Thursday, December 1, 2011

Menyantuni Rindu Semalam


Hei kawan ,

Terasa aku kesayuan dan kepiluan semakin merantai hatiku, mendera batinku dan perasaanku kala ini, terlalu menyeksa dan meyesakkan.


Saat2 sebeginilah yang paling aku bencikan dalam kehidupanku, gelisah dan kemurungan yang memenjarakan aku daripada aktif bergerak, berfikir dan beraksi. Ianya menjadikan aku kelu dan tepu …. Jumud dan beku.

Aku benci keresahan…. Hidupku sekian lama ku cuba memastikannya ceria dan memudahkan. Aku akan cuba memahat bahagia dan mengukir lakaran senyuman di batin dan mukaku sepanjang liku jalan hidupku walaupun di atas kesakitan dan masalah yang paling menyayat jiwaku sekalipun…


Aku ingin tersenyum dan membahagiakan ramai … Senyuman itu kolam kedamaian yang memercikkan kejernihan dan memotivasikan kebahagiaan. Percayalah …


Sekilas memoriku terpanggil untuk menyapa mindaku … terkenang seketika, semasa dibangku sekolah rendahku di SRK Sultan Ismail 1, aku tenang melangkah di koridor menggalas jawatan sebagai seorang Ketua Kelas 6 Hijau membawa bongkahan buku latihan ke kelasku kala itu sambil ditemani antara guru yang masih tercetak jasanya dihatiku iaitu Guru Bahasa Melayu yang juga guru kelasku Cikgu Ramlah, beliau memandangku sambil melemparkan senyuman dan berkata … Hafiz, kenapa cikgu sentiasa lihat engkau tersenyum ??? Soalan cepumas tahap dewasa yang yang membuatkan aku bungkam dan kaget, kalian tahukah apa jawapanku untuk guru kesayanganku itu …. , mana mungkin aku berfalsafah kala itu dengan otak kecilku yang belumpun menginjak remaja, lalu jawapanku ternyata hanyalah satu senyuman berskala besar yang aku rasa paling panjang pernah ku ukir diwajahku ditambah beribu bungaan bahagia membedak seri wajahku kala itu. Alangkah indahnya memori bagi sebuah kehidupankan kawan..


Tapi kala ini aku berduka, lukanya agak panjang mencalar mozek hatiku yang sentiasa berpetak ceria. Tempoh beberapa hari yang ku pendam dan rasai semakin membusung pecah merekahkan keindahan susunan geometric bungaan yang sekian lama memotretkan ceria.


Apa ? Kalian hendak tahu mengapa ? Memang sudah ku duga kalian akan terus menyapa bisu begitu. Dari lerekan matamu membaca dan gerakan tangan mu menggerakkan curser berbentuk tikus itu sememangnya tepat membetulkan andaian dan agakanku, bukankah begitu kawan ??


Tapi, peduli apa kalian dengan masalah dan kesedihan ku, ianya masalah peribadi yang datang dan pergi. Datangnya untuk menguji dan menilai keampuhan sabar manusiawi.


Terpatri diingatanku jasa seorang rakan yang pernah membahu bersamaku berjuang menggapai ilmu di permukiman bumi gersang sebuah padang pasir bernama mafraq , Jordan.


Tatkala itu, kamilah warga Malaysia pertama yang perlu mencetak budaya mulia dan mengemudi sunnah terbaik untuk menjadi ikutan adik2 kami nanti. Begitu juga dengan amanah untuk menjadi DUTA NEGARA yang akan mengakar persepsi dan imej terbaik buat Negara.


Kini aku terkenangkan sahabatku ini, dia antara ratusan teman yang bersama menemani taman ilmu bersimpuh dan mendongak untuk menadah curahan ilmu para agamawan yang membuka ufuk kesedaran dan keintelektualan agama kami, bahkan dialah antara TOKOH dan HASILAN terbaik pergomolan ilmu di lembah dan sumur ini.

Masih teringat aku tatkala kami bersama menadah sebuah kitab tersohor dalam ilmu usul Fiqh iaitu Kitab al Luma’ Imam Syairazi bersama seorang tuan guru kami Syeikh Zainal Abidin dari SUDAN yang cukup amanah dan bersemangat melorongkan kefahaman ilmu kepada kami. Dengan perbahasan ilmu usul Fiqh yang diakui sukar untuk dihadam dan dilumati ini, aku melihat dia hanya tersenyum berteleku dengan khusyuk menanti setiap bilahan kata pencerahan dan penerangan tuang guru kami dengan wajah yang semakin berseri.


Dan tatkala satu ketika, kami tersadung minda dan berkhilaf kefahaman apabila dicabar soalan tuan guru kami, beliau dengan perwatakan ceria dan penuh gelak menjawab dan membuktikan kefahamannya yang diakui tepat oleh tuan guru kami. Ketepatan dan kespontanan jawapannya mengagumkan kami para pencinta ilmu yang terdiri dari pelbagai bangsa kala itu. Kala itu aku mulai mengakui kehebatan sahabatku ini kawan.


Idea dan wawasan ilmunya juga tinggi kawan, beliaulah calon utama kami untuk membedah ilmu dan menjalin kefahaman bila terdapat pengisian ilmu atau ceramah mahupun forum. Bercakap dihadapan sahabat seperguruan yang serba bermaklumat dan terisi dada mereka dengan kepelbagaian ilmu tidak pernah menjadikannya gugup meminjamkan pandangannya untuk dicerna oleh kami. Aku ketahui akhirnya, beliaulah juga calon popular para pelajar muslimat untuk dedikasi ilmu dan pengisian selain Ustaz Aizam Mas’ud pemilik blog Mufakir Islam.


Percayakah kalian kalau aku katakan dia tidak meminati mana2 pasukan bolasepak di dunia ini, tanyalah dia tentang penyerang dan posisinya, dia bukanlah orangnya yang pakar untuk mengulas dan bercerita. Tapi kalian jangan menyangka dia kaki bangku menyepak angin, dialah kawan STRIKER utama kami dalam pasukan underdog JARJIL dengan jersi hitam putih JUVENTUS membelah pertahanan lawan dengan gelecekan dan larian derasnya. Sekiranya dia tidak mendapat hantaran bola silang dari MUSLIM atau mendapat lorongan through pass dari NAJE dibahagian bawah, beliau ternyata bijak membuat tindakan penyudahnya sendiri. Kawan … dia bagiku seorang penyerang prolific yang semulajadi bijak menjadi pemangsa untuk menghidu peluang menggegar jarring, percayalah…..


Koloni kami pelajar Malaysia disana ternyata masih bersifat kampungan dan suka berada dalam komunitinya tersendiri. Kami biasanya akan menyewa bersama pelajar senegara kalaupun tidak senegeri untuk menjamin kesesuaian budaya, makanan dan membahu untuk keselamatan dan pelajaran. Namun, DIA sahabatku menepis segala aturan bukan rasmi ini untuk hidup bersama dua orang pelajar MASTER IRAQ yang juga menjadi guru Tafsir dan Hadis kami, Syeikh Ahmad dan Syeikh Yunus yang sememangnya jelas berkesempitan dalam kewangan dan bukannya ilmu. Dengan dua sahabatnya yang lain, beliau bersama melalui kembara ilmunya untuk terus menyumbang dan memberi tanpa lelah dan akhirnya persahabatan dengan teman serumah yang sememangnya kaya ilmu menambahkan point bonus ilmunya melebihi kami.


Dan dua minggu lalu, aku terserempak seorang rakan yang pernah menyantuninya di bumi dakwah TAWAU menyatakan dalam bicara ukhuwwah kami tentang kekagumannya yang sentiasa menyedari kehilangan DIA dari perbaringan seawal jam 2 pagi untuk bangun membasahi lidah dengan tilawah dan sujud. Selain itu, beliau juga menyantuni ilmunya secara terbuka dikhalayak tawau yang akhirnya mengiktiraf ketokohan dan kewibawaannya.

Katakan juga aku salah kawan, tatkala aku mendengarnya menjadi antara mereka yang dipilh tuhan untuk menjaga Quran tatkala beberapa tahun dahulu mendekam dalam tahanan angkara undang2 drakonian manuasiawi.


Dan kini, sekali lagi beliau teraniaya …. Dengan permainan kata dan alasan yang bisa direka percuma siapa sahaja untuk menjaga keselamatan Negara tanpa perlu dibukti dan dibicara. Aduhai kawan, takdirmu berbeza …. Tapi ingatlah, semakin berat ujianNYA tanda terawal semakin besar kasih sayang NYA.


Dan mungkin kini kalian kawanku sudah boleh mengagak derita sakitku ini. Aku kepiluan disiat pedih nasib yang menimpa sahabatku ini, dan dia adalah USTAZ NAZRI BIN DOLLAH yang kami kenali sebagai PAK DOL.

Sabarlah teman, moga pahala untukmu berpanjangan dan doamu sentiasa mustajab.

No comments:

Post a Comment