Thursday, February 18, 2010

Masjid Al Husna - Lantera Hidayah Kecilku

Masjid Al Husna, Kampung Baung Bayam

Keindahan dan kebaikan merupakan intipati judulnya, kemuliaan dan keagungan warisi santun fizikalnya, imarah dan berilmu adalah variasi aktivitinya.

Melalui google, ia berada dalam senarai awal masjid negeri kelantan dan terletak 3 km dari Bandar kota bharu.

Terletak ditengah kampung, ia mudah menggamit perhatian dan perpaduan setempat.Di terajui seorang imam tua yang saya hormati, Tn Hj Yaakub bin Awang, masjid ini seindah namanya mewarnai dunia kanak-kanak dan remaja saya.

Ia banyak meninggalkan benih nostalgia yang mewangi dalam kehidupan ini. Saya serta keluarga menjadi antara pengunjung kecil setia ke rumah allah ini.



Jasa Dididkan Abah

Abah merupakan orang yang pertama mengasuh dan menjinakkan hati kami untuk setia bertamu disini. Dengan suara abah yang merdu dan bacaan al quran yang baik, abah sentiasa diunjuk tempat imam untuk memimpin solat dan dilantik menjadi antara jawatankuasa penting masjid hingga kini.

Walaupun dulu, abah selalu diculik tugas pentingnya, kami terbiasa dengan amalan ke masjid ini. Apatah lagi kami anak-anaknya adalah pelajar sekolah agama Maahad Muhammadi yang terawal di kampong ini perlu menjadikan ilmu itu amalan dan adat itu menjadi ibadat. Nawaitu kami untuk memperbaiki diri dan menjadi imej contoh islam kepada anak-anak kampong disini.

Dengan basikal kecil kami meredah jalan kampong setiap kali azan berkumandang, menuju tapak hidayah yang terbentang indah. Disanalah akhirnya kami mengenal persahabatan, kami mengenal hormat orang tua, kami belajar ilmu agama, kami mempraktikkan pengetahuan sedia ada.

Zaman itu, abah kami berada diposisi penting negara, menjawat jawatan ketua audit negeri (kelantan dan terengganu) menyebabkannya harus sentiasa meninggalkan kami. Walau jiwanya memberontak untuk pulang keteratak kampong menjenguk dan mendidik anak membesar, namun perkhidmatannnya amat ditagih. Walau ditolak segala pangkat and jawatan, beliau tetap disuakan amanah.

Akhirnya kami sentiasa kehilangannya, namun auranya sentiasa berada disisi kami, kami digalakkan solat berjemaah hingga kini. Kami juga diizin menyertai pelbagai aktiviti agama dan social anjuran masjid, bahkan kami kanak2 ceria dizamannya membantu acara majlis ramadhan dimasjid tua kami.

Kami datang kesana pada tahun 1980-an selepas menetap lama di Kg Telipot, tak salah saya MAMI saya melahirkan adik ke 6 kami, Ainuddin pada tahun 1982 dirumah baru kami. Disanalah hubungan kami dengan masjid ini bermula.

Laskar Masjid al Husna

Mungkin ada aura dan kelebihan sendiri, anak-anak kecil ini akhirnya menjadi magnet ikutan kanak2 seusia kami untuk mengunujungi masjid yang sama. Disana kami berkenalan, menangkap ikan, berbasikal, bermain bola, meredah usia remaja kami bersama.

Terlintas nama – nama kawan kecil ini seperti mawardi, jo, pendi, jimi (arwah), juki , miyan, hisyam, bob dan ramai lagi yang berbonceng ke masjid tika masuk waktunya. Tapi kini masing-masing membawa haluan sendiri dalam kerjaya hidup, entah dimana mereka, moga masjid menjadi tempat ibadat mereka lagi.

Begitu banyak kenangan berlalu, mewangi dikantung sejarah. Sesuatu yang mustahil diulang semula, hanya pita rakaman memori saja yang setia memutarkannya bila rindu bertamu.

Begitulah anak-anak kecil ini membesar, dalam watak dan plot hidup tersendiri, inilah lascar pelangi kecil saya.

Kuliah Pengajian Umumi

Dimasjid ini pada awal 90-an, masih terlalu kecil, namun ianya mampu menghadir ketenangan dan kerinduan tiap kali bertandang.

Walau begitu, kuliahnya tatkala itu masih setia saya hadiri tiap malam, Pak Su Daud (arwah) mengajar Quran, Tuk Imam Yaakub mengajar tafsir dan kuliah subuhnya, Ustaz Hashim mengajar hadis pilihan dari kumpulan jabatan perdana menteri, ustaz Hadi mengajar tasawwuf dan Ustaz Wan Umar mengajar Fiqh Syafei.

Masa berlalu begitu pantas, saya membesar dalam kedewasaan, hari ini fizikal masjid juga berubah. Dan pastinya amanah pengimarahannya juga turut bertambah.

Terima kasih dan moga ganjarannya pasti ditulis allah untuk para jawatankuasa masjid yang ikhlas memakmurkannya dari dulu hingga sekarang.

No comments:

Post a Comment