Thursday, January 7, 2010

Mencari Kebenaran Hujjah

“Hajat saya ingin berjumpa tuhan, saya nak mencari tuhan sampai jumpa” jelas seorang pelajar saya.

Ustaz pernah berjumpa dan lihat tuhan?? Tanyanya lagi menggamit perhatian saya.

Tegang suasana baru disekolah dan rutin yang serba luarbiasa bertambah dengan soalan cepuemas para pelajar saya ini, menambah beban pemikiran saya.

Mereka yang memasuki sekolah ini bukanlah antara yang terbaik dibidang agama, bahkan ramai yang memasukinya atas alasan akademik dan medium bahasa inggeris yang ditawarkan beserta kemasyhuran sekolah yang berjaya mencecah usia ke 100 tahun ketika ini.

Mereka adalah pelajar yang bersekolah rendah di aliran yang sama dan kemudiannya meningkat ke sekolah menengah juga di La Salle atau di St Xavier.

Biasanya berketurunan cina, India dan sedikit warga melayu yang bersekolah disini.

Begitulah juga yang beragama islam, sukar hendak dibezakan antara mereka kecuali yang menghadiri kelas agama dan amali disurau sekolah.

“Kenapa kita perlu solat, Ustaz ? Kalau sekadar untuk berdoa kepada tuhan kenapa harus tuhan wajibkan 5 waktu tertentu buat kita ??” tambahnya menyerang saya dengan soalan yang pelbagai.

Seorang pelajar yang anti islam, berketurunan cina, memasuki agama islam setelah ayahnya berkahwin dengan ibunya yang islam. Namun perceraian berlaku, mengakibat keduanya mengambil jalan membuangnya untuk hidup menumpang dengan datuk dan neneknya.

Gemar minum arak semenjak dari tingkatan satu, panas baran dan gemar bergaduh adalah perwatakan asal pelajar ini.apatah lagi didikannya dirumah ialah makian, pukulan dan deraan tanpa kasih sayang.

“Memang kita tidak pernah melihat Allah, dan pancaindera kita tidak mampu untuk melihatnya.” Muqaddimah saya memulakan bicara.

“Kita takkan mampu bertemu tuhan tapi perjalanan hidup kita harus berteraskan mencari kebenaran” Terlintas di fikiran saya keteguhan Kisah Saidina Salman Al Farisi mencari iman dan kebenaran sepanjang hayatnya, hingga akhirnya ia ditemukan dengan hidayah Islam yang mengangkat mulia darjatnya.

Kalau ada seorang lelaki kaya menghulurkan duit sebanyak seribu ringgit kepada kita dengan pesannya supaya kita dapat menyiram bunga kesayangannya setiap hari, apa yang kita akan buat…. Menurut dan melaksanakan pesanannya atau kita ambil duitnya dan abaikan perintahnya.

Orang yang bijak pastinya akan melaksanakan tugasannya itu kerana itu tanda dan cara ia mahu mengucapkan terima kasih kepada tuannya. Mematuhi dan bersyukur pada tuhan seharusnya meletakkan ketaatan kita melebihi kehendak dan nafsu kita.

Bila allah menyuruh kita bersolat 5 waktu, itu tandanya Allah ingin mengintai siapa diantara hambanya yang lebih baik dan tahu bersyukur, yang mampu mematahkan keinginan nafsu dan akalnya untuk tunduk mematuhi perintah tuhannya.

Itulah Allah, tuhan pencipta yang seharusnya kita tunduk melaksanakan perintahnya dengan penuh syukur berterima kasih diatas segala nikmatnya.

Manusia yang bijak tidak perlu diugut dengan bencana untuk mentaati tuhan, tahu menghargai budi dan jasa tuhan pun sudah cukup untuk menjadikan diri kita selalu sujud kepadanya.

Ya, ustaz .. saya suka berfikir secara rasional begini dan saya akan terus berusaha mencari tuhan, ops kebenaran… tuntasnya lagi.

Perjalanan hidupnya yang berliku sebelum ini ditempuhinya dengan gagah, hari ini saya kenalinya sebagai manusia yang ingin mencari kebenaran, selalu solat dan ingin meninggalkan segala episode hitam dalam hidupnya.

Sukakan rasional dan hujjah adalah sikapnya dalam memilih kebenaran, meminati islam dan cuba mendalaminya.

Moga allah memberkatinya dan memberi hidayah kepada pelajar saya ini, tidak lupa kepada para ustaz dan tuan2 guru yang telah berjaya memimpin pelajar ini yang telah jauh tersasar dalam hidup atheis dan kebudayaannya yang bertentangan dengan islam sebelum ini.

Moga Allah mempermudahkan.

No comments:

Post a Comment