Sunday, March 28, 2010

Komitmen Subuh

Pagi saya disapa dengan satu persoalan rumit yang perlu diselesaikan segera.

Diajukan seorang guru senior yang begitu prihatin, jujur dan ikhlas memberi pandangan dan menyalurkan penyelesaian. Beliau saya kenali sebagai seorang kakak yang baik hati dan mudah menghulur bantuan. Keramahannya menegur saya dan selalunya beliau menumpang bilik agama saya untuk solat zohor dikala kelas tingkatan enamnya berlanjutan hingga ke jam 3.30 petang menggusarkannya selalu andai tidak sempat bersolat dirumahnya. Jujurnya saya memandangnya mulia dan menyimpan hormat padanya.

Tatkala ustazah kami terpaksa bercuti kerana terkena buatan orang (baca bersalin), beliau kekadang terpilih menjadi ustazah ganti untuk kelas agama yang ditinggalkan. Keprihatinannya membolehkannya menyelami pelbagai masalah agama pelajar yang saya tidak sempat perhalusi. Pemilihannya bagi saya amat bertepatan dan kena pada masanya.
Terima kasih Kak Halina.

“ Rupanya ustaz, ada ramai pelajar kita yang tak bersolat subuh, mereka terpaksa datang awal kesekolah dengan menaiki bas seawal jam 6 dan sampai sebelum jam 7. Mereka tiada tempat untuk solat kerana surau berkunci. Bila saya tanya, mereka jawab hanya qadha dirumah sahaja setiap hari , harap ustaz dapat bantu mereka.” Ujarnya sewaktu kami terserempak dikantin sekolah satu hari.

“Kunci surau ada pada saya dan ustazah, saya hanya berada disekolah setiap hari jam 7.20 pagi tak sempat nak membuka surau, kalau diserahkan pada pelajar pun. Saya khuatir ia akan menjadi port ponteng dan lepak pelajar sebelum masuk ke kelas awal pagi. Mungkin ada juga yang masih ingin menyambung baki tidur disekolah, apapun saya cuba fikirkan sesuatu” kata saya sambil tangan sempat mengeluarkan duit membayar harga minuman. Aah, masih berbaki 80 sen,saya terkial menggapai kocek dengan sebelah tangan memegang pinggan sarapan.

Takpalah ustaz, bakinya kak lina bayarkan.

Terima kasih, moga murah rezeki. Doa saya membalas budi.

Separuh pagi minda saya berputar ligat, mencari jangkaan penyelesaian termungkin bagi mengatasi keadaaan, juga menyelidik silang nama sahabat yang mungkin boleh membantu, juga mencari kaedah selamat dan senang untuk dipraktikkan.

Disurau kami, bukan sekadar pintunya bahkan pilinya juga memerlukan kunci dan tombol untuk membukanya. Satu alternative tradisi yang saya warisi untuk memastikan keselamatan dan mengelakkan salahguna dan pembaziran.

Jam 12 sempat saya menemui beberapa pelajar yang diadu masalahnya, mereka menyatakan kekecewaan kerana tidak dapat bersolat. Dengan kesal mereka hanya mampu qadha sebagai tanda bersalah dan masih sayangkan taat.

Bingung lagi. Adakah kunci surau ini patut diijazahkan pada seorang pelajar? Atau tombol keramat ini juga disembunyikan diluar surau? Atau saya wasiatkan mereka berwuduk awal dan menjaganya, saya bekali mereka dengan sejadah diluar surau? Entahlah, Penyelesaiannya belum menjengah minda.

Tiba waktu zohor, allah melapangkan kerja dan keputusan saya.

Dengan bantuan ustazah ganti yang baru, beliau sanggup menjadi pembuka surau dan pemerhati dari jam 7 pagi setiap hari. Saya amanahkan beliau untuk memastikan tiada yang mengambil kesempatan tidur dan berbual kosong saban hari. Beliau menyatakan kesanggupannya yang terpuji. Moga hidupmu diberkati Ustazah Siti Atikah.

Usai zohor, saya duduk memberi amanat tergempar. Betapa berdosanya janji allah kita mungkiri. Betapa khianatnya menjadi petualang yang engkar untuk sujud bersyukur. Solat bukannya mainan dan perhiasan, dia adalah jiwa dan uniform islam. Bukanlah islam bagi mereka yang tidak bersolat.



Marilah kita menjadi hamba allah yang bersyukur.

Janji terpatri, azam bersemadi lafaz, moga allah mempermudahkan.

Esok lusanya, saya menziarahi awal ke surau pagi, alhamdulillah …. Bermula dengan 3 orang pelajar, kini sudah sampai belasan pelajar yang mahu datang menunaikan syukur pada allah diawal pagi ini.

Syukur dipanjatkan hanya untuk Allah.

No comments:

Post a Comment