Monday, May 3, 2010

Tafsir Surah Nuh ( Bahagian 1)

TAFSIR SURAH NUH

Ringkasan dan Nota Kuliah Tafseer di SMK Abdullah Munshi
Pencatat : Ustaz Hafizullah Ubaidah, Gelugor, Pulau Pinang

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

إِنَّا أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَى قَوْمِهِ أَنْ أَنْذِرْ قَوْمَكَ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (1) قَالَ يَا قَوْمِ إِنِّي لَكُمْ نَذِيرٌ مُبِينٌ (2) أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاتَّقُوهُ وَأَطِيعُونِ (3) يَغْفِرْ لَكُمْ مِنْ ذُنُوبِكُمْ وَيُؤَخِّرْكُمْ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى إِنَّ أَجَلَ اللَّهِ إِذَا جَاءَ لَا يُؤَخَّرُ لَوْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (4)قَالَ رَبِّ إِنِّي دَعَوْتُ قَوْمِي لَيْلًا وَنَهَارًا (5) فَلَمْ يَزِدْهُمْ دُعَائِي إِلَّا فِرَارًا (6) وَإِنِّي كُلَّمَا دَعَوْتُهُمْ لِتَغْفِرَ لَهُمْ جَعَلُوا أَصَابِعَهُمْ فِي آَذَانِهِمْ وَاسْتَغْشَوْا ثِيَابَهُمْ وَأَصَرُّوا وَاسْتَكْبَرُوا اسْتِكْبَارًا (7) ثُمَّ إِنِّي دَعَوْتُهُمْ جِهَارًا (8) ثُمَّ إِنِّي أَعْلَنْتُ لَهُمْ وَأَسْرَرْتُ لَهُمْ إِسْرَارًا (9)


Nabi Nuh 'Alaihis Salaam

Nabi Nuh adalah cucu Nabi Idris dan salasilahnya keatas sampai kejalur Syith anak Nabi Adam. Jarak antara Nuh dan Adam adalah 10 abad (1000 tahun). Nuh adalah Rasul Allah yang pertama yang diutus ke atas bumi ini , sedangkan Adam, Syits dan Idris yang diutus sebelumnya hanyalah bertaraf Nabi saja, bukan sebagai Rasul kerana mereka tidak memiliki umat atau kaum.

Kisah Nabi Nuh disebut pada 43 tempat di dalam Al Quran. Malahan nama beliau dijadikan sebagai salah satu nama surah dalam Al Quran iaitu Surah Huh. Beliau termasuk salah seorang daripada lima Rasul yang bergelar Ulul ‘Azmi. Sungguh banyak penderitaan dan cubaan yang menimpa beliau semasa beliau menjalankan tugas sebagai Rasul, bukan saja dari kaumnya tetapi juga dari keluarganya sendiri seperti dari isterinya dan anaknya. Beliau berdakwah siang dan malam selama 950 tahun namun kaumnya yang beriman kepadanya hanya 80 orang bersama dengan isteri isteri mereka masing-masing (menurut riwayat Ibnu Abbas).

Beliau mempunyai empat orang anak. Seorang daripada mereka bernama Kan’an . Dia durhaka kepada ayahnya dan tidak beriman kepada Allah. Kan'an mati ketika banjir dan taufan melanda bumi ketika itu kerana keengganannya mengikuti perintah ayahnya agar menaiki bahtera.

Adapun tiga anaknya yang lain iaitu Sam , Ham dan Yafith terselamat kerana patuh kepada ayah mereka dan beriman kepada Allah. Penduduk bumi hari ini adalah keturunan dari tiga orang anak Nuh tersebut. Dan menurut riwayat Imam Ahmad: Dari Sam lahirlah orang Arab dan dari Ham lahirlah orang Habsyi dan dari Yafith lahirlah orang Rum. Wallahu A’lam

Pendahuluan

Surah Nuh mengandungi 28 ayat. Ia merupakan antara surah Makkiyah iaitu surah yang diturunkan dimekah dengan topic utamanya ialah pembentukan aqidah muslim dan kekuatan jiwa. Keseluruhan surah ini menceritakan perutusan Nabi Nuh A.S mnyampaikan dakwah kepada kaumnya dan mungkin kerana itulah juga Allah menamakan surah ini sempena namanya.

Surah ini juga menjelaskan pengalaman pahit getir dakwah seorang Nabi iaitu Nuh yang juga digelar sebagai Sheikh AL Anbiya’ menghadapi kedegilan dan kesesatan kaumnya, kesabarannya menahan segala keperitan dakwah melayakkannya dinobatkan sebagai Nabi Ulul Azmi, satu pengiktirafan yang cukup agung dari Allah yang maha esa diatas keupayaan dan kejayaan dakwahnya melangkaui tempoh masa yang cukup panjang.

Dengan perjalanan dakwah yang mencecah 950 tahun, sememangnya nabi nuh layak digelar ikon dakwah tertua dikalangan para nabi yang mana allah angkat kisahnya untuk menjadi pengajaran kepada semua orang yang beriman.Di samping itu, surah ini juga menggambarkan perjuangan yang penuh dengan kesusahan, kepenatan yang menuntut kepada kesabaran, pengorbanan dan kegigihan para rasul dalam menyebarkan dakwah kepada manusia yang sesat, degil, menderhaka, angkuh dan pandai membuat tipu daya dan helah.

Bukan sekadar retorik penceritaan, bahkan Allah sengaja ingin mengajar kita menteladani kisah nabinya yang mulia ini berdakwah, dengan penuh kebijaksanaan hikmah, kreativiti pujukan, didikan dan asuhan,malahan dalam memberi amaran dan berhujjah dengan pelbagai teori kebaikan untuk mengajak manusia menginsafi keesaan tuhan. Juga mengajar sikap pengharapan dan pergantungan sepenuhnya kepada Allah tanpa takut dan gentar dalam menyatakan kebenaran, juga menjejak sifat kesungguhan dalam mencintai hidayah dan kebaikan ini kepada kaumnya sehinggakan tiada terpancar dan sirna cahaya mataharinya siang dan malam kecuali kita akan melihat susuk tua kenabian ini tetap tabah dan konsisten menyeru kaumnya tanpa lelah berputus asa.

Moga dengan penelitian kita menikmati bahasa dan cerita alquran ini akan menambahkan kemanisan iman dan keterbukaan ufuk idealisme dakwah yang seharusnya dihadamkan para pencinta islam ini dimana sahaja kita berada. Biarlah kembara dakwah kita didalam kehidupan ini menjadi travelog hidayah yang akan memandu kita kearah keredhaan Allah sentiasa.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment