Wednesday, February 3, 2010

Seksa Thaipusam

Sesak Jalan Mengira Aspal

Jumaat lepas, saya hanya mampu menghitung batuan aspal, jarak ke sekolah diisi oleh kenderaan yang tidak berpenghujung.

Jalan raya sesak. Detik berlalu perlahan seperti pusingan roda kenderaan yang pasrah tidak bergerak.

Rupanya hari itu adalah hari istimewa bagi masyarakat beragama hindu yang merayakan THAIPUSAM, mereka datang berhimpun dari segenap penjuru negeri untuk berada dikuil terbesar mereka di pulau pinang ini, iaitu Kuil Arulmigu Balathandayuthabani , Georgetown. Hanya 3 km dari sekolah saya.

Lanjutannya, hari Sabtu merupakan cuti umum kepada rakyat Pulau Pinang. Dan ianya adalah antara hari paling sesak dalam sejarah negeri. Saya dinasihatkan untuk mengelak jalan ke Bandar pada hari tersebut jika tidak mahu terperangkap dalam kesesakan.

Inilah antara hari masyarakat hindu datang dengan pelbagai ragam, namun tujuannya adalah satu iaitu mendapatkan pengampunan dan menunaikan nazar mereka.

Seksa Diri

Inilah budaya dan kepercayaan masyarakat Hindu yang amat jauh dari kebenaran dan rasional mental manusia. Ragam mereka hanya dianggap kini ritual hiburan oleh para pelancong asing yang teruja menyaksikan kelainan dan warna warni kesakitan dan kebobrokan barangkali.



Tapi sayangnya, kini kita pula seolah dipaksa menerima budaya menyiksa diri adalah perlu untuk diampunkan. Siapa yang lebih tegar untuk diseksa dan disakiti fizikalnya, bermakna mereka lebih besar berpeluang diampunkan dosa.

Ada antara orang islam yang mula terikut budaya ini. Mereka suka menyiksa anggota diri hanya untuk merasakan nikmat penerimaan tuhan, betulkah begitu ? Bahkan penyiksaan ini berjalan dan berlangsung dengan pelbagai variasi penyiksaan dan kekadang berakhir dengan kematian sebagaimana yang terlapor dalam akhbar baru-baru ini dalam kes yang diklasifikasikan pihak polis sebagai pembunuhan mistik tanpa niat.

Tuhan Pengampun

Allah tuhan pengampun tanpa batasan. Tuhan mengampun segala dosa manusia kecuali syirik. Tuhan tidak memerlukan hantaran hadiah mahupun penyiksaan diri untuk mengampunkan manusia.

Tuhan hanya inginkan keinsafan, kesedaran, taubat dan kerendahan diri manusia mengakui kelemahan dan seterusnya memohon ampun.

Berada dinegeri serba majmuk ini, saya perlu memperlengkapkan pengetahuan tentang agama sekitar, atas nama dakwah dan ilmu.

Berikut antara maklumat yang saya dapati berkaitan perayaaan ini :



Patung besar Dewa Murugan Di Batu Caves

Hari Thaipusam merupakan perayaan yang disambut oleh mereka yang beragama Hindu di seluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam.

Thaipusam dirayakan pada bulan 'Thai' bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil. Pada hari Thaipusam, bulan penuh melintasi bintang terang, Pusam dalam zodiak Cancer.

Tujuan

Hari Thaipusam merupakan hari menunaikan nazar dan menebus dosa atau memohon ampun di atas dosa-dosa yang telah dilakukan selama ini. Tidak semua penganut Hindu akan menunaikan nazar. Nazar ialah memohon sesuatu hajat kepada Dewa Murugan dan jika permohonan dikabulkan, maka satu acara tertentu diadakan sebagai tanda kesyukuran.

Pada hari itu mereka akan membawa susu yang berwarna putih kerana susu itu dianggap paling suci . Susu ini diisikan dalam belanga tembikar atau kini dalam belanga aluminium. Belanga berisi susu ini akan dihias dengan pelbagai corak , warna , daun dan benang. Belanga ini akan dijunjung di atas kepala dari luar kuil hinggalah ke dalam kuil. Tidak semua penganut Hindu membawa belanga berisi susu ini.

Ramai juga lelaki Hindu yang mencukur rambut pada hari tersebut dan mewarnakan kepala dengan warna oren. Perkhidmatan menggunting rambut ini ada disediakan di luar kuil dengan bayaran tertentu. Ia merupakan satu bentuk melepaskan atau membayar nazar.

Bagi yang memohon ampun agar dosa mereka diampunkan, kavadi akan dibawa atau dijunjung di atas bahu atau di atas kepala. Kavadi ini diperbuat daripada beberapa rod besi atau kayu yang di atasnya terletak patung dewa Murugan dengan pelbagai saiz dan bentuk. Antara hiasan utama kavadi ialah bulu burung merak dan bunga-bungaan. Pembawa kavadi ini terdiri daripada lelaki , perempuan, tua, muda dan kanak-kanak. Berat dan saiz kavadi ini bergantung kepada kemampuan seseorang.



Selain itu pembawa kavadi akan diiringi oleh beberapa orang pembantu khas dari tempat masing-masing. Ada yang diiringi dengan kumpulan muzik , mangkuk perasap kemenyan dan lain-lain.

Dari semasa ke semasa, pembawa kavadi akan berehat di tangga-tangga tertentu , berehat dan diberi minum.

Pelbagai cara menyiksa diri bagi menunjukkan mereka memohon ampun. Antaranya ialah berjalan di atas kasut berpaku. Mereka melangkah perlahan-lahan mendaki tangga-tangga kuil hingga tiba ke sisi patung Dewa Murugan di dalam gua Batu Caves. Ada juga yang mencucuk panah besi pada lidah dan pipi dari kiri ke kanan dengan panah pendek dan panjang. Yang lain pula mencucuk belalang mereka dengan puluhan mata pancing yang bersaiz 10 sm. Mata pancing itu disangkut dengan buah limau nipis yang teramat pedih rasanya. Ada juga mata pancing itu bertali dan ditarik oleh para pembantu.

Boleh dikatakan semua mereka berada di dalam keadaan separuh sedar kerana telah menggunakan bahan-bahan tertentu .

Perbandingan Malaysia dan India

Agama Hindu berasal dari India dan dibawa ke Malaysia oleh buruh-buruh ladang pada zaman penjajahan British seawal 1786 di Pulau Pinang. Di ladang-ladang , kuil-kuil Hindu dibina dengan pembiayaan beberapa penganut Hindu. Oleh yang demikian saiznya tidaklah begitu besar . Antara kuil yang bersaiz besar terletak di Sungai Petani, Georgetown, Teluk Intan, Hutan Melintang , Seremban, Johor Baharu , Kuala Lumpur dan lain-lain.

Perayaan Thaipusam lebih meriah di Malaysia berbanding dengan di India, Di India, Pesta Ponggal lebih meriah berbanding dengan Thaipusam. Thaipusam dapat menyatukan semua penganut Hindu dari pelbagai ladang dan bandar dan bertumpu kepada beberapa kuil Hindu yang besar sahaja.

No comments:

Post a Comment