Monday, July 5, 2010

Berdakwah melalui Penulisan

Anda gemar menulis ? Untuk tujuan apa anda menulis ?
Sanggupkah anda menjadi penulis tanpa tauliah dan penghargaan ? Ikhlaskah anda dalam penulisan…?

Adakah penulisan anda menjadikan anda lebih baik dari sebelumnya ? Atau anda hanya umpama pembaling batu dibalik tembok lalu menyembunyikan tangan sendiri.

Anda ingin memberi tazkirah, tapi zahirnya anda ingin menutup kelemahan sendiri dan mendabik dada dengan kebaikan yang anda pertuturkan tapi tidak dilaksanakan.



Yakinkah anda dengan apa yang ditulis? Berpaksi manakah anda, kebenaran kah, atau hanya bergayut pada keindahan prosa kata yang dipilih. Adakah setiap bilahan kata sudah diuji dineraca hujjah atau berselindung dibalik pragmatik rasa dan fatamorgana fantasi.

Membacakah anda untuk menjadi seorang penulis …. ?

Kalau ya, dan masih berdenyut kotak fikir mencari jawapan pada persoalan yang diputarkan. Jejakilah pembacaan seterusnya berdasarkan bimbingan penulisan yang dipermudahkan oleh saudara Pahroul Mohd Juoi (Blognya gentarasa)

Antara panduan dan tip yang beliau kongsi:

1. Menulis untuk tujuan dakwah mestilah dengan gaya dan bahasa yang mudah. Gaya penyampaian mesti realistik supaya pembaca nampak dengan jelas apa yang disarankan dan mudah untuk mengamalkannya.

2. Penulis Islam mesti berjiwa da'i, berwatak murabbi dan pemimpin tak rasmi.

3. Setiap orang ada bidang yang dia mahiri. Dalam menulis, pilih subjek yang dekat dengan kita.

4. Hiasilah kebenaran dengan kata-kata yang indah, bukan menghiasi kata-kata yang indah dengan kebenaran. Utamakan kebenaran dalam menulis, bukan keindahan.



5. Tulislah dengan pendekatan yang mudah walaupun membawa mesej yang berat. Gunakan istilah yang senang difahami, bahasa yang dekat dengan sasaran dan contoh-contoh yang berlaku dalam lingkungan sasaran. "Tugas kita sebagai penulis adalah untuk menjelaskan satu-satu perkara yang susah," katanya.

6. Kita tidak tahu sama ada kita ikhlas atau tidak semasa menulis. Oleh itu, teruskan menulis, mudah-mudahan Allah campakkan keikhlasan ke dalam hati kita.

7. Penulis Islam mesti yakin dengan kebenaran, barulah dia dapat meyakinkan pembaca melalui tulisannya. Dengan kata lain, penulis Islam menulis dirinya - keyakinannya, tujuan hidupnya, pegangannya, sistem nilainya, sikap dan perjuangan hidupnya. "Be the message."

8. Penulis sebenar menulis kerana membaca. Sementara penulis palsu membaca kerana mahu menulis. Kaedah yang salah adalah apabila hendak menulis, baru membaca. Penulis mesti lebih banyak membaca daripada menulis. Apa yang ditulisnya hari ini mungkin hasil daripada bacaannya lima tahun lalu. Membaca satu keperluan, bukan satu hobi.

9. Baca secara selektif dan menjiwai apa yang dibaca, bukan secara 'fast reading'. Baca secara aktif - buat nota, tandakan bahagian yang penting.

10. Penulis mesti sentiasa bermujahadah dan tekun bermuhasabah. Tidak semestinya dia menulis apa yang sudah mampu dia amalkan, tetapi sekurang-kurangnya dia menulis apa yang dia sendiri sedang bermujahadah untuk amalkan.

No comments:

Post a Comment