Thursday, March 18, 2010

SPM bukan noktah kehidupan

Tatkala saya meraikan berita gembira kejayaan para srikandi saya yang pernah bersama berbumbung dibawah program BALKIS dahulu. Tiba2 saya diterjah mesej ringkas umpama telegram mengejut berikut :

Maafkan saya Ustaz, result SPM saya mengecewakan, tidak sebagaimana yang saya harapkan sebelum ini.

Noktah.

Sepi. Dan pastinya berbuku sedih dihati.

Terhenyak seketika pemikiran saya dikerusi memori, teringat kembali zaman lama tika masih disapa bayu kinabalu. Pelajar2 Balkis ini adalah harapan dan impian saya, memacu mereka kelandasan yang lebih berfokus dan berwawasan adalah niat saya.

Biar mereka berjaya keluar daripada kepompong kebiasaan pemikiran remaja : nda apa2 !
Tapi saya mahu menjadikan mereka remaja yang luarbiasa, bermotivasi, bervisi dan berdikari.

Pelajar ini antara tonggak utama balkis, wataknya mewarnai setiap program kecil atau besarnya, mengemudi setiap langkahan sesi dan slot yang berlangsung didalam diari sejarah balkis. Saya kagumi wataknya, saya hormati semangatnya, saya sanjungi pengorbanannya.

Dalam dinihari kehidupan yang menyinsing, gerimis hidupnya berlagu pahit, bukan sedikit ujian menimpa, tapi kecekalannya saya lihat tidak pernah goyah dan lebur.

Tarbiyah, Kerohanian dan Akademik berjalan seiring dalam hidupnya, menjadi lantera hidayah meresap dan membias cahayanya menyuluh alam buana.

Namun Allah masih mahu mengujinya. Ya, ujian Allah datang dalam bentuk berbeza.

Bangkit ingatan saya kealam sedar, duduk seketika memilih bait nasihat terbaik untuk dilontarkan. Perkataan yang baik umpama secangkir kopi panas yang mengaliri kerongkong membuka kesegaran badan dan menyegarkan kelesuan mata dikala kantuk mula merajai serebrum focus.



SPM sememangnya satu tahap pertama akademik untuk menguji dan mengujakan. Ujiannya bagi menapis kelayakan warga sekolah antara yang layak bersaing diperingkat yang lebih tinggi dan kompetitif ataupun tidak.

Sewajarnya mereka yang layak akan terus bersaing dimedan akademik manakala yang tidak biasanya lebih memilih persaingan dan peluang dibidang kehidupan terbuka.

Benar, kejayaan bergantung kepada usaha seseorang. Bahkan itulah prasyarat pertama kejayaan.

Tapi usaha sahaja belum menjamin segalanya. Kerana itulah doa dan tawakal menjadi pelengkap kejayaan.

Doa dan tawakal adalah penawar kejayaan. Ia mengajar kepasrahan sebagaimana ia menjadi benteng dari keegoan juga sebagai booster kebangkitan dari segala kegagalan dan kesedihan.

Menerimanya dengan tenang dan sedar, adalah nikmat kejayaan yang paling berharga.



Allah sentiasa menguji manusia. Ujiannya membungakan harapan dan pergantungan. Ujiannya menjanjikan kejayaan dan ganjaran.

Berbeza dengan manusiawi, Allah menguji semata2 untuk memberi pengiktirafan, allah menguji sebagai tanda kasih, allah menguji sebagai tapisan penghormatan.

Perlu diingat, Para nabi alaihissalam merupakan golongan terbanyak menerima cubaan dan ujian, silih berganti, menjangkau kemampuan fizikal dan daya emosi manusia. Terbayang kisah ketaatan Ibrahim a.s menerima ujian keimanan dan siti hajar menerimanya patuh keredhaan.

Jadi secebis ujian itu, adalah lautan kasih tuhan yang maha penyayang.

Berdiri sejenak dalam kotak ingatan, teringat satu sabdaan rasul tercinta : Allah sengaja menguji manusia, dan kekadang allah memperlambatkan penerimaan dan pengkabulan doa manusia, manusia terus bergulat munajat, manusia merintih harapan, hingga malaikat bertanya : kenapa ya allah, engkau belum ampuni dan kabulkan permintaannya. Allah berfirman : tangguhkan dulu wahai malaikat, AKU SUKA MELIHAT HAMBAKU MEMOHON DAN MERAYU PADAKU DENGAN PENUH KEHAMBAAN.

Antara ramai, kekadang tumpah ujiannya pada kita, dalam banyaknya khalayak, kita menjadi pilihannya.
Moga pilihan tuhan itu tepat, dan allah pernah berjanji : manusia akan diuji berdasarkan kemampuan dirinya. Dan engkau pelajarku, memang mampu, bangkitlah dan berusahalah. Jangan sesekali putus harapan dan semangatmu.

Perlu diingat : SPM bukan segalanya. Tanyalah kota dunia, siapakah yang cemerlang diSPM tapi akhirnya merempat didada kota, ada juga yang cemerlang di SPM tapi gagal di Matriks, ada yang cemerlang di SPM akhirnya gugur dijalanan maksiat.

SPM adalah permulaan bukan segalanya.

p.s : Ketentuan tuhan adalah yang terbaik, mungkin ia mahu merawat duka kehilangan BALKIS, maka dipilih mereka yang terbaik untuk terus menjadi nada dan denyut utama persatuan islam ini. Antara yang ustaz sarankan, pilihlah TINGKATAN ENAM dan terus berusaha.

STPM adalah level kedua persaingan kejayaan. Rujuk Ustaz Norzam dan Cikgu Juhari untuk lebih informasi dan motivasi.

2 comments:

  1. betul2.kuat kan semangat adik2 SMP,,Spm bukan penentu segalanya hidup kita,di mana ada kemahuan di situ ada jalan.just perlu tanam sifat rajin je,bukan Allah tak nak bagi rezeki,tapi Allah just melambatkan rezeki ke satu masa yang lebih baik untuk kita . =)

    ReplyDelete
  2. terima kasih buat afifah.... moga ianya memberi inspirasi buat semua.

    kita berusaha allah yang menentukan.

    rahsia allah tiada siapa yang tahu, mungkin yang kita paling benci adalah yang terbaik buat kita.

    begitulah sebaliknya.

    namun yang teruji lebih merasai pahit sabarnya.

    ingat firman tuhan : sabar itu cantik / sabar itu manis.

    ReplyDelete