Wednesday, January 20, 2010

Melayan Aspirasi Agama Luahan Ust Shamsuri



Alam Berubah Ganjil

Petang itu, suasana alam seperti asing. Pekan kecil yang dulunya tenang dengan rutin biasa , hari ini berubah riak dan wajahnya.

Perkarangan masjid didatangi penjaja jalanan yang agak ramai sejak jam 4.30 petang lagi.

Berbeza dengan pasar malam mingguan setiap rabu, tempat jualannya ini menghampiri pagar masjid. Ada yang menjual air, keropok, makanan ringan, pakaian malahan buku dan cd ceramah juga kelihatan diatur penuh berseni di atas meja kaunter jualan.

Awan berarak tenang, membawa bersama sinar senja ke penghujungnya.

Gelap malam mula memenuhi pekat ruang angkasa. Hanya kerdil sinar bulan menerangi buana.

Namun di Masjid Taqwa, Taman Sardon ini, suasana agak berbeza. Suluhan terang memenuhi ruangan masjid, dengan ahli jamaah yang pada andaian saya mencecah 700 orang hadir kerumah allah di malam ini tidak terkecuali saya.

Hati dilanggar ceria

Malam ini, minda dan hati diceriakan dengan kedatangan UST Shamsuri Hj Ahmad ke Masjid ini sempena ceramah bulanannya. Rupanya al Fadhil Ustaz mengadakan ceramah bergerak dari masjid ke masjid untuk memberi ilmu dan hujjah agama.

Bersamanya, ada pendengar setia yang sentiasa mengekori langkah Ust Shamsuri tak kira dimana ceramahnya berlabuh. Mereka hadir membawa hati dan iman, mereka ingin dididik dengan ilmu dan ketakwaan.

Menggunakan Kitab Tafsir Nurul Ihsan, beliau menghamburkan penerangan tentang kalam allah dengan penuh berhemat dan berhikmah.

Hadis Muqaddimah

Antara mukaddimahnya yang suka saya kongsikan disini ialah :

“ Kisah seorang sahabat nabi yang telah dimuliakan dengan janji syurga, bernama Said bin zaid, adik ipar kepada Saidina Umar al Khattab, beliau telah difitnah oleh seorang wanita bernama Arwa’, terfitnah sebagai perampas tanah perempuan itu secara zalim dan penipuan. Lalu ketika berita ini sampai ke pengetahuan Marwan Bin Al Hakam, khalifah islam ketika itu , beliau dipanggil dan disoal siasat.

Beliau dengan tegas berkata : adakah aku yang akan merampas tanah perempuan itu, sedangkan telinga aku sendiri masih terngiang-ngiang sabda nabi SAW yang menyatakan : sesiapa yang mengambil tanah orang lain secara zalim (tidak sah) walaupun sejengkal, allah akan menghempas diatas kepalanya tanah dari 7 lapis bumi.

Dan demi allah, sekiranya permepuan ini sengaja berdusta kepada aku : Ya allah, aku pohon supaya dia tidak bertemu dengan kematian kecuali engkau butakanlah matanya dan matikanlah dia terhina di atas tanahnya sendiri.

Lalu setelah lama berlalu, perempuan itu didapati meninggal dalam keadaan buta terjerumus didalam perigi buta di tanahnya sendiri”


Takutlah dosa kepada Allah, walaupun kecil.

Jangan sesekali menyakiti hati mereka yang dikasihi Allah, buruk padahnya,

Doa orang yang dizalimi tidak ada pendinding daripada Allah.

Mulianya manusia apabila mentaati perintah allah dan rasulnya.

No comments:

Post a Comment