Wednesday, October 6, 2010

Keluarga baru OUM Penang



Hari Sabtu saya kembali hidup, jika sebelum ini kebiasaannya kami sekeluarga hanya akan meluncur dijalanraya untuk pulang ke kampong untuk bertemu keluarga.

Kali ini jadual Sabtu saya kembali padat. Terisi dengan tugasan pengajaran tutorial di sebuah universiti swasta yang meniti glamournya tersendiri, Open Universiti.

Sejak 2005, saya dilamar untuk menyertai kumpulan awal peneroka gerak kerja pembelajaran sepanjang hayat anjuran universiti ini. Ketika itu, kolej PTPTL di Sembulan menjadi pusat pengajian pertama warga senior yang keciciran kesempatan zaman untuk meneruskan cita akademik mereka.

Dengan kemudahan yang ada dan wawasan universiti yang sentiasa muda. Saya melihat kewajaran dan kebaikan pada usaha yang dilakukan.

Ianya memberi ruang lebar untuk semua warga senior ini untuk berjaya mencapai peningkatan dalam taraf akademik mereka disamping mampu mendepani arus dan cabaran semasa.

Tugas dan profesion yang pelbagai dengan masa kerja yang beragam tidak menjadi penghalang buat kumpulan pelajar ini, bentuk pengajian jarak jauh yang ditawarkan juga amat memudahkan kumpulan sasar ini meneruskan pengajian walau karenah anak beragam dikeliling pinggang, walau timbunan tugas yang menyesakkan, walau jarak dan sempadan geografi juga begitu jauh dan memanjang jalur aspalnya.

Pusat pengajiannya disabah juga sentiasa berubah, dari sembulan ke UMS, dari UMS ke Maktab Perguruan Gaya, dan akhirnya kini OUM mampu menjana ekonomi dan promosi gahnya memungkin universiti ini memiliki 2 bangunan kekalnya di Kota Kinabalu dan Tawau.

Berada dalam keluarga OUM merupakan satu perkara yang menyeronokkan, saya sempat bertemu ramai kenalan dan rakan sejawatan yang tega menuntut ilmu.

Teringat kali pertama menjejak menara OUM ini untuk memberi kuliah, saya terkejut dengan jarak usia yang begitu jauh antara saya dengan para pelajar OUM ini, apatah lagi jawatan mereka. Dengan usia yang begitu berbeza, bukanlah menghairankan jika saya pernah mengajar mereka yang 15 hingga 25 tahun lebih berumur dari saya, dan ada dikalangan mereka merupakan penolong kanan, guru besar malahan ramai juga yang telah lama berbumbung khidmat di JPN Sabah sendiri.

Kekadang terasa malu dan kerdil saya terhadap mereka, perasaan hormat menebal untuk mengajar dan mendidik sementelahan saya yang sepatutnya menerima didikan, tapi yang kecil bukan semestinya anak yang besar bukan selalunya bapak … maka saya gagahi jua tugasan ini apatah lagi bila saya mendapati ada kelompangan ilmu dan maklumat pada mereka yang perlu saya isi. Moga saya mampu membantu dan bermanfaat.

Dan Januari 2010, akhirnya sang bangau kembali kebelakang kerbau, destinasinya Pulau Mutiara yang serba cerlang bergemerlapan.

Disini, saya terpisah lama dari OUM.

Tapi Oktober 2010 ini,nadi jodoh saya di OUM masih berdenyut rupanya.

Setelah mendapat panggilan dan akuan tugasan dari pihak terbabit, saya d iberi tugasan mengajar subjek pendidikan Islam dan Tajwid pula. Destinasinya, saya terpaksa menjelajah dua buah Insitut Perguruan, IP 4P di Gelugor dan IP Bainun di Mengkuang, Pulau Pinang dalam senggang masa yang diberikan sejam cuma, namun alhamdulillah terasa segala urusan dipermudahkan tuhan.

Harapannya, cetusan pembelajaran sepanjang hayat yang dicetuskan para pelajar senior ini mampu membara dan membakar semangat saya untuk terus bergelumang dengan ilmu dan mendaki tahap akademik yang lebih tinggi.

Ya allah, permudahkan saya untuk terus belajar dan belajar.

No comments:

Post a Comment