Saturday, February 20, 2010

Maulidur Rasul - Lambang Rahmat Tuhan Untuk Alam

Kalendar Rabiul Awal

Alhamdulillah, tatkala kalender menginjak ke bulan penuh eri iaitu Rabiul Awwal. Bulan yang Allah pilih untuk menjadi saksi alam bahawa manusia paling agung pernah hadir dan dilahirkan ke dunia ini.

Rasul bukan hanya hadir sebagai ikon dakwah, bahkan ia hadir sebagai lambang rahmat Allah kepada alam ini. Kehadirannya bukan memeriahkan alam dengan pertambahan seorang manusia tapi baginda hadir sebagai seorang yang menjadi penyelamat kepada alam ini dari kehancuran dan kesesatan.



Nabi juga adalah mercu dan simbol penyatuan ummah, kerana itulah ia menjadi antara intipati soalan pengesahan iman yang akan ditanya oleh para malaikat penjaga kubur untuk memastikan jaminan keislaman akan membawanya ke syurga.

Sambutan Bermusim

Penghayatan Maulidurrasul tidak seharusnya disambut bermusim, seharusnya ia dirasakan merentasi detik dan masa, bukan berdasarkan bulan tapi melangkaui tahun dan zaman.

Perlu diingat, terdapat perselisihan berlaku dalam memastikan bulan kelahirannya, terdapat periwayatan yang berbeza sebagaimana dicatatkan ibnu kathir tentang tarikh kelahiran baginda. Mungkin ramai yang menerimanya pada 12 rabiul awwal namun untuk mengesahkannya seratus persen adalah sesuatu yang mustahil. Golongan awal ulamak islam lebih dikenali berdasarkan tarikh kematian mereka bukannya kelahiran.

Cinta Perayaan

Kerana itulah cinta rasul tidak perlu dinyatakan hanya SEHARI dalam setahun sahaja.

Merayakan Maulidurrasul sebagaimana perayaan lain tanpa asas islam dan agama samalah seperti sambutan valentine, hari ibu , hari alam sekitar dan sebagainya. Ianya hanya ingatan kosmetik yang sengaja direka untuk mengindahkan imej. Agar kita masih dipandang sebagai umat sayangkan nabi walaupun kehidupan harian dan rutin kita sudah jauh menyimpang dari sunnah dan suruhan nabi.

Akhirnya jadilah sambutan kita sesuatu yang tiada maknanya.

Tahukah saudara perayaan krismas adalah apresiasi ingatan masyarakat kristian pada kelahiran jesus mereka. Namun apa yang terjadi hari ini, sambutannya bukan lagi perkara agama yang dirayakan dan disyukuri tapi satu pesta kemeriahan yang mereka kosmetikkan pada budaya, tahun baru dan lagenda mitos santa claus.

Hilanglah perasaan sayangkan Jesus mereka dari kamus perayaan krismas.

Jikalau kita ingin melahirkan perasaan mengunjuk cinta pada nabi dan syukur pada kehadirannya, ianya tidak perlu menyatakannya walau dengan membanyakkan selawat hanya pada tanggal maulud, tapi kecintaan itu perlu dizahirkan setiap masa.

Kenapa kita tak menjadikan tanggal kematian nabi sebagai simbolik untuk menyuntik ingatan dan rasa berterima kasih pada nabi. Atau menjadikan hari nabi berjaya dinobatkan menjadi rasul atau menjadi pemerintah madinah. Ianya hari-hari cukup bermakna bagi kita merasakan aura kenabian dan kegemilangan sirahnya kepada kita.

Raikan Cinta

Marilah kita meraikan cinta nabi dengan berselawat dan memilih jalan hidup yang dianjurkan nabi.

Sayangilah sunnah dan beribadatlah seumpama nabi adalah tanda kita layak menjadi ahli KAUTSARnya nanti.

No comments:

Post a Comment