Friday, July 23, 2010

Saingan Komitmen Pelajar

Meluncur deras kalimah alhamdulillah dari bibir saya tatkala melihat kehadiran AJK persatuan Islam di sekolah saya untuk bersama solat berjemaah. Ternyata komitmen mereka masih utuh walau ada juga yang terpaksa diketuk dan diperingatkan.

Buku Fadhilat Amal yang dihadiah dan berstatus WAKAF oleh seorang sahabat guru yang teruja dengan komitmen persatuan pelajar islam disini, kami baca dan telaahnya sebaik mungkin. Walau dalam jumlah yang mungkin masih minority, komitmen pelajar untuk menimba ilmu-ilmu agama juga terserlah. Nasihat agama yang dibacakan tentang solat misalnya, diulang-ulang sesame rakan untuk menjadi renungan dan obor sedar keinsafan.

Sayang … Cikgu Fairuz yang pada awalnya berstatus Guru Sandaran tidak terlatih, juga yang telah menghadiahkan buku itu kepada kami akhirnya berpindah menyambung Kursus KPLI yang lebih menjamin kerjayanya.

Diambang Ramadhan ini kami cuba gamatkan aktiviti, biarpun tahap kesibukan aktiviti persekolahan yang tingkah meningkah programnya berselang, kami celah dan selitkan perancangannya sebaik mungkin. Dalam celahan aktiviti sekolah dengan hari merentas desa, malam ko-kurikulum, hari unit beruniform dan lainnya, kami sempat merealisasikan satu KEM BESTARI (versi PMR) dan juga program ZIARAH DAKWAH bersama Bakti.

Lestarinya ia menjadi trademark satu program yang berjaya dan boleh dicontohi.

Namun …. tanpa sedar, saya rupanya telah membangkitkan amarah. Tanpa niat ada hati dalam persatuan yang terkilan, sekam jealous membara memarakkan api tersentuh perasaan.

Lalu… kemuncaknya ia dilahirkan dalam satu pertemuan, kami ajk Bakti pun mahukan program sekerap BALKIS, kami sanggup bersekang komitmen demi kelangsungan program terbaik bagi kami.

Dan ustaz ni, asyik tersasul sibuk BALKIS aje…… persatuan pelajar islam kat sini ialah BAKTI lah. Komen panas mereka mengusik cuping seketika. Saya hanya mampu tersenyum…

Insya allah, kita cuba laksanakan program sebaik mungkin. Bukan kuantiti aktiviti yang kita cari tapi kualitinya ya …. Ujar saya memujuk mereka. Harapannya, moga mereka memahami.

Tiba-tiba sayup mata saya menangkap tinta entry ini (diambil dari blog pimpinan pelajar saya, Hazmizal). Mungkin mereka mahu mula memahami !!

BAKTI VS BALKIS

Bakti merupakan Badan Kepimpinan dan Tarbiah Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan St. Xavier. Ianya ditubuhkan pada awal tahun ini. Semua pelajar islam di sekolah ini merupakan anggota Bakti...

Pelbagai aktiviti yang telah dilakukan oleh Bakti pada tahun ini..
Antaranya Sambutan Maal Hijrah, Kem Ibadat sempena Maulidur Rasul, Pertandingan Poster [ Rasulullah S.A.W. Utusan Terakhir ] dan Sebagainya..



Semoga Bakti terus maju di kemuncaknya.....

Balkis merupakan badan yang telah ditubuhkan oleh ustaz Hafizullah di sekolah tempat dia mengajar di Sabah. Balkis sering menjadi ungkapan apabila ustaz berada bersama kami.. Ustaz cuba membawa Bakti seiring dan semaju Balkis..

Balkis menjadi kenangan yang terindah kepada Ustaz Hafizullah.



Apa-apa pun, Bakti masih baru dan kami mampu untuk bersaing secara sihat dengan Balkis..

Biarlah masa menjadi penentunya...

4 comments:

  1. salam ustaz.

    tersenyum seketika bila membaca entry ini. Ternyata semangat mereka memang kuat dalam bepersatuan. Moga pergerakan BAKTI yang diterajui kaum adam ini akan mampu bergerak lebih pantas dan lebih bersemangat dalam setiap gerak kerja yang dilakukan.

    ReplyDelete
  2. Semangat orang muda dan hikmah kematangan orang dewasa perlu dipacu seiring agar lebih efektif impaknya.

    Persaingan dan perbandingan adalah perlu, tapi bagi ustaz, yang pentingnya... jadilah diri sendiri. UNIK ...lebih istimewa.

    terkenang zaman awal penubuhan Balkis dahulu, lebih banyak sendu dari senyumnya, tapi nostalgianya amat manis.

    ReplyDelete
  3. ya kan... bagai telah tersirat lama.

    ustaz menyusup ke sisipan memori. Rupanya ustaz pernah menulis tentang Balkis.
    Entah mengapa tajuknya yang terpilih : BALKIS seindah namamu, seharum BAKTImu.

    dan keduanya pasti menjadi kenangan terindah ustaz dipenghujung senja usia nanti.

    dan antara yang ustaz pasti ingat adalah RATNA, pengerusi pertama persatuan pelajar islam dibawah bimbingan ustaz..

    moga bintang ratna cerlang sinarnya, dan membawa qudwah dan manfaat untuk semua.

    amiiiin ya rabbal alamin.

    ReplyDelete
  4. insyaAllah ustaz, besar harapan besar juga tanggungjawab yang digalas.

    masih mencari ruang dan peluang untuk terus meningkatkan diri, moga diberi kekuatan agar mampu menghadapi setiap cabaran dan dugaan. Apatah lagi hidup di perantauan, walaupun cuma sekecil laut yang memisahkan.

    ReplyDelete