Monday, July 26, 2010

Rahmatilah Guruku Dr. Abd Qadir As Saadi.

Saya menerima email.

Kandungannya ialah gambar.

Sejuk mata memandang, terasa tangkai hati dipagut rindu, pijar seketika kolam rasa disimbah ingatan nostalgia silih berganti. Impaknya menimbulkan riak kasih yang tak keruan. Ombaknya resah memukul daratan kenangan.

Berbinar retina mata tanpa kelip, terasa teringin sekali memasuki ruangan 4 penjuru gambar yang terakam, kepingin sekali. Kalau lah ianya mungkin walau cuma seketika.

Tersenyum beliau didalam gambar, seperti selalunya dalam tenang dan jenakanya. Ramahnya sentiasa menyapa mesra setiap pelajar melayu disana.

Namun kali ini, gambarnya bersama pelajar melayu di Universiti Shariqah di Dubai, UAE setelah berpindah dari universiti kami yang penuh nostalgia Al-Al Bayt University. Salam dikirim melalui tinta teknologi , walau cuma gambar tidak bersuara, ianya menatijahkan pelbagai rasa.



Inilah gambar guru saya yang paling besar pengaruhnya dalam mendidik dan membentuk pemikiran saya masa kini.

Melaluinya kami anak2 musafir ilmu ini terasa terbela. Dengan tutur nasihat dan pengajaran, ianya lekas membekas dan menyusup meninggalkan kesan disanbubari.



Beliaulah Al Fadhil Dr. Abd Qadir As Saadi. Murabbi dan mursyid kami semasa di Jordan dahulu. Permukiman kami di balik sahara mafraq terasa terisi dan bermakna dengan kehadiran beliau.

Apatah lagi beliau sanggup berkongsi masa luar jadual pensyarahnya untuk mengajar kami tentang ilmu keagamaan samaada yang bersangkutan dengan bidang bahasa arab kepakaran dan specialistnya, mahupun bidang feqah syafei walaupun beliau merupakan seorang ulamak besar bermazhab hanafi.

Ditangannya lah kami sempat belajar dan menadah beberapa kitab utama agama sebelum kami pulang menjadi penyambung lidah ilmu ini ditengah masyarakat.

Antara kitab yang sempat diuliti bersamanya ialah Kitab Iqna’ Syarah Matan Abi Syujak, Kitab ar Rahabiah dalam cabang Faraid, Syarah Qatrun Nada dan kitab … yang diajarnya mingguan secara bergilir dari rumah kerumah pelajar Malaysia disekitar hayyu dhubbat sana.



Ternyata jiwanya besar, wawasan ilmunya jelas terserlah tanpa rasa ragu lagi.

Beliau amat disenangi rakan dan pelajar. Langsung tak terukir gelisahnya walaupun kondisi keluarganya di Iraq sana amat meruncing dan dihujung pengeboman dan kematian.

Moga Allah merahmatimu guru ku.

Ya Allah rahmatilah guruku Dr.Abd Qadir As Saadi, keluarganya dan sahabat2nya. Ya allah permudahkanlah segala urusannya, ganjarilah keluasaan ilmumu untuknya, berikanlah dia kekuatan untuk terus menabur ilmu dan khidmat demi agamamu. Amiin ya allah.

No comments:

Post a Comment