Wednesday, May 12, 2010

Tafsir Surah Nuh ( Bahagian 7- Terakhir)

وَقَالَ نُوحٌ رَبِّ لَا تَذَرْ عَلَى الْأَرْضِ مِنَ الْكَافِرِينَ دَيَّارًا (26) إِنَّكَ إِنْ تَذَرْهُمْ يُضِلُّوا عِبَادَكَ وَلَا يَلِدُوا إِلَّا فَاجِرًا كَفَّارًا (27) رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَنْ دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَارًا (28)

26. dan nuh berkata lagi : wahai tuhanku, (binasakan mereka) dan jangan engkau tinggalkan walau seseorang pun orang kafir (untuk hidup).

27. sesungguhnya mereka kalau dibiarkan hidup, nescaya akan terus sesat dan melahirkan dari keturunan mereka manusia yang jahat lagi kufur.

28. ya allah, ampunkanlah aku dan kedua ibubapaku, dan juga untuk semua yang memasuki rumahku (dalam keadaan beriman kepada Allah samada) dari kalangan lelaki atau wanita, dan jangan engkau berikan kepada orang yang zalim itu kecuali kecelakaan (dunia dan akhirat)

Doa Nabi Nuh A.S kepada Allah

Pada ayat 26-28 barulah beliau mengakhiri doanya dengan sempurna dan rayuannya kepada Allah di akhir perjuangan dakwahnya yang panjang dan penuh kesulitan. Pada ayat 26 diungkapkan doa Nabi Nuh A.S memohon kepada Allah supaya menghapuskan sekalian manusia yang zalim hingga tiada seorang pun dibiarkan tinggal di muka bumi kerana jika dibiarkan mereka tinggal di muka bumi nescaya mereka akan menyesatkan yang lain.

Nabi Nuh menutup doanya dengan memohon kepada Allah agar mengampunkan dosanya, kedua ibubapanya, mereka yang masuk ke dalam rumahnya dalam keadaan beriman dan sekalian mukmin dan mukminah. Manakala beliau mendoakan kepada orang-orang yang zalim supaya tidak ditambahkan sesuatu selain daripada kebinasaan.

Mungkin satu persoalan yang bermain diminda kita, bolehkah seorang manusia mendoakan keburukan dan kecelakaan kepada orang lain ? Jika tidak, kenapakah nabi semulia dan setabah Nuh akhirnya sanggup mencerca dan melaknat kaumnya. Adakah ini bukti keharusan melaknat orang yang jahat dan sesat atau nabi Nuh sendiri telah melakukan dosa dan kesalahan menghukum dengan doa kecelakaan kepada kaumnya sendiri.

Perkara ini sebenarnya telah diperjelaskan Allah dalam episode tragic dakwah yang diharungi Nuh dengan tabah. Tatapilah ayat 32 surah Hud yang menjelaskan bahawa doa laknat dan kecelakaan sebenarnya tidak pernah diminta dan dicetuskan oleh nabi Nuh, bahkan ianya adalah pemintaan angkuh sombong kaumnya yang sentiasa memuncak kebenciannya kepada dakwah Nabi Nuh, hingga mereka sanggup berkata : Wahai Nuh, kamu ini hanya pandai berkata2 dan bercerita, jika kamu benar, pohonlah doa kepada tuhanmu menurun laknat dan kecelakaan kepada kami sekiranya engkau sememangnya berada dipihak yang benar.

Bahkan kesabaran nabi nuh begitu terpuji apabila ia terus sanggup menerima panghinaan dan cacian daripada kaumnya dan meneruskan dakwah tanpa mengambil langkah balas memohon laknat kepada mereka. Beliau terus bersabar dengan akhlak dakwah terpujinya hinggalah turun ayat ke 36 surah hud yang menyatakan pengumuman ilahi berhubung dakwah dan penderhakaan kaumnya, Dan tatkala kami wahyukan kepada Nuh, sesungguhnya (telah sempurnalah tugas dakwahmu) dan tidak akan beriman lagi (walau seorang pun dari kaummu) kecuali mereka yang telah beriman denganmu sebelum ini, dan janganlah lagi kamu bersedih atas perbuatan engkar mereka itu.

Dan seterusnya, nabi Nuh diberi tugasan baru dalam arena kenabiaannya dengan bukan lagi bermain kata2 dakwah, tapi dengan bisu suaranya nabi Nuh ditugaskan Allah membina sebuah bahtera penyelamat besar, dan dengannya Allah menyatakan: binalah sebuah bahtera besar dan janganlah lagi kamu berbicara dengan mereka, sesungguhnya mereka semua akan (binasa) tenggelam.

Maka jelaslah kepada kita, prinsip kenabiaan ini ialah mematuhi perintah allah walau apa sahaja yang diwahyukan, para rasul akan tega melakukannya dengan taat tanpa pernah ada rasa cuak mengingkarinya.

Iktibar dan pengajaran

Gambaran perjuangan Nabi Nuh A.S dalam surah Nuh ini dapat menjadi bekalan kepada para pendakwah (da’ie) untuk meneruskan perjuangan dan pengorbanan mereka….walaupun kehidupajn ini penuh dengan ujian dan tribulasi serta terpaksa menempuhi kesusahan demi kesusahan, mereka tetap teguh (thabat) di atas jalan ini kerana inilah satu-satunya jalan yang dapat membawa manusia kepada Allah dan mendapat kebahagiaan yang hakiki di dunia dan di akhirat.

Rujukan dan Sumber :

1. Sofwah Tafaseer – Muhammad Ali Sobuni , Darul Fikr
2. Tafsir Quranil Aziim – Abul Fida’, Ismail Ibn Katheer – Dar Mufeed
3. Tafsir Fi Dzilal Al Quran – Assyahid Sayyid Qutb
4. Rujukan ISMA - Tafsir Surah Nuh

No comments:

Post a Comment