Sunday, December 20, 2009

Hijrah Dalam Hijrah

Hijrah dalam Hijrah

Tatkala ini , pasti ramai yang memperkatakan tentang hijrah. Dengan sambutan dan pesanan, ianya agenda penting umat ini yang harus diangkat menjadi syiar utama Islam.

Pesanan akhir rasul kepada kita : Hijrah bukan lagi berbentuk fizikal merentas sempadan geografi tapi hijrah sekarang ini dinilai berdasarkan keazaman niat dan usaha mujahadah untuk memperbaiki diri dan mengubah sempadan iman dalam kehidupan.

Dalam selubung suasana Hijrah tahun 1431H ini, saya melangkah kealam baru yang tidak pasti.

Mungkin menjejak dan menelusuri langkah hijrah nabi yang meninggalkan kampong halaman dan terus berkelana.

Tapak semaian dan lubuk dakwah ada dimana-mana, selagi mana kita bernama manusia, kita akan terus leka dan lupa. Kita perlu bermuhasabah, tegur menegur dan saling memperingati diri kita.

Tika saya meletakkan kaki di atas permaidani pesawat yang akan membawa saya berhijrajh keluar meninggalkan bumi sabah tercinta, hati terus dipagut sayu. Tempoh 9 tahun disini bukanlah jarak masa yang pendek, ianya mungkin meliputi 1/6 umur saya. Ianya umur istimewa saya, umur muda dan mencari kematangan diri. Umur mentarbiah hati dan jiwa.

Jauh mata memandang keluar jendela walau sesekali Alif Kecil saya merengek manja di ribaan minta diagah dan didukung.

Menungan di alam Hijrah

Perasaaan saya melayang ke sisi perjuangan getir nabi dalam hijrah yang berdebu kesukaran. Mampukah saya mencontohinya sedangkan perjalanan saya dihidang selesa dengan pesawat kemas tanpa debu.

Nabi dan para sahabat meninggalkan halaman Mekah dengan persiapan minima tanpa membawa harta kecuali bekalan sehelai sepinggan yang dipakai dan mampu dibimbit dalam perjalanan beribu batu. Saya pula pulang selepas menyelesaikan urusan Kargo bersama SUBALI PACK dengan kapasiti kotak barangannya berjumlah 141 dan satu kereta.

Nabi dan para sahabat berstrategi melangkah keluar dengan tawakal bergantung dihati untuk sampai kedestinasi, jiwa mereka sedar maut dan halangan alam akan menguji mereka sepanjang perjalanan. Nabi dan Abu Bakar dengan strategi bijak hijrahnya, Saidina Umar dengan projek berani hijrahnya, dan sahabat yang lain dengan tabah dan sabar hijrah mereka yang keluar menyusup ditengah malam dan bersembunyi disiang hari untuk misi yang teragung…HIJRAH, bukan melarikan diri dari medan dakwah dan ujian, tetapi membawa agenda baru ummat ini yang akhirnya merubah lanskap politik dan dakwah keseluruhannya.

Nabi membawa rakan dan keluarga untuk berhijrah, mengajar ummat tentang kesatuan dan persaudaraan.

Persaudaraan dalam Hijrah

Nabi mengajar bahawa hijrah tidak akan berjaya tanpa persaudaraan ansar muhajirin yang membentuk keutuhan politik pemerintahan, nabi juga mengasaskan kasih sayang ini dengan nilai agama tanpa kepura-puraan dan persepsi tersembunyi.

Bumi sabah juga merupakan bumi hijrah, dakwah , persaudaraan , Bantu membantu, latihan tarbiah dan tuntutan kreativiti dakwah adalah elemen penting kearah kewujudan entity islam dan pemerintahannya yang kuat. Tapi sayangnya, ramai muhajirinnya pulang kepangkuan halaman atau masih terus berkelana dilokasi berbeza seperti saya. Ianya sememangnya agak membantut dan memperlahankan gear dakwah dan perjuangan.

Identiti Hijrah

Namun hijrah akan tetap berdenyut dalam urat nadi umat ini.

Ianya akan terus segar memberi harapan dan garapan baru perjuangan.

Hijrah adalah cas keimanan dan suntikan vitamin perjuangan.

Ianya obor pengorbanan disamping itu syiar agung bahawa islam ini sempurna dan mempunyai identity istimewa tersendiri.

Hijrah saya dan hijrah nabi dan sahabat terlalu jauh perbandingannya, namun izinkan saya wahai tuhan untuk sama meletakkan kaki dalam langkahan hijrah para umat terdahulu dalam merobek tabiat mazmumah lama dan membentuk sikap mahmudah baru mengikut paiawaian yang diletakkan Allah yang maha berkuasa.

Moga allah memayungi kita dengan rahmatnya sepanjang perjalanan hijrah kehidupan kita.

No comments:

Post a Comment