Saturday, January 2, 2010

Dakwah di Alam Maya

Meniti Maudhuk Dakwah

Dakwah adalah satu seni.

Mengajak manusia kepada agama adalah satu tanggungjawab.

Usaha kearahnya adalah satu tuntutan yang tidak pernah luntur keatas setiap umat manusia.

Bahkan dakwah adalah lambang kemuliaan peribadi dan umat ini.

Dakwah juga fleksibel dan hidup bersama bahasa zaman.

Kreativiti, kesungguhan dan keikhlasaan adalah pra syarat kejayaan dakwah.

Hidayah dan Kreativiti

Namun hidayah allah adalah kemuncaknya kerana dakwah tidak akan berlaku dan berjaya tanpa petunjuk dan restu dari tuhan.

Tapi jangan pula kita berlapik alasan dengan bercakap dan melontarkan sahaja bahasa dakwah kemana sahaja, kalau ada yang menyambut itukan hidayah tuhan.kalau tidak mungkin bebal dan kebodohan sendiri sahaja.

Dakwah juga memerlukan idea dan kreativiti mengikut jalur aturan zaman.

Kerana itu saya amat bersetuju bila suatu hari kotak email saya diterjah dengan posting mesej ini.

Ia datangnya dari seorang kawan lama yang pernah menghuni bumi sabah dengan idea dakwahnya.

Kesungguhannya dalam bidang penulisan dan ICT menjadikan kumpulan Usrah Likas kami menjadi lebih segar dengan kupasan dan hand out yang sentiasa beredar untuk kami menghadam bincang dan menjadi buah tangan rujukan dikala pulang.

Ia juga mudah dibawa kesana kemari untuk sama menjelajah bumi sabah membawa citra dakwah nun kepenghujung sipitang mahupun semporna.

Dan ulasannya ini bukannya sembrono kerana ia hadir bersama reaksi kajian dan respon pengalaman dakwahnya.

Mungkin ada yang berguna dalam ulasan teksnya dan bagi saya ianya cetusan idea dan tuntutan usaha dakwah yang bukan kecil untuk direalisasikannya.

Keupayaan berdakwah secara maya masih terhad
Oleh Najahudin Lateh


Fobia kepada teknologi, kurang tenaga jejas usaha penyampaian ilmu Islam dalam internet

DAKWAH adalah usaha menyampai, mengajak atau menyeru manusia mengenali, menerima dan menghayati Islam yang dilaksanakan melalui kaedah, teknik dan pendekatan tertentu. Galakan untuk berdakwah terbuka kepada seluruh umat Islam. Begitu juga Islam sebagai agama yang fleksibel tidak mengehadkan pendakwah untuk menggunakan kaedah tertentu dalam proses dakwah. Malah, mereka digalakkan menggunakan medium terbaik sesuai pada sesuatu zaman dan tempat.

Dakwah talian terus online adalah kaedah dakwah secara tidak langsung, iaitu pendakwah tidak bertemu secara fizikal dengan mad'u. Dakwah ini biasanya berlaku melalui internet ataupun komunikasi lain seperti telefon bimbit. Dakwah kaedah ini tidak mensyaratkan seorang pendakwah itu mahir dalam komunikasi atau mempunyai ilmu Islam banyak. Malah, sesiapa saja boleh menjadi pendakwah. Yang penting dalam dakwah online adalah bahan dakwah bukannya siapa yang menyiarkannya.
Walaupun begitu, dakwah maya sebegini juga mempunyai pelbagai cabaran dan hambatan tertentu. Kita perlu mengakui internet sebagai lebuh raya maklumat berakar umbi di dunia Barat. Ia tidak terlepas daripada nilai, falsafah dan gaya hidup mereka di sana. Justeru, proses penyaringan input yang diperoleh perlu dibuat sebelum penyebarannya kepada umum. Kadang-kadang maklumat dan bahan yang terdapat dalam internet sebenarnya dihasilkan oleh orientalis, pengembang agama dan musuh Islam untuk mengelirukan dan memecahbelahkan umat. Kaedah asas dengan merujuk sumber primer dan sekunder seperti al-Quran, hadis dan karya ulama perlu dilakukan. Ini belum dikira hambatan luaran seperti kemunculan pelbagai fikrah, ideologi, dakyah palsu, sebaran fitnah, gambar atau video pornografi di alam maya.

Dari aspek pendakwah, sebenarnya ramai yang masih takut dan fobia kepada teknologi. Kekurangan tenaga ini sedikit sebanyak menjejaskan usaha penyampaian ilmu Islam di internet yang secara realitinya masih dikuasai dengan bahan yang tidak bermanfaat. Ini ditambah dengan kurangnya pendakwah yang boleh menguasai bahasa Inggeris menyebabkan dakwah kita terpinggir dan masih di kandang sesama kita. Lebih malang, anggapan bahawa dakwah kerja eksklusif ustaz serta ulama saja dan bukannya setiap individu Muslim masih wujud di sanubari umat Islam.

Ada pelbagai aplikasi boleh digunakan dalam dakwah online melalui internet.
Antara yang popular adalah melalui e-mel (seperti Yahoo! Mail dan Gmail), laman sembang (seperti Yahoo! Messenger, ICQ dan Skype), diskusi kumpulan (seperti Yahoogroups dan Googlegroups) dan laman web. Selain itu, bahan ceramah, kuliah atau simulasi Islam boleh dikongsi dan disalurkan ke seluruh dunia secara audio atau video. Webtv sebagai contohnya begitu popular di kalangan remaja sekarang. Laman webtv seperti youtube.com, metacafe.com dan video.google. com sangat mudah digunakan dan yang penting ia boleh digunakan percuma.
Ada pelbagai bentuk laman web dakwah dalam internet. Ada berbentuk web portal dan forum perbincangan Islam, namun kebanyakannya dalam bentuk weblog. Di Malaysia, laman web dakwah agak berkurangan, terutama yang mengandungi kandungan isinya dalam Bahasa Inggeris. Secara umum, laman web dakwah di Malaysia biasanya diuruskan individu dan berbentuk weblog. Namun, kebanyakan weblog itu dibina di atas tapak web secara percuma seperti blogger.com (blogspot) dan wordpress.com. Hanya sedikit saja menggunakan tapak berbayar.

Realitinya, hasil penelitian melalui laman alexa.com menunjukkan tiada satu pun laman web berbentuk dakwah atau elemen Islam yang tersenarai dalam 100 laman web popular di Malaysia. Hanya lima laman web disenaraikan paling popular di Malaysia ialah iluvislam.com (kedudukan 373 di Malaysia), islam.gov.my (1,270), zaharuddin.net (1,254), saifulislam. com (1,386) dan halaqah.net (2,706). Malah, laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seharusnya dipuji kerana ia satu-satunya laman web di Malaysia, malah di dunia yang beroperasi dalam empat bahasa, iaitu Melayu, Inggeris, Arab dan Cina.

Hakikatnya, dakwah melalui internet dan secara online mempunyai potensi yang besar. Namun, keupayaan umat Islam di negara ini untuk memaksimumkan penggunaan medium ini masih kurang. Seharusnya mulai sekarang semua pendakwah Islam mempunyai laman web atau weblog sendiri yang beroperasi secara aktif, menarik dan mudah diakses. Institusi dakwah Islam juga mesti sentiasa kemas kini dengan maklumat dan interaksi kepada isu Islam semasa. Jika ini dibuat, nescaya aktiviti dakwah semakin maju dan meluas ke seluruh dunia.

INTI PATI

Islam tidak mengehadkan pendakwah untuk menggunakan kaedah tertentu dalam proses dakwah. Malah, mereka digalakkan menggunakan medium terbaik sesuai pada sesuatu zaman dan tempat.

Dakwah melalui internet dan secara online mempunyai potensi yang besar, namun kekurangan tenaga ini sedikit sebanyak menjejaskan usaha penyampaian ilmu Islam di internet.


Penulis ialah pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dan boleh dihubungi e-mel, najahudin@salam. uitm.edu. my

No comments:

Post a Comment