Tuesday, January 19, 2010

Program Sahabat Islam - mengisi medium tarbiyah

" Ditimpa badai konflik yang bukan sedikit, mereka dipaksa untuk mengucap kata kufur mendustakan keesaan Allah.

Jumlah yang sedikit tidak memungkinkan mereka melawan secara fizikal, namun menyerah untuk terjerumus kelembah jijik mensyirikkan allah tidak sama sekali.

Mereka membawa diri berkelana dalam gelap malam, seolah lari dari gelap kekufuran. Mereka bertemu kerana Allah, berpadu dan bersatu, mengangkat fikrah dan tindakan yang sama.

Mereka lebih rela memilih gua sempit menyelamatkan iman dari dunia luas tanpa sempadan yang merobohkan kemuliaan hati dan harga diri mereka.

Disanalah mereka disemadikan dalam lena tidur yang panjang, ditemani anjing karib yang diangkat mulia agama ini hanya kerana bertemankan manusia soleh.

Lena mereka tidak terganggu, misi menyelamatkan aqidah mereka akhirnya berjaya.

Dan rencana Allah selepas 309 tahun bagi menobatkan kenyataan bahawa kekuasaan Allah mampu menghidupkan manusia selepas mati menjadi kontroversi nyata dan reality benar pada mata mayarakat tika itu.

Merekalah pemuda Islam yang berkelana membawa iman sebagai pakaian.

Merekalah organisasi islam yang berjuang dalam pandangan dan tindakan yang sama.

Merekalah pemuda ashabul kahfi".


Begitulah antara muqaddimah saya membawa penegasan dan gagasan saya dalam mengukuhkan sebuah persatuan pelajar islam disekolah ini.

Persatuan yang bukan hidup pada nama tapi mulia pada keanggotaan,wawasan dan aktiviti yang mampu membangkit jiwa sedar manusia untuk kembali menganut Islam dengan rasa bangga dan segar.


Program Sahabat Islami
– itulah nama aktiviti mingguan yang saya cuba ketengahkan dalam memberi didikan informal dan tarbiyah kepada pelajar saya.

Berbentuk ala usrah dan menggunakan silibes BADAR, saya merancang untuk mempelbagaikan aktivitinya bukan sekadar tazkirah dan pembentangan. Saya bercadang untuk melampirkan permainan, zikir rohani dan public speaking sebagai momentum tarikan utamanya.

Julung kalinya, ia dihadiri lebih 19 pelajar. Dari riak wajah mereka, saya pasti mereka anak2 islam yang mengharapkan bimbingan dan sokongan.

Usia rebung sebegini memerlukan mereka lebih memahami dan mengamalkan agama, bekalan pada usia matang nanti.

Berjanjilah pada diri sendiri dan Allah, Aku mahu masuk syurga !! Jelas saya menamatkan program.

Biar perasaan ini berbunga dihati mereka, biar mereka rindukan keindahannya, biar mereka mencarinya, biar mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya satu hari nanti.

Bukankah Allah pernah berkata : Barangsiapa yang mengharapkan untuk bertemu dengan Allah (pastinya didalam syurga), maka laksanakanlah amalan yang soleh dan janganlah kotorinya dengan syirik (dan dosa) kepada Allah dengan sesiapapun.

Inilah method saya, memberikan tabsyir (berita gembira) untuk semua merasakan hampirnya kasih dan rahmat Allah kepada kita, disamping sentiasa ingat bahawa Inzar (amaran) dari Allah yang mampu mengazab manusia derhaka dan memilih kecelakaan.

Sabda Nabi : Yassiru wala tua’ssiruu, basyyiruu wala tunaffiruu.

Permudahkanlah dan jangan dipersusahkan, khabarkan kegembiraan dan jangan jauhkan manusia dari kebenaran.

Moga Allah menunjukkan jalan hidayah kepada kita.

No comments:

Post a Comment