Monday, January 11, 2010

10 Tahun Bercanda Kesempurnaan

Haruman segar mewangi laman rumah kami hari ini.

Gugusan ceria dan palitan bahagia meruntun halus dalam laluan denai hidup hari ini.

Hati terasa berbunga dan merimbun indah nikmat kasihnya.

Terasa 10 tahun berlalu begitu pantas dalam dakapan rahmat tuhan, dibekalkan belaian mahmudah dan sakinah ketenangan memayungi erat hidup ini dari panas dan hujan kehidupan.

Sepuluh tahun yang lalu jugalah saya memilih istikharah untuk menyaring keputusan dan membuat pilihan bagi bekalan hidup hari ini.

Setiap manusia harus membuat keputusan dan pilihan dalam hidupnya sendiri, bukan hanya perlu bergantung kepada idea dan taste orang lain, ianya tampak sukar kerana ia menuntut pertanggungjawaban dikemudian hari kelak namun mesti dilakukan dalam melakarkan kematangan dan kedewasaan diri.

Keputusan yang kekadang membahagiakan denai jalan mendapatkan mardhatillah atau kekadang ianya keputusan bencana yang memakan impian kebahagian diri setiap insane.

Tanggal 12 Januari 2000 inilah saya memilih untuk melangsungkan perkahwinan.

Memilih untuk berada dalam pengawasan iman dan agama yang diaktifkan melalui perkahwinan.

Memilih untuk menerima anugerah nikmat dan tanggungjawab.

Memilih untuk mencatur hidup sebagai KETUA dan bukannya bersendirian.
Memilih untuk hidup berkongsi rasa dan cerita serta memanfaatkan kebaikan umur.

Memilih untuk menjadi watak pembimbing dan pendidik bukan sahaja untuk diri sendiri tapi bagi memimpin generasi dan zuriat saya di masa hadapan.

Hidup ini tidak akan bermakna sekiranya kita sahaja manusia muslim yang berpegang kepada agama, Zuriat kitalah yang akan menjadi pemangkin ceria dan bahagia kiranya mereka memegang tali ini kemas berterusan.

Dan memilih untuk hidup sempurna dengan memilih kesempurnaan, kerana itulah saya menerima isteri saya SHAMILAH MAHZIR yang bermakna kesempurnaan untuk melengkapi diri ini.

Terima kasih kepada isteri tercinta yang telah banyak berkorban dan bersabar dengan diri ini.

Terima kasih atas kasih sayang dan kebahagian yang terjalin antara kita.

Terima kasih kerana banyak mengajar diri ini untuk terus melakukan kebaikan dan berubah.

Berubah untuk terus melihat dunia ini sebagai satu tanggungjawab dakwah dan didikan.

Berubah untuk memiliki watak ketua berwibawa dan bapa penyayang dalam mendidik 5 anak-anak yang comel dan baik.

Berubah untuk hidup lebih bahagia, berdidisplin dan teliti.

Dan terima kasih juga kerana berjaya mengubah saya .. dari 63 kg kepada 76 kg.
Selamat ulang tahun ke 10 duhai Isteriku.

Saya hadiahkan 2 buah buku Dr. Cinta Ustaz Hasrizal Jamil sempena ulangtahun ini untuk dijadikan pedoman kehidupan kami.

1. Aku Terima Nikahnya.
2. Bercinta Hingga Ke syurga.

Moga allah membahagiakan kita dan menyatukan kita hingga ke syurga nanti.

Kepada Allah tempat pergantungan dan pengharapan.

No comments:

Post a Comment