Saturday, February 6, 2010

Chapel dan Kematian



Ribut Pagi

Hitungan hari ke kemuncak CANTEEN DAY masih berbaki 2 hari.

Persaingan mengumpul dana kebajikan terbanyak masih berlangsung gamat.

Pelajar memberi komitmen berganda.

Tapi keriuhan pagi ini bertiup sedikit berbeza. Dengan desas – desus menghembus berdesir. Saya tidak tahu apa gerangan khabar beritanya.

Tapi riak jelas membayangkan, ada sesuatu perkara baru berlaku.

Pemergian Father

Menjelang tengahari, baru saya dikhabarkan pemergian aman dan damai seorang Brother Paderi yang sekian lama menabur bakti di sekolah permai ini. Berusia 91 tahun, pernah menjawat pelbagai jawatan termasuk pengetua di sekolah mubaligh berdekatan. Jasa dan sumbangan mungkin tidak terhitung.

Saya baru melihat kelibatnya sekilas, itupun ketika saya berpapasan dengannya dikantin sekolah.

Dengan berkerusi roda, beliau tenang disapa oleh guru dan pelajar disekelilingnya. Walau suara tuanya tidak kedengaran, tapi segelintir pelajar masih mengerumuninya dan membantunya dengan menyorong wheel chair tuanya. Tanda hormat terbayang pada mereka yang menyapanya.

Beliau ialah Brother Brandane Hare berusia 91 tahun dan berasal dari Burma. Lama berkelana untuk berjasa pada tuhannya. Di akhir usianya, chapel atau gereja sekolah ini adalah merupakan tempat tinggalnya. Sudah lebih 4 tahun beliau menginap disini. Dan mungkin disinilah tempat persemadiannya.

Saya mengangguk tanda faham, mereka yang berjasa pasti dibalas penghormatan tuhan, walau siapa pun dia. Sumbangannya dihargai warga sekolah. Pemergiannya cukup dirasai.

Dikelas agama, sebagaimana biasa, saya tetap setia melontar kata, melentur nurani membentur ego dan membentuk peribadi.

Konflik Pengetahuan dan Amalan

Tiba-tiba kelas diketuk berkali2, kelihatan Cikgu Emmanuel berbangsa India tapi beragama Kristian Katolik menjengah pintu. Serius perwatakannya mengajak saya untuk berbincang, seterusnya saya didatangi pula Puan Veronica bertanya konflik dimindanya.
Persoalan yang seterusnya membawa saya kebilik PK Hem, En Sim dan juga PK 1 En Cheng.

Biasanya kematian Brother ini akan diiring majlis khas, penghormatan untuk ahli agama ini memerlukan acara, dan tentatifnya melibatkan kunjungan hormat, nyanyian pancaragam, perarakan dan majlis upacara sembahyang. Ia juga menggamit warga sekolah untuk melayangkan tanda hormat dan penghargaan atas jasa sekian dekad.



Mereka datang bertanyakan kebenaran, bagaimana pandangan islam berhubung kemasukan pelajar islam kegereja, seterusnya tunduk tafakkur memberi penghormatan, mengiringi jenazah dalam kawad perarakan hormat mengiringi pemergiannya ke pusara juga bersama mengikuti acara pengkebumiannya.

Soalan bertalu-talu juga dikemukakan pelajar saya bila tiba waktu kelas mereka. Jelas ianya mengundang konflik pengetahuan dan keimanan jika tidak dirungkai sebaiknya.

Harga sebuah Jasa

Saya cuba bertindak wajar, atas batasan dan pengetahuan yang ada. Saya berbicara untuk semua, bukan hanya pada watak pelajar, bahkan guru dan pimpinan tadbir sekolah. Saya menjelaskan halus toleransi agama kita.

Islam menghargai sumbangan mereka yang berjasa, ternyata manusia bermanfaat lebih dihormati dan ditagih terima kasihnya. Atas sumbangan jasa begitu lama, zalimnya Islam jika tidak mengizinkan penganutnya mengucap takziah dan datang menziarahi tanda hormat dan terima kasih bagi penganut agama lain yang meninggal dunia.

Bahkan nabi juga pernah menyuruh para sahabat untuk berdiri menghormati jenazah pimpinan bukan islam di kota madinah dulu, ianya toleransi asas kepada perpaduan.

Islam juga tidak melarang kita memasuki gereja, bahkan jika disanalah tapak subur untuk dakwah manusia kepada Allah, para agamawan perlu mengubah pentas dakwah mereka ke gereja pula, Saidina Umar juga pernah dalam harum sejarah palestinnya mengunjungi gereja, toleransinya untuk umat ini tidak alahan dengan tempat ibadat bukan islam ini.

Cerminan Sirah dalam Toleransi

Bahkan nabi menggariskan undang2 mengekalkan gereja sebagai rumah ibadat tanpa diganggu gugat keharmoniannya walau tika peperangan. Memasukinya hanya diizinkan untuk tujuan kebaikan dan bukannya menghancurkan.

Namun kebijaksanaan Umar untuk tidak bersolat didalam gereja berlapik alasan, umat yang terkemudian tidak akan menyalah anggap tindakannya. Bukan membawa maksud kuasailah gereja dan tukarkannya kepada masjid islam juga bukan untuk kita langsung tidak memasukinya kerana kenajisannya.



Perarakan pelajar beruniform dengan tabik hormat yang juga melibatkan pelajar Islam juga tidak membawa apa-apa kesan aqidah jika hanya bertujuan menghormati, ini juga bukannya merupakan acara rasmi keagamaan pengkebumiaan ala kristian.

Tapi yang paling puncaknya, saya tegaskan kepada pentadbiran dan pelajar, jangan melibatkan diri pelajar Islam kedalam acara keagamaan dan majlis pengkebumian, ianya acara agama dan tidak boleh dihadiri umat islam apatah lagi untuk sama-sama berdoa dan membaca mantera agama bersama mereka.

Tegak agama bersama prinsipnya, namun toleransi adalah seni keindahannya.

Kunjungan Ziarah

Petang itu, saya bersama wakil BAKTI datang berkunjung. Memasuki gereja dan menuju ke keranda persemadian. Kelihatan Brother tenang dalam lenanya.

Saya mengucap terima kasih.

Disambut oleh beberapa cikgu yang beragama kristian, mereka berterima kasih atas kunjungan seorang USTAZ.

Tanpa bacaan fatihah, tanpa doa hanya ucapan terima kasih dari saya.

Namun, bibir hati saya mengetus ayat pendinding diri, mohon allah lindungi kami dari kejahatan makhluk yang kelihatan mahupun tersembunyi.

Selamat kembali Brother Brandane, moga disana kita akan diperlihatkan dengan kebenaran. Sudahkan anda melihat kebenaran ?

Terima kasih atas sumbangan, tapi sayang sumbangan itu hanya lah debu yang berterbangan.

Pada pelajar BAKTI saya berbisik, jadilah manusia berguna dan bermanfaat.

1 comment:

  1. salam~ ;)
    entri yg menarik.
    InsyaAllah, boleh dijadikan panduan kpd syaza sendiri atas pengalaman yg ust alami.

    ReplyDelete