Monday, January 11, 2010

Islam Menjuarai Toleransi

Konflik Cemas

Berita pembakaran gereja sedang meribut tatkala ini.

Walau ia cuba diredakan dengan jaminan polis dan pihak keselamatan, cetusan dan percikan amarahnya sedang menumpah kearah sekolah mubaligh sama ada yang dikelolakan secara persendirian atau bantuan kerjaan.

Dinihari ini, saya tergamam mendengar respon berita penularannya kesebuah sekolah Menengah Kebangsaan Convent di Taiping.

Entahlah mengkin bahangnya nanti akan merebak dan menyala tak jauh dari pintu pagar sekolah saya nanti.

Dalang Memerangi Rasul

Siapakah dalang yang memerangkap kesempatan dalam kekerohan yang berlaku ini?

Pastinya ia adalah Golongan yang menggadaikan maruah agama serta sanggup berdepan dengan cercaan Allah dan rasul.

Bukankah satu ketika dulu, Rasulullah SAW pernah melontarkan sabda agungnya dalam mengulit perpaduan antara agama ini tanpa prejudis. Hingga nabi sanggup berkata : Siapa yang sanggup menyakiti seorang kafir zimmi, maka sesungguhnya dia telah menyakiti aku.

Dan Allah mengisytiharkan pula peperangan dan persengketaan terhadap golongan yang memushi rasul dan ajarannya. “Siapa yang memusuhi wali dan kekasihku, maka aku sesungguhnya mengizinkan perang terhadapnya.

Episod sengketa dan percubaan meracuni damai persaudaraan sememangnya sejak sekian lama berlangsung. Antara dua agama yang bersumberkan wahyu samawi yang sama ini.

Bahkan ianya berlangsung dalam setiap abad untuk menjadi saksi bisu sejarah kepada umat yang mengerti.

Menoleh tinta sejarah lama, Rasul juga pernah meletakkan penanda aras persaudaraan ini.

Melalui pengalaman Hijrah, rasul merencanakan aman perlindungan melalui tangan penguasa Kristian yang berhati mulia, bukannya melalui jaminan bangsa arab yang bersaudara dan bersekutu dengannya.

Menyorot Ibrah Toleransi Islam

Saya tertarik dengan penulisan Ust Ahmad Irfan Kamal Hisyam ini yang mencoret rentetan sejarah lama yang menjadi bukti asas bahawa Islam agama toleransi dan persaudaraan. Hanya mereka yang tulus beragama sahaja yang mengecapi makna sebenar perpaduan.

Islam adalah agama yang dipenuhi dengan semangat toleransi dengan agama yang lain. Hubungan Islam khususnya dengan agama samawi (ahlul kitab) yang lain, iaitu Kristian dan Yahudi juga mempunyai keistimewaan tersendiri. Dengan sebab itulah kita dibenarkan memakan haiwan sembelihan mereka dan juga Muslim lelaki dibenarkan mengahwini perempuan ahlul kitab.

Akan tetapi, hubungan Islam dengan penganut agama Kristian adalah lebih rapat berbanding dengan penganut agama Yahudi. Fakta ini jelas termaktub di dalam surah al-Maidah ayat 82:

Demi desungguhnya engkau (Wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. dan Demi Sesungguhnya Engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” Yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.

Ketika menjelaskan ayat ini, al-Marhum Syeikh Mutawalli Sha’rawi menjelaskan yang kebenaran betapa rapatnya hubungan Kristian dengan Islam dibuktikan sejak zaman awal dakwah nabi Muhammad sendiri. Ketika baginda dan para sahabat dizalimi oleh Quraish Makkah, nabi Muhammad mencadangkan para sahabat untuk menyelamatkan diri buat sementara di bawah pemerintah Habshah bernama Raja al-Najashi yang tebal anutan Kristiannya.

Sabda nabi Muhammad:
إن بها ملكاً لا يُظلم عنده أحد فأقيموا ببلاده حتى يجعل الله لكم مخرجاً مما أنتم به

Di sana ada seorang raja yang tidak pernah seorang pun dizalimi olehnya, maka menetapkan kamu di negaranya sehinggalah Alah menjadikan kamu sebab untk keluar darinya.

Beberapa orang sahabat senior di bawah pimpinan Ja’far bin Abu Talib menuruti arahan Nabi Muhammad untuk berhijrah ke sana. Adalah benar, Raja al-Najashi adalah seorang pemerintah Kristian yang adil, dan memberikan hak kebebasan beragama kepada penganut agama lain termasuklah kepada Muslim yang ketika itu baru sahaja muncul kembali di muka bumi. Para sahabat yang tinggal di Habshah disifatkan sebagai tinggal di Dar al-Amn, iaitu bumi yang aman dan selamat, sehingga dicemburui oleh pembesar kafir Quraisy yang lain.

Kedengkian Quraisy menyebabkan mereka sanggup untuk menghasut Raja al-Najashi untuk mengusir Ja’far bin Abu Talib bersama sahabat yang lain. Lalu diutuskanlah Amru bin Al-’As, Abdullah bin Abi Rabi’ah dan ‘Imarah bin al-Walid bin al-Mughirah, dan menaburkan fitnah terhadap imigran Muslim dengan menyatakan mereka adalah pemberontak yang menyeleweng daripada agama nenek moyang mereka. Mereka juga menghasut pemerintah Kristian itu dengan menyatakan yang Islam mengajar fakta yang berbeza dengan Kristian mengenai isu Jesus.

Adakah Raja al-Najashi percaya bulat-bulat dengan hasutan Pertubuhan Musyrikin Mekkah Bersatu itu? Jawapannya tidak sama sekali. Sebaliknya, sebagai manifestasi terhadap keadilan beliau, al-Najashi telah memanggil Ja’far bin Abi Talib untuk memberikan penjelasan. Lalu Ja’far bin Abu Talib menjelaskan,

Wahai Raja, kami dahulu hidup di dalam Jahiliyyah. Menyembah berhala, makan bangkai, melakukan perbuatan keji, memutus tali persaudaraan, menyakiti hati jiran, yang kuat memakan harta yang lemah. Kami hidup dalam keadaan demikian sehinggalah diutuskan seorang Rasul yang kami ketahui keturunannya, kebenarannya, amanahnya dan kasih sayangnya. Baginda menyeru kami mengesakan dan menyembah Allah dan meninggalkan cara sembahan kami sebelum ini terhadap batu dan berhala. Baginda menyeru kami berkata benar, menunaikan amanah, menyambung tali persaudaraan, berhubung baik dengan jiran …. Akhirnya kami dimusuhi qaum kami sendiri, lantas mereka menyeksa dan memfitnah kami supaya kami kembali menyembah berhala dan berhenti menyembah Allah serta kembali kepada perbuatan keji. Lantas apabila kami dipulau, diseksa dan diboikot oleh mereka, maka keluar berpindah ke negara kamu wahai al-Najashi. Kami memilih kamu berbanding negara atau pemerintah yang lain, kerana kami telah mengharapkan yang diri kami tidak akan dizalimi oleh kamu.

Setelah menyelidik kata-kata Ja’far, serta membuat analisa pandangan Islam terhadap Jesus/Isa, maka Raja al-Najashi tidak langsung mempedulikan hasutan musyrikin Quraish tadi.

Ada beberapa perkara yang wajar kita perhalusi di sebalik penjelasan Ja’far di atas. Yang pertamanya, ialah beliau berdakwah secara halus dan bijaksana kepada orang Kristian tanpa langsung mencari titik perbezaan, akan tetapi mengusahakan noktah persamaan. Sebelum ke UK, saya langsung tidak nampak hikmah di sebalik kata-kata Ja’far ini. Akan tetapi setelah terlibat di dalam program dakwah dengan rakyat tempatan (termasuklah yang atheist dan terutamanya penganut Kristian) dan juga dialog antara agama dengan mereka, barulah saya nampak kehebatan Ja’far. Iaitulah beliau menyebut ‘menghormati jiran’ di dalam penjelasannya, yang mana amalan menghormati jiran ini adalah satu amalan yang paling penting di dalam agama Kristian. Bahkan rakan Kristian saya pernah menyatakan di dalam kepercayaan mereka, dengan hanya menghormati jiran, maka akan mencukupi untuk mendapat kesejahteraan di dalam agama mereka.

Dalam banyak-banyak elemen mahmudah yang kecil di dalam Islam, elemen menghormati jiran yang dipilih oleh Ja’far, sebagai membuktikan betapa dalam berdakwah, mencari titik persamaan adalah penting.

Selain itu, kata-kata Ja’far juga membuktikan kebenaran firman Allah mengenai baiknya hubungan Islam dengan Kristian. Nabi Muhammad boleh sahaja mengarahkan para sahabat awal ketika itu untuk mendapatkan perlindungan daripada kabilah bangsa Arab lain yang mungkin bermusuh dengan kabilah Quraisy lantas memungkinkan kedua-dua pihak bersatu atas dasar bermusuh dengan musyrikin Quraisy, akan tetapi bukan itu yang dipilih oleh Nabi. Akan tetapi diarahkan para sahabat untuk bernaung di bawah kerajaan Kristian.

Akrabnya hubungan Islam dan Kristian seperti yang dianjur dan ditunjukkan sendiri oleh Nabi Muhammad menjadi inspirasi kepada pelapis baginda. Di zaman Saidina Umar, empayar Islam telah semakin meluas menjangkaui Semenanjung Tanah Arab. Antara yang berjaya dibuka oleh Saidina Umar ialah Jerusalem, yang ketika itu lebih dikenali sebagai Aeliya’.

The Old City of Jerusalem adalah merupakan pusat pemerintahan kerajaan Rom Timur ketika itu. Di situlah letaknya tapak al-Masjid al-Aqsa, dan situ jugalah terletaknya gereja suci Holy Sepulchre. Holy Sepulchere adalah merupakan gereja paling suci di dalam agama Kristian. Di situlah mereka percaya terletaknya ‘kubur’ Jesus, dan di situ jugalah mereka percaya yang Jesus akan dibangkitkan kelak. Semasa Umar membebaskan The Old City of Jerusalem, Holy Sepulchre turut menjadi istana pemerintahan kerajaan Kristian ketika itu. Yang menjadi pemerintah ketika pembebasan Jerusalem ialah Patriarch Sophronious.

Kita mengetahui dalam beberapa akaun sejarah yang Patriarch Sophronious, sama seperti Muslim, cuba untuk mengelakkan berlakunya pertumpahan darah di dalam Jerusalem. Menghidu awal kekalahan Rom Timur, Patriach Sophronious mengibarkan bendera putih menyerah kalah, akan tetapi dengan syarat bahawa beliau hanya menyerahkan kunci kota lama itu kepada Saidina Umar. Ada laporan sejarah menyatakan bahawa pembebasan Jerusalem di tangan Saidina Umar memang telah diramalkan dan termasuk di dalam prophecy Kristian ketika itu.

Penyerahan Jerusalem kepada Muslim dilakukan dalam suasana penuh persaudaraan. Umar dipelawa untuk bersembahyang Asar di dalam Holy Sepulchre. Akan tetapi beliau menolak, kerana khuatir akan ada kelompok Muslim akan datang yang zalim akan merampas gereja suci tersebut, kerana kononnya Umar pernah solat Asar di situ. Lalu Umar bersembahyang di luar Holy Sepulchre, dan di tapak beliau solat itu sekarang didirikan Masjid Umari yang masih berdiri teguh sekarang. Masjid Umari itu didirikan bersebelahan dengan Holy Sepulchre.

Ini adalah keadilan dan toleransi Islam untuk agama lain. Dalam suasana berperang, kita dilarang merampas rumah ibadat orang lain. Apatah lagi di dalam konteks hubungan baik dengan agama Kristian, Umar sejak dari awal menutup pintu yang memungkinkan kelompok Muslim akan datang yang jahil dengan agama sendiri, daripada bertindak zalim terhadap hak agama lain di dalam negara Islam.

Tidak cukup dengan itu, walaupun lama berperang dengan tentera Muslim, akan tetapi tentera dan penduduk asal Kristian di Jerusalem semasa zaman Rom Timur diberikan jaminan oleh Umar untuk tidak dihalau. Bahkan hak kerakyatan mereka dikekalkan, dan mereka diberikan kebebasan menikmati apa yang mereka lakukan semasa pemerintahan Rom Timur dengan syarat yang adil.

Kunci Holy Sepulchre masih dipegang oleh keluarga Muslim

Sepanjang pemerintahan Islam, hubungan Kristian dan Muslim amat rapat di dalam Jerusalem. Mereka turut dilantik menjadi menteri di dalam kabinet ketika itu.

Bahkan, percayanya penganut Kristian kepada keadilan Islam terbukti apabila mereka menyerahkan kunci utama Holy Sepulchre untuk dipegang oleh Muslim. Dan tradisi itu diteruskan sehinggalah ke zaman sekarang. Kunci gereja suci itu masih dipegang oleh keluarga Muslim sekarang, diketuai oleh Wajeeh Nusaibah

Sila lawati blognya di http://abidfana.com

No comments:

Post a Comment