Friday, July 30, 2010

Ikon Imam Muda



KUALA LUMPUR: Rezeki menyebelahi Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 26, apabila dinobatkan juara Imam Muda pada pertandingan akhir di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), di sini, malam tadi.
Graduan Usuluddin dan Fikah Universiti Malaya (UM) itu menewaskan Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27, untuk merebut gelaran pertama Imam Muda.

Dengan kemenangan itu, Muhammad Asyraf menerima insentif berbentuk tawaran sebagai Imam Ratib (kontrak) di salah sebuah masjid di Wilayah Persekutuan.

Selain itu, Muhammad Asyraf juga menerima biasiswa pakej Berlian pengajian ke Universiti Antarabangsa Al Madinah (MEDIU), sebuah kereta Proton model Exora, pakej menunaikan ibadat haji, pakej umrah, pakej percutian ke Bandung selama empat hari dan tiga malam serta pakej perabot jati bernilai RM10,000.

Hadiah lain yang mengiringi kejayaannya ialah pakej spa Maghribi untuk seorang, wang tunai RM20,000, sebuah komputer riba Apple Macbook Pro, sebuah iPhone 3G, trofi Imam Muda serta sijil penyertaan dan kad pentauliahan diiktiraf JAWI.

Muhammad Asyraf ketika berucap sebaik menerima hadiah kemenangan mengucapkan terima kasih kepada isteri, ibu bapa, rakan-rakan dan penyokong yang mendoakan kejayaannya.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Astro, guru-guru, JAWI dan tenaga pengajar yang tidak kedekut ilmu, mursyid (mentor), mudir (pengetua), penonton dan wartawan yang menyebar luas (program Imam Muda).

“Hanya Allah SWT membalas jasa dan semoga kita bertemu pada program Imam Muda tahun depan,” katanya yang pernah berkongsi misinya mengubah persepsi masyarakat yang menganggap kerjaya imam hanya tertumpu di masjid dan majlis tertentu saja, sedangkan ia lebih meluas.

Naib juara, Hizbur Rahman pula membawa pulang biasiswa pakej Emas pengajian ke MEDIU, wang tunai RM15,000, trofi Imam Muda, iPhone, komputer riba, sijil penyertaan, kad pentauliahan diiktiraf JAWI dan beberapa hadiah menarik lain.

Turut diumumkan sebagai kejutan ialah hadiah tawaran biasiswa pakej Perak melanjutkan pengajian ke MEDIU kepada lapan peserta Imam Muda lain. Mereka turut menerima pakej percutian ke Bandung, sebuah Iphone, trofi dan sijil penyertaan.

Lapan peserta yang dimaksudkan itu ialah Sharafuddin Suaut, Ahmad Syakir Zamri, Amiril Md Banin, Nik Muhammad Adib Md Amin, Muhammad Khairul Azhar Ghazali, Nuri Ali Arbain, Ahmad Hazran Ahmad Kamal dan Mohd Taufek Mohd.

Bagi cabaran akhir, Muhammad Asyraf dan Hizbur Rahman dikehendaki menyampaikan tazkirah, mengaji Al-Quran secara bertaranum, menyanyikan lagu zikir dan menjawab soalan berkisar hukum agama Islam secara spontan.

Segala aspek pemarkahan dan penilaian diadili Tuan Pengetua yang juga bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Hasan Mahmud Al Hafiz. Beliau dibantu dua Mentor, Shahrizan Daud dan Syed Norhisyam Al Idrus, manakala Dzulkarnain Hamzah pula sebagai hos.

Imam Muda yang disiarkan Astro Oasis selama 10 minggu mencipta fenomena tersendiri biarpun kali pertama diterbitkan. Program realiti ini juga mencatat sejarah kerana mendapat liputan media antarabangsa.



INFO

Finalis Imam Muda

Nama Penuh: Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 26
Asal: Pulau Pinang
Tarikh Lahir: 12 Februari 1984
Bangsa: Melayu
Status: Berkahwin
Pekerjaan: Imam
Nama Isteri: Nurhusna Yusof, 23
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Fikah, Universiti Malaya
Menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Syariah di UM


Nama Penuh: Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27
Asal: Baling, Kedah
Tarikh Lahir: 1 April 1983
Bangsa: Melayu
Status: Berkahwin
Pekerjaan: Guru Tahfiz
Pendidikan: Sarjana Muda Syariah (Tahun Akhir), Universiti Al-Azhar, Mesir
Nama Isteri: Liliyana Hasanah Yudi, 23

No comments:

Post a Comment