapannya ustaz ???

Soalan istimewa ini susah giler. Bagaimanakah jawapannya ya !

Ustaz tersenyum dan berkata : Biarlah soalan ini kita jawab kemudian. Saya terpaksa selidik dulu jawapannya.

Si ustaz mengelengkan kepala merendah diri, mematikan tujahan pandangan mata yang sedang melingkari tubuhnya,sedangkan dihatinya tertawa berdekah-dekah. Aku ingatkan anak mufti mana yang bergaya hebat dengan jubah keilmuan… rupanya lebai malang yang terkhayal dalam kejahilannya. Jikalau datangnya kiamat, hukum dan syariat sudah tidak terpakai lagi. Kita hanya akan ditanya dengan amalan yang telah kita laksanakan, dan jika mati yang merupakan kiamat kecil juga datang menjemput kita, tak perlu lagi kita meneruskannya kerana kita sudah berada di alam yang lain.

Lebar senyuman si penanya. Pulangnya bangga membawa rekod baru. Soalannya maut tak tercabar di minda sang guru yang mengajar. Esok lusa … boleh dia bertanya lagi. Galak hatinya bermonolog.

Kenapa ustaz tak menjawab ?

Bukankah sebenar-benar ilmu itu ialah mengatakan “Wallahua’lam,saya tak tahu”.

Dan sememangnya ya. Saya tak tahu bagaimana nak menjawab soalan tersebut tanpa menelanjangkan air muka sipenanya dari jubah keilmuaannya. Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment