Thursday, February 4, 2010

Charity Week – Kelainan Budaya Kerja

Hari Berkebajikan

2 minggu berlalu pantas, puing masa seolah ditinggal jauh tanpa dirasa. Tenang pagi diganti keriuhan. Anak kecil belajar berusaha, menimba pengalaman menjadi usahawan.

Bersama wawasan kebajikan, mereka didorong berusaha membantu, menggandakan pendapatan demi memberi. Dengan memberi mudahan akan memiliki. Memiliki erti dalam hidup ini, erti pada hati dan harta. Juga erti pada hari sesudah mati.

Sekolah kami mengadakan Minggu Kebajikan yang berjalan saban hari dengan penuh kemeriahan dan kegamatan. Pelajar2 setiap tingkatan berlumba untuk mencari cara membuat duit.

Tradisi menjaja makanan dan barangan dari kelas ke kelas tidak pernah menghampakan.

Dari nasi lemak, kerabu, roti canai, hinggalah kepada pizza, shushi mahupun lollipop pasti ada pembelinya.

Praktikal Keusahawanan

Seperti kata pepatah arab : likulli saaqitotin illa walaha laaqitah. Maknanya : tidak akan ada barang yang tercicir, pasti akan ada juga manusia yang mengutipnya.

Barangan terjual sempurna. Walau harganya saya lihat agak mengerikan dengan saiz dan kapasiti barangan yang kecil ciput, namun rupanya baru saya tahu, kuasa beli pelajar disini amat luarbiasa.

Dengan roti keping yang disalut mentega dan sosej bersos spageti, mereka namakannya pizza dan dijual dengan harga RM2.50 pun sudah ramai peminatnya. Apatah lagi dengan jualan air kotak, tin bergas dan jus bercampur aiskrim sejujurnya terus menggamit pembeli yang memborong banyak bukan sekadar melihat cuma.

Wawasan guru dan kerjasama pelajar dalam menjayakan aktiviti cukup baik. Ianya seolah chemistry yang tercipta dari tradisi lama yang semakin mencapai kesempurnaan.

Guru membantu menyediakan, pelajar bersatu menjaja dan menjualkan.

Satu hari, bilik guru kami bergelap, dengan plug yang terlekat pada soketnya overload, hangus terbakar. Begitulah betapa hangat semangat dan panasnya perlumbaan mencari apperentice usahawan ini.

Dana Prihatin

Dana yang dikumpul setiap kelas setiap hari akan dilekatkan diatas carta dan dipamerkan. Terdapat 4 kelas yang sudah berjaya mencecah jualan keparas RM 2,300 dan yang lainnya masih bersaing ke angka RM 1,500 keuntungan bersih. Tapi tak dinafikan ada juga kelas yang hanya berposisi pembeli dan bergelut membuat keuntungan jualan walau hanya RM 20.

Saya difahamkan dana charity ini akan disalurkan ke 7 buah rumah kebajikan meliputi setiap bangsa dan agama. Satu taktik yang cukup bijak bagi saya untuk memenangi hati semua pihak dan warga sekolah.

Pembelian atas nama kebajikan pastinya akan mengugat hati. Biar Tuhan jadi saksi, hidup ini biar berbakti.

Gaya Pemikir

Saya memainkan peranan pemerhati. Melihat suasana yang cukup asing dari rutin kehidupan yang pernah saya alami. Sememangnya masyarakat bukan islam ini kekadang lebih mudah menderma dan berkebajikan.

Adakah kerana mereka kaya dan kebanjiran duit ? Atau kerana mereka ingin menjual dosa dan menebusnya dengan pahala ? atau kerana mereka ingin dekat pada tuhan dalam mebantu manusia.

Entahlah, jawapan yang belum saya temui, tapi hakikatnya kuasa ekonomi dan dana missionary lebih hebat dari umat islam yang dianugerahkan tuhan dengan lautan kekayaan minyak dan anugerah. Tapi realitinya, wacana dakwah hanya boleh diprogramkan dibawah tempurung ekoran kekangan dana dan kebajikan.

Setiap hari, antara waktu pertama dan ketiga, kalau anda seorang guru dan berada dikelas, terimalah hakikat, anda takkan sempat untuk menghabiskan satu tajuk silibes pun. Persis drama dan wayang yang ditayangkan dikaca tv, ianya program yang akan sentiasa diganggu iklan, begitulah sesi P&P tika ini, setiap 5 minit anda memulakan bicara. Pastinya ada iklan baru masuk mempromosikan barangan dan jualan.

Arahanya, biarkan mereka menjual, dan biarkan juga pelajar yang ingin membeli, dan kalau tidak silap formulanya, benarkan juga pelajar untuk makan dan emnikmatinya dikelas asal tidak mengganggu pelajaran.

Bayangkan peruntukan masa 40minit sewaktu dijenguk selingan iklan sekitar 2minit. Jika ianya datang dari 10 kelas dan pastinya lebih, anda hanya memerlukan 20minit untuk mengawal kelas, memberi salam, memulakan bicara, menegur, membuka buku dan kemudiannya menutup buku dan salam.

Saya kira ianya harga yang patut kami bayar demi sebuah kebajikan….. dan dana sekolah.

Sekolah yang masih berkategori sekolah bukan bantuan penuh kerajaan terpaksa mencari dananya sendiri, pengurusan utility sekolah dan infranstrukturnya yang cukup banyak memerlukan hak belanjawannya tersendiri.

Untuk itu, anda sebagai guru perlu berkompromi. Dan saya kira ianya latihan praktikal untuk melahirkan jiwa usahawan berbanding ritual kitab yang diajar tentang ekonomi dan perdagangan.

Dan acara kemuncaknya nanti ialah satu HARI KANTIN sekolah.

Ia dijadualkan pada Jumaat bertarikh 5 Febuari 2010.

No comments:

Post a Comment