Tuesday, February 2, 2010

Dinamika Sedekah

Tugas saya sebagai pengerusi majlis belum selesai. Selepas penceramah pertama melabuhkan bicaranya, saya akan kembali memegang mikrofon.

Membuat sedikit ulasan bebas dan kemudiannya menjemput panel kedua untuk berucap adalah rutin biasa pengerusi.

Namun, sekeping nota sampai ke kaki meja saya, “Ustaz, kita ambil masa sikit, panel kedua baru sampai kita bagi dia rehat seketika,jamaah tengah ramai,ustaz lancarkan kutipan derma sekarang.”

Ringkas nota berbentuk arahan. Membuat saya terkedu seketika mengumpul kata.

Apa bicara terbaik untuk meruntun jiwa manusia, mengenggam amanah dan menuntun mereka bersedekah.

Ada antara mereka yang biasa bersedekah, ada yang baru berjinak untuk memberi infak dan ada pula yang agak liat menghulur sumbangan ekoran ketidakcekapan diri.

Bukan kerana mereka tidak berduit, tapi duit mereka tidak pernah kecukupan. Mereka boleh berbelanja makan sampai RM 20 sehari dan tika masanya dengan mudah membeli sesuatu barangan seperti raket badminton yang berharga ratusan ringgit sedangkan keperluannya tidak mendesak.

Natijahnya, manusia ini terbelenggu dengan perangakp nafsu manusiawi. Tamak dan tidak tahu erti tanggungjawab.



Saya berkata didalam hati. Bagaimana menggamit hati manusia untuk bersedekah. Bagaimana menyapa jiwa untuk seronok memberi, bagaimana menegur nafsu untuk redha dan tidak rugi menghulurkan.

Lalu saya menyusun ayat ini. Ayat pemanis bicara, ayat mengetuk hati, ayat mencabar minda sedar, ayat memohon sumbangan. Saya mulakan dengan pertanyaan.

Dalam kedewasaan dakwah yang terus berlangsung, pastinya banyak halangan yang menimpa, namun itu semuanya adalah lumrah pengajaran buat para daie memikul dan mengambil manfaatnya.

Pernah satu ketika dulu, Prof Buya Hamka bertanya kepada para pelajarnya dalam satu sesi ceramah yang penuh bersalut hujjah dan hidayah. Beliau bertanya : Jika suatu hari didalam sebuah hutan yang luas, ada seorang pemburu sedang merayau-rayau mencari sasarannya, tiba2 kelihatan sekawan burung diatas dahan pokok. Rezeki sampuk hatinya. Lalu dia terus menghalakan laras senapangnya. Ada 10 ekor semuanya diatas dahan. Dimasukkan peluru penabur. Lantas bidikannya dilepaskan dan mengenai 6 daripadanya. Soalannya : berapakah burung yang tinggal ??

Pantas kita mencongak mudah. 10 tolak 6 bakinya adalah 4. begitulah kebiasaannya akal waras kita diajar mengira dan menghitung.

Tapi jawapan Buya Hamka amat mengejutkan audiens. Jika daripada 10 burung yang ada 6 daripadanya terkena tembakan, maka yang tinggal adalah adalah 6 yang jatuh ketanah dan menjadi rezeki kita.

Adapun 4 yang berbaki akan terbang dan melayang mungkin menjadi rezeki orang lain.

Begitulah aura pemikiran hebat yang dicetuskan minda mereka yang bernaung dengan hidayah tuhan. Mengambil contoh dari sirah rasul tercinta.

Pernah diberitakan Rasulullah pulang ke rumah salah seorang isteri tercintanya lalu Rasul bertanya tentang makanan yang masih berbaki dirumahnya. Isterinya berkata : ada sahabat yang menghadiahkan sepotong tulang beserta dagingnya. Namun bila ada orang yang dalam kesusahan, lantas saya menyerahkan daging tersebut kepadanya dan tidak ada yang tinggal kecuali tulang semata2.

Ya, tidak ada makanan, tidak ada yang tinggal kecuali tulang sahaja.

Tapi percayakah sahabat, bila rasul menyambutnya dengan senyuman dan pengajaran yang cukup berharga.

Tidak yang tinggal tetap disisi Allah ialah apa yang disedekahkan. Keseluruhan daging itu kekal dan tinggal dalam catatan pahala namun yang bakinya iaitu tulang belum tentu adalah rezeki dan pahala kita. Tapi yang disedekahkan pahalanya sudah pasti.

Jauh pemikiran rasul mengajar umat tentang dakwah dan pengorbanan.

Islam akan bangkit mulia jika umatnya lebih berfikiran dinamik seumpama ini.

Bukankah kehidupan yang lebih bermakna itu bermula dengan memberi dan bukannya menerima.



Mekanik pembaiki basikal dikampung saya menyatakan pula : You get what you give !!

Jika kita berikan kebaikan maka akan terulislah kebaikan dan dilipat gandakan.

Dan kalau kita hanya berharap untuk sekadar menerima dan tidak berpuas hati dengan sekeliling yang jarang menerima kita, maka bukan sahaja batin kita terseksa bahkan kehidupan kita menjadi tidak ceria bermakna.

Layarilah blog Saiful Islam yang mengangkat tema “Erti hidup pada memberi” ini untuk menjadi ubat pelali kita dari kehidupan jemu dan memenatkan. Dengan memberi, kita akan menjadi manusia yang lebih proaktif dan positif.

Saya memandang audiens yang khusyuk mendengar, mencongak, berfikir dan menghayati. Sesekali kelihatan anak-anak kecil merengek, mengganggu tumpuan.

Ayuh, cuba lihat apa yang ada dalam kocek kita. Apa yang kita mahu tinggalkan untuk akaun tetap pahala yang sudah pasti. Mari kita tinggalkan jumlah terbesar untuk mendapat janji keberkatan dan pengampunan dari Allah yang maha kuasa.

Bersedekahlah : Ajaibnya, semakin bersedekah semakin kaya.

Percayakah anda ???

No comments:

Post a Comment