Thursday, January 21, 2010

Pengalaman Menjadi Taruhan Kejayaan



Sejarah Mengajar Kematangan

Salah seorang penulis berprolifik tinggi yang saya pernah temui dan kagumi dalam selera pembacaan kreatif saya.

Walaupun bukan merupakan peminat fanatic dan penagih novel atau sastera seni, tapi saya suka melayan apa sahaja bentuk pembacaan yang boleh menambahkan ufuk pengetahuan dan informasi intelek saya terutamanya yang berkaitan agama, pengalaman hidup dan sosial masyarakat.

Sesuatu yang paling berharga dalam kehidupan ini ialah PENGALAMAN.

Ianya merupakan anugerah rasa dan sedar yang diperoleh lewat panjangnya kehidupan dan tragiknya peristiwa yang merangkai jalan hayat kita. Pengalaman akan membentuk persepsi, pengalaman mematangkan kendiri, pengalaman menjadi manusia lebih tua dan hebat berbanding usianya.

Namun tidak semua variasi pengalaman mampu kita tempuh dalam jangka pendek hidup kita, tidak juga kita mahu menempuh hitam pedihnya atau putih manisnya mahupun semua positif dan negatifnya.

Oleh itu, mereka yang benar-benar hebat ialah manusia yang menimba ilmu dan membina prinsip dari kejadian dan pengalaman hidupnya dan juga hidup manusia di sekelilingnya.

Saya ulangi pepatah agung Saidina Ali Radiallahu Anhu : Sebaik-baik manusia ialah mereka yang sentiasa mengambil mesej dan pengajaran dari hitam putih kehidupannya. Saya angkatnya menjadi motto blog kerdil travelog hidayah saya ini.

Penulis Berkarya Wawasan

Mungkin penulis ini sememangnya tidal lekang dari kontroversi misi dan idealismenya. Namun saya melihatnya sebagai rencam alam yang serba kontradiksi sifatnya, kepelbagaian dan perbezaan melahirkan keunikan dan keistimewaan.

Apa yang baik dan berhikmah harus dijadikan sebagai bekalan kebaikan untuk memandu kehidupan manakala yang buruk dan rosak handaklah ditinggalkan.

Membaca dan menghayati ketelitiannya dalam berkarya amat mengkagumkan saya.

Sejarah dua Novel

Pernah membaca 2 buah buku tulisan beliua yang saya pinjam dari antara peminat setia wawasannya CIKGU JUHARI AJMAIN senior saya di SMP dahulu.

Buku yang saya khatamkan pembacaannya itu ialah KOMBAT 1511 dan MANIKAM KALBU.

Novel yang digarap penuh penelitian dan bukannya sambil lewa, kita dapat merasainya lewat halaman demi halaman terhadap huraian dan pengkisahan yang diceritakan.

Terpamer citra dan reality hidup manusia atas kanvas buku KOMBAT 1511 ini bila ia cuba menghidupkan watak Panglima Muhammad Amin sebagai tenaga utama penggerak Jihad Islam menentang kebobrokan dan kebejatan musuh agama. Jelas terzahir kemampuan penulis untuk membawa fiksyen masa depan kealam fantasi berunsurkan islam, amat mengujakan.



MANIKAM KALBU lebih saya sedari ketelitiaannya, menghasilkan suatu daya kreativiti yang bukan sedikit lelah dan penatnya dalam menggarap wawasan budaya bangsa agar tidak hilang ditelan rakus zaman baru. Seni dan industri tekstil menjadi pokok bicaranya dengan karektor kucing hitam hikmah sebagai pencerita dan teman bicara. Kali ini pandangan kita membawa kepada pelbagai dimensi berbeza antara zaman, yang lamadan kuno serta zaman baru terkini. Di adaptasikan dengan bahasa mudah santai untuk remaja menggapai mutiara pusaka yang hilang.

Dengan rujukan yang begitu berdisiplin dan berfokus, saya memberikan kredit pada penulis ini.

Tak hairanlah beliau mampu memenangi anugerah2 yang dipertandingkan buat menghargai bakat dan inovasi kreatif mindanya.

Tahniah dari saya dan moga yang lain boleh sama meneliti debar suspen fiksyen dalam novel garapannya.

Bersama penulis menceritakan detik kejayaaannya dalam blog beliau tersendiri.
Faisal Tehrani.

Bedar Sukma Bisu dan Manikam Kalbu Terima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006-2007

Alhamdulillah tiga karya saya menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006-2007 malam ini bagi 3 Kategori iaitu:

i. Kategori A: Novel ( Bedar Sukma Bisu, DBP, 2007)
ii. Kategori B: Esei ('Pengabaian Ilmu dalam Karya Sastera', Dewan Sastera, Jun 2006) dan
iii. Kategori C: Novel Remaja (Manikam Kalbu, DBP, 2007)

Novel-novel saya seperti Perempuan Politikus Melayu, Cinta Hari-hari Rusuhan, 1515 dan 1511H Kombat pernah disenaraipendekkan untuk Hadiah Sastera Perdana sebelum-sebelumnya, tetapi rezeki belum tiba. Tambahan pula saingan pada waktu itu sengit, dan karya lain hebat-hebat belaka.

Saya gembira kerana Manikam Kalbu (si kucing bertuah itu) menerima anugerah berganda-ganda. Bermula dengan memenangi Sayembara Jubli Emas DBP kategori novel remaja, pada 22 Disember 2009 lalu, Manikam Kalbu dianugerahkan pula Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia kategori Buku Remaja Fiksyen Terbaik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. Bedar Sukma Bisu pula telah diterjemahkan oleh Dato Dr Zawiyah Baba (UKM) ke judul The Prau With The Silent Soul terbitan ITNM.

Anugerah dan hadiah adalah satu galakan untuk pengarang terus memberikan yang terbaik. Maka sebagai pengarang, saya berterima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, juga Kementerian Pelajaran bagi pihak kerajaan Malaysia.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada editor-editor saya yang merapikan novel-novel di atas iaitu Puan Halilah Haji Khalid (Bedar Sukma Bisu) dan Puan Mahani Che Ibrahim (Manikam Kalbu). Tanpa penyunting yang baik karya tidak akan menjadi baik. Terima kasih juga buat Puan Rozninah Abdul Azib yang menyiarkan esei 'Pengabaian Ilmu dalam Karya Sastera', dalam Dewan Sastera, Jun 2006. Tidak dilupakan kepada saudara Naga yang melukiskan kulit buku yang luar biasa (lain dari kebiasaan buku-buku Dawama).

Buat para pembaca, doakanlah saya memberikan karya yang lebih elok dari yang ada sekarang ini. Dan dapat menyediakan remedy atau penawar dalam karya saya buat masalah ummah, bangsa dan negara meskipun ia kontroversial hari ini, tetapi, Insya-Allah akan diterima ramai di masa hadapan. Ini kerana karya sastera menjadi 'perdana' bukan kerana ia menang hadiah atau anugerah, tetapi kerana karya sastera itu tahan zaman dan dapat membuatkan khalayaknya berfikir merentasi batas masa. Saya teringin menulis karya yang merakam lebih dari latar, perwatakan dan plot. Karya yang merakam 'kebenaran'.

Akhir sekali, yang terutama, ini adalah kesyukuran buat Ilahi kerana dengan rahmat-Nya, kesejahteraan daripada Rasulullah saw dan ahlul baitnya - maka ketiga-tiga karya ini terpilih lalu terpandang sehingga dibuka segala jalan yang tampak tertutup.

No comments:

Post a Comment