Tuesday, July 6, 2010

Berlabuhnya Kalam Ilahi



Pelayaran Mashaf

Setelah tiga purnama berlalu,akhirnya kapal travelog pembacaan Quran kali kedua saya berlabuh jua di destinasinya.

Namun ianya agak terlewat dari masa yang dijangkakan, mungkin factor cuaca mood, ombak besar kesibukan, kabus kemalasan dan kesilapan pembacaan kompas disiplin merencatkan sedikit perjalanan saya di samudera kalam tuhan ini.

Ianya terbabas 6 hari dari tarikh sebenarnya.

Biarpun begitu, alhamdulillah … perlabuhannya menceriakan seluruh penumpang dan kelasi kapal jiwa ini. Runtunan rindu dan keinginan berjumpa keluarga menggamit semangat gigih nakhoda dan awak-awaknya untuk terus melanjutkan pelayaran, persis tarikan hati untuk terus melanjutkan pembacaan saban waktu bagi melunaskan janji dan azam yang telah terpatri.

Ibrah Musafir

Pelayaran dan permusafiran harus teguh berdiri dan seiring berlari. Jangan hanya kerana badai dan kabus mengganggu hadangan penglihatan, kita terencat berhenti dan kemudiannya sesat hilang haluan di samudera waktu. Belayarlah walau seketika, berjalanlah walau perlahan, sematkan disiplin dalam rutin seharian, menunggu dan bertangguh hanya akan membantutkan permusafiran.

Kekadang teringat saya dalam kabus tebal yang melanda permusafiran saya dan kawan2 dii pertengahan kota kundasang sabah, mungkin kesilapan jadual perjalanan kami yang kekadang sengaja tidak mengikut masa puncak dan selesa, sememangnya kerja dakwah dan hidayah menuntut waktu dan tenaga tambahan.

Maka tidak hairanlah kalau perjalanan dari Kinabatangan ke Kota Kinabalu kami mulakan seawal jam 12 malam seusai mesyuarat dan program, langsung bertembung di kaki pergunungan Kinabalu itu timbunan selimut kabus yang menebal mengizinkan jarak penglihatan hanya untuk 5 hingga 10 meter sahaja. Jentera kereta ini terus kami luncurkan walau agak perlahan gerakannya namun pastinya bila ia tiba di celahan jalan terselindung kawanan pepohon hijau kabus mula menepi dan membuka ruang jalan untuk kami. Bayangkan mereka yang berhenti dan menyapu tepi jalan hanya akan terkandas dan membantutkan perjalanan. Sang kabus akan terus menimbun dan menyelimuti alam dalam dakapan tidur yang begitu mengasyikkan.



Kendiri Amali

Dan kata kunci utama bagi permusafiran ini ialah disiplin dan target, letakkanlah sasaran. Biarpun ianya menyasar namun tidak terbazir jauh. Kalau menyimpang sekalipun kita bersyukur untuk mengubah strategi dan mengkonkrit azam dan bangkit mencuba semula. Semuanya kerana ada kayu ukur sasaran yang telah dipancang terlebih dahulu.

Al Quran adalah kalam Allah, kemuliaannya diberikan oleh Allah, ahli quran adalah ahli Allah, justeru janganlah menyombong diri, kita pasti jahil dan sirna harapan untuk membacanya jika hanya bergantung pada kemahuan dan kudrat diri, pastinya kesibukan dan pelbagai rencam halangan lain yang akan mengganggu, hanya mereka yang mendapat rahmat allah dan kurnianya diizinkan untuk tilawah dan membacanya.


Ya allah, rahmatilah kami dengan kemuliaan al Quran, jadikanlah ia panduan, cahaya petunjuk dan bimbingan kami dalam kehidupan ini, Ya allah, perelokkan ingatan kami dengan al quran jika kami terlupa dan ajarkanlah kami jika kami jahil dan tidak tahu. Dan kurniakanlah kepada kami nikmat pembacaannya siang dan malam kami.dan jadikanlah ia saksi dan hujjah kami dihadapanMU nanti ya allah
.

No comments:

Post a Comment