Saturday, October 9, 2010

Majlis Restu Ilmu

Salam Peperiksaan !

Masih belum terlambat rasanya untuk saya memintal ingatan pada para pelajar yang kini sedang bergelut dengan PMR dan juga yang akan menempuh peperiksaan yang lain. Ingatan untuk kita pasrah dan berdoa selepas usaha dan ikhtiar.

Worship Day 2 !! Itulah tugasan saya berikutnya. Ianya merupakan hari penganut semua agama untuk bermeditasi mengingati pengasasnya.

Juga untuk membina rangkaian kesatuan dalam beragama pada semua warga ST Xavier ini.



Tilikan saya mendapati tarikhnya tepat menghampiri situasi kritikal – merasai debaran dan gementar – peperiksaan yang akan berlangsung. Tanggal 1 Oktober yang diamanahkan untuk berlangsungnya program pula sememangnya dikhaskan untuk semua anutan fahaman ini memimpin para pelajar agamanya untuk merasai kehebatan pergantungan kepada penciptanya, atau mungkin dalam ertikata mereka (pengasasnya).

Kepimpinan Baru

Namun bagi saya kali ini ialah bagaimana merencana dan melaksanakan program ini dengan saf kepimpinan baru BAKTI, hamper 85 peratus organisasi yang baru ini adalah anggota baru yang mula berjinak dengan wadah perjuangan islam ini. Merekalah sebenarnya pelapis baru yang diharapkan mampu meneruskan kesinambungan episode dakwah dan hidayah dalam komuniti majority islam di sekolah ini. Menangani karenah anggota pelajarnya bukanlah sesuatu yang mudah kerana rebung mereka tumbuh dalam acuan berbeza dan tersendiri. Kekadang tercondong dari lurus cahaya mentari hidayahnya.



Tapi alhamdulillah, dengan karisma pengerusi baru yang dilantik, kelancaran program seolah berjalan tenang dilandasannya. Pengendalian majlis juga tercerna indah dalam sinaran mentari pagi yang gemersik biasan cahayanya.

Majlis Restu Ilmu…..

Itulah program yang kami luncurkan bersama di pagi itu.

Bersama menyembankan permohonan didahi sujud, bersama merafak doa kelangit harapan, bersama menyulam pasrah didada tahlil, bersama mendengar tazkirah dan motivasi nasihat yang disampaikan guru dan barisan pendidik.

Kali ini, saya bawakan segmen kelainan dengan menjemput beberapa orang guru PMR dan SPM untuk bersama berkongsi pentas majlis memberi nasihat, dorongan dan inspirasi buat pelajar. Moga kepelbagaian dan keiklasan yang tampak disetiap lenggok bicara sang muaddib ini mampu dijamah rasa sedar dan insaf dihati pelajar.

Dan akhirnya, saya maklumkan tatkala terasa sudah ada mata yang bergenang airnya, tatkala hati sudah ada yang tersentuh emosinya, tatkala motivasi sudah ada yang menggunung tekadnya…. Wahai pelajarku sekelian, pergilah ke setiap guru kalian, yang pernah mendidik dengan nawaitu ikhlas yang membara, tatapilah wajah mereka, mintalah ampun pada mereka dan mohonlah dihalalkan agar segala ilmu yang mereka berikan padamu. Moga tiada secalit geram dan benci pada diri mereka. Ingatlah … doa seorang guru selain ibubapa adalah amat mustajab.

Dan semasa majlis bersalaman, saya mewakii panitia islam menghadiahkan mereka dengan sejambak alat tulis yang dibungkus indah menjadi kelopak ingatan yang mewangi syukurnya.



Moga mereka mampu menghadiahkan yang terbaik buat diri mereka dan sekolah..

Respon Positif

Beberapa hari berlalu…

Seorang guru memberitahu saya, alhamdulillah ustaz, sejuk hati keibuan saya melihat anak2 islam kita berkerumun memenuhi bilik guru mencari para guru yang mengajar mereka. Tanpa segan silu mereka memohon maaf dan minta didoakan kejayaan mereka kepada guru, tanpa berselindung ada yang menangis keterharuan, tanpa berpaling mereka berjumpa dengan semua guru mereka.

Dan alangkah harumnya hati saya ustaz, bila ada sebahagian guru bukan islam amat terperanjat dan teruja melihat perubahan akhlak para pelajar kita ini.

Alhamdulillah, segala yang baik dan mulia adalah milik kesempurnaan allah jua.

1 comment:

  1. teringat kembali kenangan lama ketika dibangku sekolah.
    setiap kali ingin menghadapi peperiksaan, Panitia Pendidikan Islam dan BALKIS memberikan alat tulis buat para pelajar.
    rakan2 seperjuangan berpusu-pusu meminta ilmu dihalalkan oleh guru2. Terlalu indah kenangan dahulu, ustaz.
    Subhanallah.

    ReplyDelete