Saturday, October 2, 2010

Hujan Persoalan

Gelisah saya di jendela waktu.

Dibalik tirai malam, saya merenung basah alam disirami curahan hujan yang menderu. Entah mengapa, hujan seakan kerap menziarahi kami di pulau mutiara saban waktu tanpa temujanji terdahulu. Hadirnya begitu spontan dan luar biasa lebatnya.

Dan kala ini saya gelisah dijendela skrin.

Hujan yang menyiram bumi diluar jendela tidak menelurkan mood dan idea untuk menulis.

Entah mengapa, semangat dan kudrat untuk mencoret seakan lumpuh seketika. Idea yang cuba untuk menjalar ke angkasa maya cepat dicantas motivasi yang hilang, pucuknya layu tanpa sempat bercambah membentuk lakaran coretan yang tersusun.

Dan saya sememangnya gelisah di Pulau Mutiara ini.

Ketenangannya banyak dirobek hujan isu yang tak kunjung padam.

Terasa diri dihujani persoalan remeh dan biasa tanpa disensasikan media dan pihak yang berkepentingan.

Suatu pagi, saya diajukan soalan dari rakan sejawat yang berbangsa Cina, bertanyakan pandangan saya tentang isu bukan muslim memeasuki masjid. Saya mungkin antara yang dicari kerana kedudukan saya yang mempunyai authority semasa dan menjadi rujukan dalam hal ehwal agama disekolah saya.

Ustaz, apa pandangan islam sebenarnya tentang isu sekarang, bolehkah orang yang bukan Islam memasuki masjid ? Benarkah orang islam itu pengotor dan najis ? Selama mana mereka belum mandi wajib, mereka berdosa dan terhalang menginjak kaki ke lantai masjid…. Dan pakaian mereka yang terdedah auratnya itu, akan mencemar kesucian rumah Allah yang mulia nanti.Bagaimana ya ??? Tanya seorang sahabat menyambut isu semasa ke neraca ilmu, sikapnya menolak prejudis dan sensasi politik.

Inilah antara perkara yang menyesak pemikiran saya kala ini, walaupun hujan masih lebat mencurah dicucuran atap, hujanan persoalan agama yang disadur konspirasi berkepentingan ini lebih merimaskan saya.

Ianya menyusahkan pemahaman masyarakat islam menilai keindahan agamanya sendiri bahkan menjauhkan skop toleransi beragama diantara umat 1 Malaysia dinegara kita.

Bayangkan apabila masyarakat Cina berpandangan serong dengan menyatakan, Islam mengamalkan permusuhan terpimpin antara agama.

Islam tak membenarkan rumah ibadatnya diziarahi dan dijenguk komuniti luar.

Islam tak membenarkan kita merayakan hari kebesaran dan perayaan umat lain.

Bahkan islam tak membenarkan kita mengucapkan salam sejahtera pun pada orang bukan islam, bahkan haram mendoakan kesejahteraan pada mereka.

Bukankah ini, antara intipati isu semasa yang membuahkan kemusykilan umum dikalangan masyarakat satu Malaysia dewasa kini.

Konfliknya hanya membutirkan sebuah bom jangka pergeseran kaum yang tersembunyi dan hanya menunggu masanya. Mungkin juga umpama api dalam sekam yang membara dalam senyap membakar perpaduan yang sedia terjalin.

Sedangkan, pandangan islam yang terbuka, sederhana serta global sekarang ini lebih membuka jalan dan sumber hidayah ini untuk diekspresi dengan cara yang terbaik dan sewajarnya.

Tiada satu dalil pun yang mengharamkan kemasukan non muslim kedalam masjid kecuali yang berkaitan dengan 2 tanah suci umat islam iaitu di mekah dan madinah sahaja. Keduanya wajar dijadikan kawasan larangan kerana ia menempatkan tapak dan asas suci agama ini dan syiarnya yang terindah. Ianya perlu dijaga dan tak sayugia dikongsi bersama kerana ianya berbentuk kawasan ritual ibadah yang khusus.

Sebagai simboliknya, bolehkah kawasan stor simpanan senjata dibuka kepada umum, atau maslahahnya perlu dijaga dan hanya dibenarkan orang awam memasuki premis kem tentera dengan syarat dan kawalan yang ketat.

Sewajarnya premis ibadah umat islam ini juga dijaga kemuliaannya disamping dalam masa yang sama membenarkan cahaya hidayah dari sumbunya ini mampu menjamah hati para pengunjung dan penziarahnya dari pelbagai anutan agama.

Namun syaratnya perlu jelas dan tegas, kesucian …. Kemuliaan …. Dan kebersihan rumah allah ini perlu dijaga sewajarnya.

Oleh itu perkataan najis dan kotor hanya bersangkutan dengan akidah sahaja.

Persoalan mandi wajib tidak dituntut kepada orang yang bukan islam.

Menjaga aurat dan etika pakaian dimestikan kelihatan sopan menurut budaya dan agama masing2, sebagaimana menjadi kesalahan juga bagi isteri para pembesar yang datang dengan tudung berjambul untuk merasmikan majlis dan menyampaikan sumbangan di masjid.

Oleh itu, jawapan saya kepada rakan yang bertanya : Islam mengharuskan orang bukan islam mengunjungi masjid dengan syarat kemuliaan dan kebersihan rumah allah ini dijaga sewajarnya.

Teringat saya pada petugas masjid negeri sabah saudara Janis pernah bercerita : kedatangan para pengunjung ini akan disambut jawatankuasa masjid serta diberi taklimat. Mereka juga bebas bersoal jawab berkaitan islam diplatform yang disediakan sebelum dibawa mennziarahi persekitaran masjid yang ada.

Terkenang juga arwah ustaz nahar mantan imam masjid negeri sabah yang membentangkan ideanya mewujudkan pusat dan markaz informasi islam di beranda masjid dalam pelbagai bahasa khusus untuk menangani dan membuka ruang hidayah bagi para pengunjung budiman ini.

Jikalau niat mereka bukan baik, nescaya lebih baik bagi mereka mengunjungi kelab malam daripada memilih pusat agama ini sebagai destinasi kunjungan.

Dan masih terngiang suara para sahabat ini bercerita , bukan seorang daripada mereka yang akhirnya datang buat kali kedua dan ketiga seterusnya melafazkan syahadah dirumah allah yang mulia ini.

Allah yang mengatur panahan hidayah ini menuju kesasarannya.

Siapa kita untuk menghalangnya …………….

No comments:

Post a Comment