Saturday, December 12, 2009

Kematian satu Pengajaran - Penilaian seorang Kenalan

Kejutan dan Kesayuan

Malam ini, hati saya diguris kejutan dan sayu.

Terkejut dengan salam pertanyaan tentang sahabat lama dari teman penang melalui shoutbox saya, sesuatu yang amat merisaukan saya. Apatah lagi berita yang saya terima sebelum ini hanyalah tentang tahap kesihatan kritikal beliau yang dimasukkan ke Hospital di Jordan akibat serangan jantung.

Berada pada usia yang masih muda, mungkin beberapa umur sahaja lebih berumur dari saya, mendaki ke tahap diplomatic dalam kerjaya adalah seuatu yang amat membanggakan. Dan ianya juga menghairankan kalau dikira dengan logic pemikiran untuk kita kehilangannya.

Mengesahkan Berita

Prinsip saya dalam menerima berita ialah berkecuali dan tidak terus mempercayai atau menolakknya. Bukankah hadis nabi ada menyebut : Cukuplah digelar seorang itu sebagai penipu apabila ia menceritakan @ mempercayai apa sahaja yang didengarinya.

Situasi sama yang saya alami ketika diajukan maklumat pemergian seorang tokoh ulamak baru2 ini yang saya pasti anda semua juga mengetahuinya : al Fadhil Ustaz Ismail Kamus.

Ramai yang mengutus dan merangkaikan berita ini, saya panggilnya berita palsu atau lebih teruk lagi maafkan saya kalau saya nyatakannya sebagai satu pembohongan terhormat. Lalu dengan sopan dan penuh beradab diminta kita terlibat sama untuk terus membenarkan penipuan ini dengan katanya : SEBARKAN.

Penipuan terhormat ini adalah satu dosa. Samaada kita sedar atau tidak, tahu atau tidak , sengaja atau tidak.

Kesannya bukan sedikit. Ia mengelisahkan orang lain. Ia menyedihkan orang lain. Ia membingung dan meributkan orang lain bahkan ia menghabiskan duit orang untuk sama mempercayai dan menyambung mesejnya.

Moga kita sama – sama dapat mengingatinya dan mula belajar daripadanya kerana saya juga menerimanya bukan dari mereka yang tidak dikenali, tetapi dari rakan seusrah dan sepengajian yang barangkali memandang mudah dengan perkara seperti ini.

Bila kesahihannya sudah terbukti sebaliknya, adakah para penghantar sms ini akan menghantar mesej mintak maaf dan terlanjur menghantar mesej maaf saya tersilap. Jawapannya mudah…tidak sekali-kali.

Mengesahkan Kesahihan

Sumber yang saya ada dan ingat disaat ini adalah blog sahabat saya ustaz norazamuddin (abuawatif.blogspot) yang pernah melaporkan tentang tahap kesihatannya dan memohon kesatuan doa sahabat sejordan untuk terus mendoakannya.

Dari sana saya terus merujuk ke laman peribadi ust arman sendiri, dan pastinya bukan dia yang bercerita tetapi laman sembangnya (armanmdrusoff.blogspot) membawa saya memahami bahawa tuan empunya blog ini sudah kembali kerahmatullah pada malam 11 Disember dan akan diterbangkan jenazahnya kembali kekampung halamannya di ketereh, Kelantan untuk disemadikan.



Sayu kehilangannya bagi saya tetap terasa, beliau merupakan guru pembimbing saya dan isteri semasa membuat praktikal perguruan di sekolah Maahad Hamidiah Kajang pada tahun 2000 dahulu.

Seorang yang tegas dan teliti, pendiam juga orangnya, tidak banyak bergurau namun masih mampu membuat jenaka bersama kami, adik sepengajian diJordan dulu bila ada masa terluang di bilik kaunseling dimana kami ditempatkan dahulu.



Ustaz Arman Md. Rusoff kembali ke Rahmatullah di bumi Jordan, semasa menjalankan tugasnya sebagai Atase Pendidikan di Jabatan Penuntut Malaysia, Amman, Jordan.

Benarlah janji tuhan dalam surah Luqman pada ayat yang terakhirnya menyatakan :
وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (34)

Kamu tidak tahu apa yang kamu akan lakukan pada esok hari, dan kamu sama saekali tidak tahu dibumi manakah kamu akan bersemadi mati.Sesungguhnya Allah itu maha mengetahui dan luas ilmunya.

Moga kematian ini memberikan sebaik ibrah dan pengajaran kepada kita.

No comments:

Post a Comment