Monday, February 22, 2010

Eratkan Salam

Kesempatan sesaat saya gunakan sebaiknya. Tatkala kelas agama baru bersurai. Saya mengambil peluang bersalaman dengan para pelajar.

Kejap tangan mereka saya genggam, muka mereka saya tatap satu persatu.

Bibir menguntum senyum dan hati berbunga harap, moga Allah memilih kita untuk diberi hidayah.

“Kemas betul ustaz jabat tangan kita ya” telinga saya tercuri dengar perbualan pelajar yang sedang memakai kasut. “Ya, terasa betul genggamannya” jawab seorang pelajar tanpa sempat mengetahui suaranya telah dirakam masuk kotak pendengaran saya.

Hati saya bermonolog.

Salam itu adalah syiar islam, mengucapkan salam bermaksud membiasakan diri mendoakan saudaranya dalam kesejahteraan dan kebahagian.

Salam merungkai hasad dan dengki, salam mengakis rasa cuak dan amarah. Salam mempertaut hati dan naluri.

Bila salam berjalin dengan jabatan tangan. Ia menguatkan ikatan. Bukan sekadar perkataan ia berangkai tali dengan perbuatan. Bukan sekadar pendengaran tapi ditambah aroma ukhuwwahnya dengan sentuhan. Keajaibannya menuntun hati kearah kerendahan budi, penghormatan dan persaudaraan.



Inilah suasana iman dan ukhuwwah yang saya rindukan ketika di SMP dahulu. Dengan para pelajar berdedikasi agama dan komited akhlaknya, mereka terpelihara dalam doa dan harapan.

Bukan seorang dua pelajar perempuan yang ingin menyalami saya sebagai tanda hargai budi dan ilmu, mereka juga bermohon untuk saya terus memimpin doa dan qiam malam mereka.

Segera saya tarik tangan dan letakkannya didada. Tanpa nada, reaksi fizikal saya bersuara. Salam antara lelaki dan perempuan tidak boleh untuk yang bukan mahram. Mereka memahaminya.

Saya ucap lagi dalam situasi berbeza : Mencium dan menyentuh babi yang berlumuran najis lebih mulia dari menyentuh tangan wanita.

Gamat seketika kelas. Saya membiarkan minda mereka bekerja. Membuat telahan dan analisis. Lalu saya menyatakan kenajisan babi tidak membawa kepada dosa, bahkan ianya satu aplikasi ilmu dan pahala sekiranya kita tahu cara membersihkannya.

Manakala tiada sentuhan atau berduaan antara lelaki dan perempuan kecuali akan ada hembusan bayu syaitan yang mendorong kejahatan dan maksiat. Tika itu, tiada lagi status mahupun usia yang menjadi penghalang. Tiada lagi uda atau dara, tiada lagi nenek atau cucu, tiada lagi murid atau guru, tiada lagi janda atau suami orang. Yang ada hanyalah mainan syaitan – iaitu kau lelaki dan dia perempuan.



Sesungguhnya setiap perkara yang besar bermula dengan langkah yang kecil. Dan dosa besar hanya bermula dengan rasa biasa dan tidak peduli melakukan dosa hanya kerana ia kecil.

Bukankah pepatah arab menyatakan – as salam , summal kalam, summal liqa’wal wuquu’fil muharramat. Kronologi zina biasanya bermula dengan cetusan kecil seperti salam, kemudian bercakap, kemudian berjumpa, berkasih, berdua-duaan dan akhirnya lupa hokum halal dan haram.

Mereka yang beriman akan bersungguh menjauhi dosa walau sekecil manapun ia.
Moga ianya dapat menjadi dakwah amali bagi diri saya.

Juga sebagai satu teladan dakwah fardiah untuk para anggota dakwah dan sahabat.

Nabi menjabat tangan sahabatnya dengan erat sambil mata menatap wajah. Ikatan iman tersimpul kukuh, Ukhuwwah dipersada hati. Rasa cinta dan ingin mempertahankan nabi menyelubungi angkasa iman.

Moga saya dapat mengamalkan setitis sunnah nabi dalam masyarakat minoriti islam di sekolah ini.

No comments:

Post a Comment