Friday, January 22, 2010

Tugasan Awal

Tugasan awal di sekolah baru ini menuntut saya lebih focus dalam berperancangan.

Beberapa sisi kelemahan mula tampak kelihatan sama ada disudut gerak aktiviti persatuan, mahupun amali akademik dan pengurusan panitia. Ianya sesuatu yang lumrah dalam pengurusan namun perlu diperbetulkan segera.

Ikatan dan halatuju yang tidak jelas menyaksikan persatuan pelajar terarah hanya dengan satu aktiviti nasyid dan kompang sahaja untuk menarik ahli dan mengisi takwim tahunan persatuan, pengurusan fail pula masih diperingkat baru dan banyak dokumen malahan fail yang kosong, ianya perlu ditangani segera apatah lagi surat pemantauan dari jabatan pelajaran pulau pinang sudah menjenguk meja saya.

Rombongan akan datang menziarahi kami dalam nada salam perkenalan dan lebih tepat lagi pemantauan atas gerakerja panitia dan guru selama ini.

Maka terpaksalah saya sedikit kelam kabut menyiapkan apa yang patut untuk menutup lompang yang ada.

Kalau setakat menjawab dengan lisan, itu kerja senang bagi saya, namun mengorek tembus mencari kesilapan kedalam pengurusan dokumentasi dan fail adalah kelemahan utama saya.

Sebelum ini betapa saya tidak tahu melakukan tawaran pembelian semudah nota minta, tidak juga pandai menyusun dan mengemaskini fail yang biasanya diuruskan oleh Ustz Noraini selaku setiusaha tetapnya. Dan sebagai bendahari, ust norzam lebih cekap menyusun kewangan.

Saya hanya berpengalaman mencari dana dan menjana ikatan kesatuan organisasi sahaja. Memikirkan program dan mengisinya adalah kepakaran saya.

Tapi disini, jawatan sebagai ketua kepada panitia islam yang dianggotai oleh dua orang sahaja menuntut saya melakukan segalanya.

Dengan azimat pengalaman lama berkhidmat mungkin, saya perlu bersedia untuk melunaskan segala tuntutannya, membetulkan kesilapan yang ada, menambah yang kurang dan menyerikan yang suram.

Moga saya berjaya mengharunginya.

Antara tugasan yang diberikan kepada saya kali ini ialah menyiapkan pasukan MTQ sekolah untuk menyertai dan memeriahkan acara itu nanti.

Dengan perasaan senang hati saya cuba untuk menerimanya dan berlapang dada

Namun, bagi saya pasukan ini bukan sekadar penyeri dan pak pacak seperti hang cangkul lagaknya.

Kita akan mengharungi MTQ ini dengan azam dan tekad, kita hadir sebagai pencabar bukannya si muka tebal iaitu mereka yang sudah kalah sebelum bertanding.

Dan ini cabaran untuk kita semua, seru saya meniup semangat juang anak-anak persatuan pelajar Islam St Xavier ini.

No comments:

Post a Comment