Friday, February 5, 2010

Nasib dan Kebajikan

Minggu berkebajikan, satu nama yang cukup indah untuk menyedarkan manusia tentang erti hidup.

Belajar memberi lebih banyak dari menerima adalah hakikat hidup bermakna yang seharusnya menjadi prinsip kita.

Mendengar apa yang orang lain mahu dan cuba memenuhinya adalah keutamaan kita berbanding memenuhi tembolok keinginan tersendiri. Mencintai saudara kita dengan rasa sayang dan kasih seumpama diri adalah tuntutan agama.

Hari-hari berlalu menyaksikan kreativiti pelajar berniaga mencambah ufuk baru pengalaman saya, dengan modus operandi yang kekadang dirancang menjadi dan ada juga yang sekadar terjah membuktikan kedunguan sendiri.

Setiap kali iklan masuk mempromosikan barangan, saya lihat pasti ada yang menyahutnya. Mungkin seorang hingga lima orang bangun mendapatkan barangan yang dijual dengan mengunjukkan not kekadang berwarna merah atau hijau.

Terkesima saya dibuatnya. Pelajar sementah tingkatan 1 sudah diizin ajar berbelanja begitu mewah. Hakikatnya mungkin dunia sudah berubah.

Masuk pelajar menjual lollipop dengan tawaran harga 3 batang untuk RM 1, ia diserbu 6 pelajar lagi.Ada pula yang mendatangi dengan agihan air bikarbonat, disambut 3 tangan yang kehausan.

Namun yang saya perhatikan, ada segelintir pelajar yang tidak berganjak dari kerusinya. Berpura-pura sombong dengan setiap tawaran promosi yang mendatang. Atau kerana mereka tahu poket mereka kosong dan tidak pernah kembung.

Hati saya berbisik, inilah padahnya pipit terbang bersama enggang.

Dan sebelum penghujung kelas, kelihatan ceria 3 anak muda tingkatan 5 datang membawa balang ajaib, setelah meminta izin mereka mula mempromosi jualan.

Dengan lagak ayam jantan penuh keyakinan, dia bersuara “didalam balang ini penuh dengan bintang, ada yang berwarna merah, puith, biru dan kuning, ianya cukup misteri” ujarnya sambil berhenti mengambil nafas dan melihat reaksi.

Positif riaknya, sambil dia meyambung bicara, siapa yang berjaya meneka tepat jumlahnya akan memenangi hadiah wang bernilai RM 50, namun penyertaannya ialah yuran 50 sen sahaja.

Bayangkan dengan 50sen kamu akan mendapat RM50, cepat jangan lepaskan peluang ini.” Ujarnya berkeyakinan memujuk.

Kelas seolah terkena panahan hysteria, hamper 15 dari 42 pelajar meluru kepintu hadapan untuk membuat tekaan.

Dengan minda yang mencongak, tekaan ditembak dengan hati berbunga harap.

Dan benarkah mata saya melihat, anak muda pendiam sombong dikerusinya juga lenyap, diulit fantasi kaya dengan permainan teka bintang. Mana tahu dia akan menjadi bintang penuh kemenangan dan kekayaaan. Atau mata angannya berkunang2 dan berbintang 2 kerugian.

Begitulah manusia, yang miskin berharap palsu yang kaya membazir. Tiada yang bersyukur setia.

Hasrat hati hendak menegah, tapi kondisi saya dikelas sivik yang bercampur watak manusia menegah saya. Apatah lagi, wakil kelas tersebut pastinya sudah mendapat lampu hijau barisan pentadbir sebagaimana yang lain.

Saya melihat dengan senyuman geleng kepala, anak-anak islam juga turut sama mengecapi angan beracun ini. Angan hampa bersama murka tuhan. Menang atau kalah ianya adalah sumber haram yang dipertanggungjawabkan.

Ia adalah satu bentuk perjudian walau apapun seni kreatif mengubah nama dan bemtuknya.

Dipentas saya, dibilik agama saya beraksi sendirian, saya selitkan dosa dan bahaya judi, saya tanpa berselindung merujuk silang kejadian yang berlaku, saya cuba menasihatkan pelajar islam agar tidak terjebak dengannya.

Saya menyatakan dengan berlapik dan lembut kebodohan mereka yang mengikutinya. Menolak rasional akal sihat untuk berusaha dan bekerja mendapatkan rezeki dengan hanya bertuhankan nasib dan menunggu durian runtuh tanpa usaha adalah kebodohan tahap tertinggi.

Saya mengangkatnya sebagai dosa besar kemurkaan tuhan yang dirangkaikan kepada 4 kejelikan utama iaitu minum arak , judi , tenung nasib dan bernujum adalah dosa jijik dan permainan tipu daya syaitan melalui akses kepada ayat al quran.

Tak lupa saya mengungkit implikasi dosa dan kecelakaan ditempah mereka yang engkar.

Zaman serba maju dan berubah, kenapa masih ada manusia yang hanya bergantung pada nasib dan perjudian.

Seperti kata Zakiah Anas dalam 999, jenayah membawa padah, laporkan segera pada pihak berkuasa. Saya utarakan untuk semua judi hanya membawa padah, hindari segera tiada keuntungan dan keistimewaan pada menunggu nasib dan kekayaan dimiliki umpama mee segera yang akan habis tanpa keberkatan dan kesan mendalam.

Entahlah, apa lagi yang akan berlaku di hari kantin.

Saya tunggu dan lihat.

No comments:

Post a Comment