Saturday, July 10, 2010

Menjejak Sahabat



Sememangnya takdir telah mempertemukan kami di permukiman ilmu dan tarbiah di Maktab Perguruan Islam , Bangi pada Januari tahun 2000 yang lalu. Perwatakannya yang bersederhana tapi menonjol, berwajah tegas tapi mesra berfizikal biasa tapi cergas dan cerdas.

Beliau merupakan antara sahabat lama yang saya amat rindui suara dan tegurannya. Beliau adalah murabbi dan muaddib. Tuturnya lembut namun beralun ketegasan. Wajahnya sentiasa menguntum senyum walau pelbagai masalah menghambatnya.

Dan saat yang paling saya tunggu ialah tika bibirnya mula mengatur bicara, berhujjah dan menyusun kalimah, terasa kata2nya begitu sempurna, yakin dan bernas. Apatah lagi saduran ayatnya tidak pernah sepi dari fakta dan ilmu, terasa seakan beliau KITAB HIDUP yang boleh dicontohi dan didampingi.

Sepagi berkuliah di kelas bahasa arab 06 yang sama, bicara sentiasa ditunggu untuk pemutus arena hujjah, malahan lelucon bernasnya berpaksi ilmu, dia dikagumi rakan dan saingan. Tengaharinya beliau mendahului rakan di Masjid dan diminbar ilmu, sesi tazkirahnya ditunggu dan hujahannya dinilai hebat dari rakan sepengajian, dan tika petang pula berlabuh, beliau cergas mengejar dan menggelecek bola dipadang maktab. Begitu juga tika sesi gerko berlangsung penuh kelesuan, beliau masih tetap tegar mempamer kemahiran kinetic sukan dan usaha tanpa henti dalam mempelajari sesuatu yang baru.

Boleh dikatakan, beliaulah IKON ISLAMIK mahasiswa timur tengah sesi 2000 dimaktab kala itu. Posisinya menjadikan beliau tempat rujukan rakan dan adik pelajar KDP yang ada.

Takdirnya juga kami terpisah bila saya dipostingkan ke Sabah.

Dan beritanya hilang dari pendengaran walaupun hati kekadang teringat dan teringin bersua kembali.

Dan di alam maya ini, saya berhasil menemuinya. Menemui fizikal blog mayanya. Meladeni tinta ilmu dan ekspresi emosinya. Memanfaatkan waktu mencari ibrahnya.

Beliau masih seperti dulu rupanya, menjadi harapan dan pembimbing komuniti yang terbaik. Moga Allah memberkatimu sahabatku dan meramaikan ummat Muhammad sepertimu.

Terima kasih sahabatku, Ustaz Mat Esa Deraman. (tokkupasirgudang.blogspot)

No comments:

Post a Comment