Thursday, December 10, 2009

Anak Permata Kehidupan

Terjahan Rindu

Entah mengapa hari ini saya merasakan entry ini amat menyentuh hati dan wajar di tulis.

Mungkin ianya datang bersama sedikit kerinduan yang bergentayangan disudut hati, ianya amat bermakna untuk saya dan tidak keterlaluan untuk renungan kita bersama.

Kisah kehilangan empat orang anak sekelip mata dalam tragedi di Bandar Muadzam amat merentap naluri siapa yang mendengarnya. Terasa betapa berkuasanya tuhan mengatur perjalanan hidup ini.

Siapa menyangka anak yang berusia muda boleh pergi mengadap tuhan terlebih dahulu. Perginya bukan seorang malahan berteman dengan abang dan kakak2nya.

Rasa kehilangan yang tidak sedikit dan pastinya dirasai amat oleh mereka yang melaluinya.

Hakikat anak dalam kehidupan

Kerana itu jugalah kita seharusnya amat menyedari tentang hakikat anak yang dikurniakan tuhan ini untuk kita. Mereka datang sebagai penyeri rumahtangga dan amanah kehidupan untuk kita, bukannya ia hadir sebagai hadiah hiburan semata-mata atau juga sebagai punching bag deraan manusia.

Justeru kesedaran ini memerlukan kita merafakkan berbanyak syukur kepada tuhan pencipta yang menganugerahkan kita nikmat anak ini.

Islam memohon kita berlaku adil kepada semua manusia, dan tidak terkecuali anak-anak. Janganlah para ibubapa meletakkan kasih dan hadiah berlebihan terhadap anak kesayangan dan meminggirkan yang bakinya.



Siapa tahu antara anak yang ramai dan ada ini, siapakah yang akan muncul sebagai manusia paling berjasa dan banyak berbakti kepada dua ibubapanya.

Pepatah arab mengatakan : Al Umuur bil Khawatiim, bermakna sesuatu perkara itu akan dinilai berdasarkan kemuncak dan penghujungnya. Jika seorang pelajar cemerlang di Tingkatan 1 tapi gagal di SPM tiada maknanya. Oleh itu ibubapa memerlukan konsistensi memberi didikan dan kasih sayang kepada semua anaknya.

Ibrah surah Kahfi

Pesanan tuhan yang jelas termaktub dalam surah al Kahfi juga boleh dijadikan sebagai renungan. Kasih sayang melampau terhadap anak boleh membunuh akidah dan keimanan.
Betapa ramai para ibubapa membenarkan kemaksiatan anak atas nama kasih sayang.

Teringat kisah jiran ipar saya yang menceritakan seorang anak gadis meminta restu dan mencium tangan bapanya untuk keluar bersiar menunggang motorsikal bersama teman lelakinya meraikan peperiksaan SPM yang baru berlabuh. Inikah bapa yang ingin dibentuk oleh Islam.

Mari kita melihat antara intipati khutbah hari raya aidil adha yang saya ambil dari laman ekhutbah milik sepupu saya Ustaz Syairazi Atiqullah yang banyak mengutarakan koleksi khutbah terbaik dengan data maklumatnya, inti pengajaran dan ibrahnya, fakta dalilnya dan isu semasanya. Moga antum juga dapat memanfaatkannya.

Dipetik dari ekhutbah aidiladha 1430H.

Firman Allah dalam surah al-Kauthar :

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)

Ketika menyambut hari korban maka kita turut ingat tentang perintah Allah melalui surah al-Kauthar agar kita menghidupkannya dengan solat sunat hari raya dan juga ibadat korban yang begitu banyak kelebihannya. Menyingkap kepada pengajaran penting surah yang sama iaitu bagaimana nabi Muhammad s.a.w turut berdepan dengan manusia takabbur yang menolak dakwah Islam sebagaimana nabi Ibrahim a.s.

Malah nabi pernah dituduh sebagai manusia yang putus keturunan atas alasan semua putera baginda mati ketika masih kecil padahal bangsa arab terutamanya menganggap bahawa anak lelakilah sebagai penerus keturunan sedangkan anak perempuan hanya mengikut keturunan suaminya bila sudah berkahwin.

Tuduhan liar dan jahat kuffar dijawab oleh Allah bahawa merekalah sebenarnya terputus nikmat di dunia apatah lagi di akhirat nanti kerana Islam terus berkembang, dakwah nabi terus berjaya dan diteruskan sedangkan amalan kuffar terus ditinggal dan dilupa sebagaimana kita jarang mendengar walaupun daripada mulut orang kafir sendiri bahawa mereka mengikut ajaran Firaun, Namrud, Abu Lahab dan sebagainya. Sedangkan Islam walaupun nabi Muhammad s.a.w telah meninggal kita lebih 1400 tahun yang lalu namun ia terus diperjuangkan sehingga hari qiamat.

Oleh itu kita mesti menjadi umat yang sentiasa mendapat nikmat daripada Allah di dunia dan akhirat dengan memahami dan melaksanakan Islam dalam setiap aspek kehidupan bermula daripada diri sendiri diikuti keluarga, masyarakat seterusnya negara.

Pastikan kaum lelaki menjadi bapa yang baik kerana bapa terbahagi kepada tiga jenis iaitu

[1] bapa yang terlalu garang sehingga hilangnya rasa kasih sayang dalam keluarga.

[2] bapa dayus yang membiarkan anak dan isteri derhaka pada Allah seperti mendedah aurat, bergaul bebas sehingga kita begitu gerun dengan suatu kajian yang dibuat 2 dekad yang lalu yang menunjukkan bagaimana 2 daripada 3 pelajar sekolah pernah berzina dan apa yang lebih malang kebanyakan mereka berzina dalam rumah bukannya di luar.

[3] bapa yang penyayang sebagaimana yang disarankan oleh nabi melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Thobrani :

Maksudnya : Sebaik-baik orang diantara kamu ialah orang yang berbuat baik kepada ahli keluarganya dan aku terbaik antara kamu sentiasa berbuat baik kepada ahli keluargaku

Pastikan anak-anak kita dapat menjadi manusia yang berguna kepada keluarga, agama dan negara semasa kita masih hidup dan bila kita sudah menghembus nafas terakhir nanti dengan memberi didikan agama yang sebaiknya.



Didiklah anak supaya sentiasa berdoa untuk kedua ibubapanya terutama selepas kematian keduanya.

Ibarat kata syair arab bahawa bukanlah dikira anak yatim semata-mata kematian ibubapa sebaliknya anak yatim yang sebenar ialah anak yang mempunyai ibubapa namun mereka lebih sibuk dengan urusan hidup sehingga mengabaikan perhatian kasih sayang dan didikan sewajarnya terhadap anak


Moga kita dapat menunaikan tanggungjawab dan amanah kehidupan ini.

No comments:

Post a Comment