Sunday, January 24, 2010

Keunggulan Keluarga Pencetus Minda Kelas Pertama

Antara Teks Syarahan MTQ yang mungkin boleh dikongsi dan dimanfaatkan buat semua.

KEUNGGULAN KELUARGA PENCETUS MINDA KELAS PERTAMA


Keunggulan Keluarga ditakrifkan sebagai institusi keluarga yang gah, terbilang.dan berjaya mewujudkan biah solehah bertepatan dengan ajaran Islam.

Pencetus Minda Kelas pertama pula ialah pemangkin generasi ulul al-bab yang mampu bersaing
dipersada dunia.

Wacana Fikrah Pertama: Keluarga Beriman Tonggak Negara Terbilang.

Keluarga yang ditunjangi keimanan sudah tentu berada pada landasan hidup yang sebenarnya bertepatan dengan Sabda Rasulullah S.A.W:
تركت فيكم أمرين ما إن تمسكتم بهما لن تضلوا ابدا كتاب الله وسنة رسول لله
-Rawahu Al-Bukhari.
Imbau kembali, penderitaan penuh azab yang ditanggung keluarga Yasir bin Amir oleh tuan mereka Abi Huzaifah Al-Mughirah. Lantaran mempertahankan kalimah tauhid, sang isteri Sumayyah binti Khabbat dipakaikan baju rantaian besi, dijemur di tengah terik mentari padang pasir dan akhirnya tengkuknya ditikam dengan lembing sehingga gugur syahid. Tapi malangnya hari ini, lantaran rapuhnya tunjang akidah dalam institusi keluarga, jiwa ummah dirobek rakus ajaran sesat Ayah Pin tersasar mencari Tuhan serta kebiadaban Black Metal memijak al-Quran.Jelaslah keluarga yang jitu imannya menjadi paksi negara yang sejahtera.

Wacana Fikrah Kedua: Keluarga PenyayangTonggak Negara Terbilang.

Rasulullah tontonan terbaik, seorang suami, bapa serta datuk yang penyayang, memanggil isteri Baginda Aisyah dengan panggilan penuh manja, Humaira’ ya Humaira’, manakala belakang baginda menjadi tunggangan cucu kesayangan Husin dan Hasan. Bertepatan dengan sabda Baginda:
ارحموا ترحمون
-Rawahu Al-Bukhari
Tetapi yang amat menyedihkan hari ini, kes perceraian, penderaan dan pembuangan bayi,serta sumbang mahram merobohkan keutuhan institusi keluarga.Masih hangat, berita harian 2 Mac 2007 mendedahkan seorang ibu Rosniza Ibrahim didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau atas dakwaan menjerut dua anak menggunakan wayar seterika sehingga mati.Lantaran kepincangan inilah, Datuk Seri ShahrizatAbdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menggariskan 10 Prinsip Keluarga Bahagia untuk memperkasakan institusi keluarga. Nah terbuktilah, keluarga penyayang pemangkin negara yang terbilang.

Wacana Fikrah Ketiga: Keluarga Berwawasan Dan Berdaya Saing Tonggak Negara Terbilang.
Kepercayaan yang teguh terhadap Qadha' dan Qadar mencetuskan muslim yang gigih berusaha, berdaya saing serta tidak menyalahkan takdir semata-mata menjadikan mereka berdiri sama tinggi, duduk sama sebaris dengan orang lain.Kecekalan seorang ibu tunggal Maimunah Sulaiman 57,penjual lontong untuk melihat anak-anaknya berjaya ternyata tidak sia-sia apabila kelima-lima anaknya berjaya ke universiti dan beliau telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hihrah Melaka 1428h, kategori Ibu Mithali awal tahun baru-baru ini.Ini amat bertepatan dengan firman Allah:
( فاستبقوا الخيرات )
Imbau kembali, sebenarnya sifat melihat ke depan dan berdaya saing ini, telah ditonjolkan tokoh-tokoh ilmuwan terdahulu seperti Ibnu Batutah yang sanggup mengorbankan tenaga, harta dan masa, belayar mengelilingi dunia demi meluaskan penguasaan ilmu.Justeru, ayuh wahai keluarga berwawasan cekalkan hati dan pandang jauh ke depan demi negara yang terbilang.

Wacana Fikrah Keempat:Keluarga Yang Jujur Dan Amanah Tonggak Negara Terbilang.
Keluarga yang dipupuk dengan sifat jujur dan amanah akan melahirkan masyarakat yang jujur kepada Allah, diri sendiri dan orang lain sekaligus terhindar daripada segala unsur penipuan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.Jikalau hadhirin masih ingat, agenda pertama yang dilaungkan Perdana Menteri kita sebaik sahaja memegang tampuk pemerintahan negara adalah memerangi rasuah serta penyalahgunaan kuasa. Sehingga kini beliau sentiasa mempopularkan slogan “bekerja bersama saya” bagi melahirkan ummah yang amanah. Ini amat bertepatan dengan konsep al-Ihsan sepertimana digambarkan Rasulullah:

( أن تعبد الله كأنك تراه وإن لم تكن تراه فإنه يراك )
Imbau sahaja sifat jujur dan amanah Omar Abdul Aziz , yang sanggup bergelap bila membicarakan urusan keluarga kerana tidak mahu menggunakan harta kerajaan serta jujurnya seorang perempuan di zaman pemerintahan Omar Al-Khattab, yang tidak sanggup mencampurkan susu dengan air walau diperintah ibunya sendiri. Jelaslah keluarga yang jujur dan amanah tonggak kesejahteraan negara.

Wacana Fikrah Kelima: Keluarga Berdaya Kepimpinan Unggul Tonggak Negara Terbilang.
Kesibukan menerajui tampuk pemerintahan negara bukanlah batu penghalang untuk baginda menjadi ketua keluarga mithali.Bertepatan dengan sabda Baginda :
( خيركم وخيركم لأهله وانا خيركم لأهلي ) – رواه الترمذي
Biah solehah yang diwujudkan seperti penekanan terhadap penguasaan ilmu, akhlak terpuji yang disemai, serta kasih sayang yang melimpah ruah terhadap anak isteri ternyata membuahkan keluarga bahagia.Kejayaan Rasulullah memimpin keluarga dapat dilihat bilamana baginda berjaya mendidik Sayyidatina Aisyah sehingga menjadi tempat rujukan utama ummah setelah kewafatan Baginda .Daya kepimpinan kedua cucunya Husin dan Hasan juga dapat dilihat sejak kecil lagi, apabila dengan berhikmah mereka menegur orang tua yang tidak betul wudhu’nya. Kempen rumahku syurgaku, budi bahasa budaya kita, serta hormat pada yang tua sayang pada yang muda merupakan langkah bijak kerajaan menyahut seruan Rasulullah untuk melahirkan institusi keluarga yang utuh.Terbuktilah, keluarga yang berketerampilan serta berkemimpinan mampu memartabatkan negara.

Wacana Fikrah Keenam: Keluarga Yang Penyabar Tonggak Negara Terbilang.
Dunia ini pentas ujian dan cubaan.Keluarga yang ditunjangi sifat sabar yang tinggi sahaja mampu menghadapi segala gelombang konflik yang berlaku. Firman Allah dalam surah Al-Mulk : ayat 2:
ي    

Imbau sahaja, kesabaran serta kecekalan rasul-rasul ulul azmi yang begitu kental menghadapi ujian daripada kaum mereka serta betapa cekalnya hati seorang ibu tua daripada Bani Dinar yang redha dengan kematian ayah, suami dan anaknya sebaik sahaja dikhabarkan mereka gugur di medan Uhud.Berkat kesabaran serta menginsafi nasib keluarga, yang saban hari melihat di depan mata sendiri keperitan bapa sebagai tukang kebun sekolah, Mohd Khairul Azhar Mat Jurit, pelajar Sekolah Menengah Tanah Merah 2, muncul antara pelajar terbaik STPM Negeri Kelantan 2006. Justeru, bersamalah menyemai benih kesabaran yang jitu dalam keluarga demi negara yang terbilang.

Wacana Fikrah Terakhir: Keluarga Berakhlak Terpuji Tonggak Negara Terbilang.
Ini amat bertepatan dengan motif utama pengutusan Rasulullah untuk memurnikan akhlak manusia.
إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
Lantaran pincangnya rumah tangga, maka lahirlah ummah yang rosak akhlaknya seperti budaya punk, mat rempit, serta vandalisme.Justeru hiasi keluarga dengan akhlak terpuji demi negara yang harmoni.

Sepilah Adam tanpa Hawa, gelitalah malam tanpa purnama, dan pincanglah negara tanpa keluarga yang gemilang. Ayuh bersama memperkasakan institusi keluarga demi negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

1 comment:

  1. that's was a perfect text i have read in my life..i like it..
    <3

    ReplyDelete