Monday, December 7, 2009

Mencari Terminal Kehidupan

Terminal Persinggahan

Hari kedua Disember menyaksikan sekali lagi Innova ini berjasa membawa saya ke Pulau Mutiara ini untuk misi mencari rumah tumpangan ketika permusafiran disini kelak.

Mengelilingi bahagian Island di Pulau Pinang ini menyaksikan pengalaman yang pelbagai dan cukup berbeza dari bumi bawah bayu dahulu.



Dengan kehidupan yang sentiasa bergerak, kesesakan lalulintasnya, para pengguna jalan raya nya yang kurang berdisiplin, kemajmukan masyarakatnya menjadikan saya manusia baru yang sentiasa mencari ibrah.

Lampu trafik masih lagi merah, namun beberapa motorsikal bahkan kereta sudah mula melintas tanpa perlu menunggu ianya bertukar hijau... adalah pandangan asam garam biasa oleh penduduk pulau ini. Himpit menghimpit, berlumba untuk cepat kedepan dan pelbagai karenah lagi antara yang saya saksikan seawal kunjungan saya kesini.

Saudara Pembantu Setia

Dari taman dan lorong saya menjelajah, itupun dengan pertolongan seorang saudara jauh Suhaimie yang banyak membantu. Dengan kepakaran dan pengalamannya memandu van sekolah, setiap lorong dan denai adalah mainannya. Kami seolah dibawa pemandu pelancong menceritakan sejarah dan pelbagai rahsia tempat disekitar pulau ini.

“Sila telefon saya semula .... ada roadblock dihadapan” katanya pantas menutup handphonenya ketika dia baru sahaja menelefon rakannya bertanya lokasi rumah untuk kami. Terpinga-pinga kami satu van dengan gelagatnya, dengan jalan yang berselekoh dan ditepinya bukit bukau , bagaimana dia boleh menjangka dan mengagak sekatan polis dihadapan jalan.

Selang seminit kemudian disebalik selekoh, apa yang disebutnya memang wujud. Terdapat sekitar 5 orang pegawai polis sedang menjalankan tugas mereka menahan beberapa kereta ... dan kami yang sudah bersedia, tersenyum memandang polis yang melepaskan kami pergi. Tapi saya masih lagi tersenyum dan dihantui... ilmu apa yang dipakainya menduga roadblock dijalanan. Dan ketika saya mengusik untuk mengorek rahsianya, dia hanya tersenyum sambil mahal menyimpan rahsianya.

Lama kami meninjau persekitaran taman dan kawasan di sekitar pulau ini, namun yang ada hanyalah tinggi tersergam bangunan flat dan apartment yang menjangkau ketinggian 20-30 tingkat dengan ruang parking yang kecil, ada pula apartment yang eksklusif yang kelihatan mewah dan bersifat terlalu privacy.
Namun keduanya menjamin persamaan harga yang sama ... RM450 untuk rumah 2 bilik dan RM 750 untuk rumah 3 bilik. Manakala rumah taman biasanya akan mencecah angka ribu. Sesuatu yang kami telah jangka dan maklumi awal dari maklumat kawan –kawan disini.

Perumahan Bunga Raya Daerah Gelugor

Akhirnya dia membawa kami ke perumahan di Jalan Bukit Raya di daerah Gelugur, berhampiran dengan kawasan kontroversi Kampung Bukit Pala yang mula ditarah persekitarannya untuk dibuat projek pembangunan, berdekatan juga dengan Kompleks Kastam dan SK Bukit Gelugur , kami menghala ke sebuah rumah kosong yang baru ditinggalkan penyewanya yang bertukar ke Shah Alam.



Dengan laman yang agak luas, memiliki 3 bilik besar dan 2 ruang tamu agak selesa ianya terus memikat hati kami tapi yang ralatnya hanya memiliki 1 bilik air sahaja. Bertemu dengan tuan rumahnya Mr Yap yang agak friendly namun sibuk dan sentiasa tergesa-gesa, beliau keluar dari kereta mewah Mercedesnya dan membuka pagar dan taklimat tentang rumah ini. Dengan harga sewa lama yang sememangnya RM1000, kami berjaya menawarkan nya kepada harga yang lebih baik bagi kami iaitu RM800.

Tidak lama kemudian kami dikunjungi oleh Bendahari Persatuan penduduk disitu yang ingin memaklumkan sesuatu kepada tuan rumah kami, saya sempat mengajukan soalan tentang keselamatan dan sejarah kecurian dikawasan tersebut, pesara cikgu yang bernama Mr Santokh itu menyatakan jaminannya. Beliau yang berjiran dan tinggal selang beberapa rumah dari kami menyatakan belum pernah terdengar kejadian seumpama itu dikawasan ini. Moga ia berterusan selamat insya allah, doa hati saya.

Berada dikawasan yang berhampiran dengan Masjid At Takwa menjadikannya pilihan utama saya, apatah lagi bonusnya ia dikelilingi dengan kemudahan asas seperti pasar, klinik, pejabat pos, nursery dan tadika serta hanya 10 minit sahaja untuk ke USM. Moga ianya mempermudahkan gapaian cita-cita yang masih terpendam dan membara.

Hiduplah kamu umpama seorang Pengembara

Hidup ini adalah permusafiran............. Hijrah dan pengembaraan memerlukan kesabaran, kebijaksanaan merancang, merendah diri, tidak sombong dan sentiasa cuba mewujudkan rangkaian rakan baik yang luas, pandai menilai risiko dan mencari ruang dan peluang dan tidak lupa perkara yang paling utama ialah pergantungan dan tawakal pada yang maha merancang dan mentadbir alam ini.

Maksud hadis nabi inilah yang memotivasikan saya... hidup ini akan terus kita layarinya sebagai permusafiran yang mengejar masa dan detik, mencari untung dan laba dunia akhirat, menggapai ilmu dan pengalaman , menabur budi dan jasa, menyambung rakan dan taulan serta menyumbang kebaikan dalam jiwa hamba terhadap Allah yang maha Esa.

Moga Allah menerima saya sebagai hambanya.

No comments:

Post a Comment