Wednesday, January 13, 2010

Organisasi Islami di celah Chapel Bible

Mesyuarat Persatuan

Usai mesyuarat pertama Persatuan Agama Islam yang saya kendalikan bersama para pelajar islam yang tampaknya begitu bersemangat. Terasa sedikit kelegaan pada benak saya.

Tatkala persatuan lain hanya akan mengaktifkan aktvitinya pada minggu ketiga persekolahan, pelajar saya sudah dating meyerang dengan permohonan menghidupkan aktiviti persatuan seawal tahun.

Saya belum arif dengan selok belok pulau ini, belum juga mahir mengenal karektor manusia pelajar disekolah ini, saya juga belum memahami rentak gerak aliran dakwah yang mampu diketengahkan disekolah ini.

Namun, kesungguhan dan komitmen pelajarnya yang asyik menyerbu bilik agama tempat saya bermastautin memberikan sedikit tekanan untuk saya bertindak awal, sekurang-kurangnya mengenal barisan ajk persatuan islam ini lebih awal.

Agenda dakwah Murni

Didominasi oleh pelajar tingkatan 5, persatuan ini memang memasang impian untuk aktif bergerak. Mungkin sebagai sebuah persatuan yang berprogram dan mengumpul komuniti ahlinya. Atau mungkin sekadar ingin mengumpul kredit mata kokurikulum dalam akses ke menara gading nanti.

Apapun, nawaitu saya ingin membawa pelajar keluar dari streotaip berpersatuan. Melupakan soal mata dan markah, tapi lebih menumpu kepada pembinaan syakhsiah dan mencungkil bakat dan kebolehan kendiri. Memimpin diri untuk lebih berjaya dan menanam bibit semangat memberi kebaikan kepada umum dengan lebih meluas.

Bermula jam 210 petang sesudah solat zohor berjemaah, saya memulakan majlis yang dihadiri hampir 15 orang pelajar.

Impian Organisasi

Dengan data dan maklumat persatuan yang agak minima, saya membentangkan idea dan gagasan saya sebagai guru penasihat.

Melihat riak kaget dan terkesima, saya tahu mereka masih bertatih dalam membina kekuatan organisasi. Dan reaksi anggota, tampaknya mereka terhidu perubahan dalam agenda berpersatuan apatah lagi sebelum ini hanya ada ajk tertinggi tanpa ada jawatankuasa unit and bironya.

Mungkin mereka sebelum ini kelompok elit dalam kepompong mereka.

Lantas organisasi tercipta dengan perlantikan ajk dari tingkatan 5, walau sebelumnya ada yang melobi saya untuk dilantik secara automatic ke posisi tertinggi.

Saya bencikan kronisme dan saya juga tidak gemarkan kabelisme.

Saya lebih percaya dan yakin dengan kebolehan dan kewibawaan kendiri. Percayalah kepada diri dan berusahalah, manusia akan menilai sesuatu yang terbaik, permata yang tersembunyi akan termasyhur dan diketahui juga kerana kilauannya.

Saya serahkan pada perwakilan, biar mereka yang memutuskan.

Tiada sesalan dan kerugian dari majority keputusan syura.

Sesudahnya agenda terangka segera dengan aktiviti maal hijrah dan gotong royong mencuri tampuk keutamaan dan kesegeraan program. Moga allah permudahkan.

Agenda Baru Organisasi

Dalam rancaknya mesyuarat, hadir ajk tertinggi persatuandari tingkatan 6 yang terdiri dari pelajar perempuan, mereka adalah kombinasi setiausaha , penolongnya dan juruaudit yang dilantik majority sebelum ini.

Tergamam saya seketika, terkedu didalam hati melihat ajk tampuk tertinggi dalam organisasi persatuan islam disini ialah mereka yang tidak bertudung, kefahaman dan kesedaran sensitivity agama belum saya uji dan saring lagi.

Namun inilah reality agenda dakwah disini, menerima seadanya dan mengubahnya menjadi yang terbaik adalah agenda terbaru saya.

Akhirnya tergagaslah sebuah persatuan yang sederhana peranan dan komunitinya, tapi tinggi inspirasi dan impiannya.

Kerana itulah saya merangka biro-biro yang baru yang bermula dengan penerbitan dan penerangan, keceriaan dan kebersihan, surau dan bilik agama, kepimpinan dan pendidikan serta biro persembahan mengumpul aktiviti nasyid, kompang dan lakonan.

Saya titipkan tugasan khas untuk mereka semua, dan seawalnya saya menguji mereka dalam program sahabat islam yang berbentuk ala usrah bersilibeskan badar pada setiap isnin untuk semua ajk.

Melihat anggota yang masih focus dan berinspirasi, ia memberi semangat kepada saya .
Mampukah saya ??

Moga allah mempermudahkan jalan dakwah dan hidayah ini

No comments:

Post a Comment