Friday, March 26, 2010

Al Fatihah Untuk Guruku Sheikh Mohd Khalil Bin Sheikh Ahmad

Pemergian Sheikh Mohd Khalil Bin Sheikh Ahmad. Al Fatihah.

Mendapatkan berita pemergiannya seawal jam 7.00 pagi amat mengejutkan saya, sedikit sebanyak kehilangan insan yang banyak jasanya merencatkan keceriaan hati saya pagi itu.

Namun mesej yang saya terima, saya tatap sayu sambil mendoakan segala yang terbaik buat ustaz khalil yang diingati.

Terdetik hati untuk sama menghantar mesej pemergiaannya kesemua rakan Sabahan dan ex MPI dan yang mengenalinya, moga doa tulus dari sahabat seperjuangan akan mempermudahkan perjalanan rohnya kealam yang lebih abadi.

Dalam kagetan mesej yang baru diterima, tangan saya tiba2 kaku untuk meneruskan niat awal, ingin saya cari kepastian dahulu. Dan apabila mesej2 dari sahabat yang lain sampai ke kotak pengetahuan saya samaada melalui email ataupun mesej handphone, fahamilah saya … al Fadhil Ustaz Khalil telah kembali menemui cinta abadinya.

Al Fadhil Ustaz Sheikh Khalil bukanlah orang yang asing bagi saya yang mengenalinya sebagai guru bahasa arab semasa pengajian KPLI di Maktab Perguruan Islam di Bangi dahulu.

Perawakan yang agak serius dan wajahnya yang garang menyebabkan kami para ustaz muda graduan Jordan ini sedikit kecut,hormat dan kagum, apatah lagi penguasaan bahasa arabnya amat baik walaupun beliau tidak pernah menyambung pelajaran ke timur tengah. Beliaulah antara hasil terbaik Pengajian Arab ditanah melayu versi dahulu.

Namun kehadirannya kekelas antara yang dinantikan, perawakan wajah seriusnya sama sekali berjauhan dengan perwatakan ceria dan jenakannya bila bersua, beliau seperti tidak pernah marah dan tawanya seakan terakam dimemori ini setiap kali kami bersua. Katanya penuh nasihat dalam versi orang lama yang begitu kaya dengan pengalamnnya.

Al Fadhil Ustaz bersama dengan Ustaz Muzni (HEP MPI) tika itulah yang paling digeruni pelajar asrama, dengan jerkah dan tegurannya, para ustaz berdarah muda ini akhirnya patuh dan mendisiplinkan diri pada setiap peraturan terutamanya waktu solat. Dengan sabar beliau berhenti ditepi padang memperingatkan ketibaan maghrib, tika amarah muda masa rancak memburu bola.

Beliau seterusnya ditawarkan jawatan pengetua disekolah agama Sandakan. Selama beberapa tahun beliau mengabdikan diri dan membawa perubahan baru disana.

Hinggalah beliau akhirnya diserap ke jawatan tertinggi pendidikan islam di sabah pada waktu itu sebagai Ketua Sektor SPPIM.

Mungkin jodoh kami panjang dan saya masih sempat lagi untuk terus bersua dan berguru dengannya di Kota Kinabalu, apatah lagi al Fadhil Ustaz ditakdirkan hidup dalam kejiranan saya di Taman Yakim Jaya, Likas. Apatah lagi isterinya Ustazah Zainun dinaikkan pangkat kejawatan HEM disekolah lama saya SMP. Hubungan kami terus berlangsung hormat.

Walaupun sibuk dengan tugasannya disektor pendidikan islam yang terlalu besar fungsi dan aktivitinya, beliau masih sempat menuai ukhuwwah dan bermasyarakat. Beliau sentiasa menjadi rujukan dikalangan kami, dan kewujudannya ditaman kami menjadikannya Insan Terbaik dan Terpilih untuk kami para ustaz dan jiran menjadikkannya sebagai guru mulia pembelah mulut (tahnik) bagi anak2 kami. Anak ketiga saya diTAHNIK oleh beliau dirumah lama saya dahulu dalam majlis yang dihadiri seisi taman.



Meriah dan penuh Barakah, malam itu saya memerhatikan bibirnya dan mengaminkan doa beliau supaya anak2 kami membesar menjadi anak amilin yang soleh dalam islam. Doa yang cukup istimewa diadun dalam ungkapan bahasa arab yang amat menarik, belum pernah saya mendengarnya sebelum ini.

Dan semasa kami sibuk melaksanakan program korban aidiladha peringkat sekolah, beliaulah yang turun untuk bersama menjadi tukang sembelih dan pengagih utama dagingnya. Kebersamaannya bersama kami tidak ternilai.





Akhirnya beliau berpindah ke Putrajaya menjawat jawatan baru, seingat saya sebagai ketua dibahagian dakwah.

Dan disanalah hubungan kami terpisah lama, hinggalah hari ini, berita kehilangannya menyambung semula hubungan ini, namun dalam ertikata doa dan ingatan seorang mukmin kepada saudaranya.

1 comment:

  1. Begitulah ketentuan llahi 'apa yang kita perolehi dan apa yang kita tidak boleh perolehi'. Allah jua yang Maha Mengetahui, Maha Adil dan Maha Pengampun.....(rakan lama Ustaz Khalil-: Dr Haji Rajiee Hadi, MPI 1995-2005). Alfatihah.....

    ReplyDelete