Sunday, January 24, 2010

INSAN BERKUALITI MENJANA MASYARAKAT HADHARI

INSAN BERKUALITI MENJANA MASYARAKAT HADHARI

Bismillahirahmanirahim……..
Assalamualaikum wrt….
Alhamdulillah…..............................................

Yang dimuliakan saudara pengacara majlis, barisan panel hakim yang
menjunjung panji keadilan, penjaga masa seterusnya warga dewan yang
dirahmati Allah.

Tampilnya saya di pentas ini adalah untuk menyampaikan syarahan yang
bertajuk ‘INSAN BERKUALITI MENJANA MASYARAKAT HADHARI’Terlebih dahulu izinkan saya mendefinisikan satu persatu tajuk syarahan saya pada pagi ini.

Frasa “Insan berkualiti” adalah merujuk kepada individu yang bermutu dan cemerlang.
Manakala frasa ”masyarakat hadhari” pula adalah tunggak dan pendukung kearah melahirkan masyarakat cemerlang.

Wacana fikrah pertama "Insan Beriman Dan Bertakwa Teras Masyarakat Hadhari".

Hadhirin-hadhirat, pengabdian diri dengan sepenuh hati terhadap segala perintah Allah sudah tentu bertitik tolak daripada keimanan yang utuh, kemudian dipancarkan melalui kesungguhan amalan melahirkan ummah cemerlang bertepatan dengan penegasan Allah dalam Surah al-Mu'minun ayat 1 :
( قد أفلح المؤمنون )

Keimanan dan ketakwaan yang teguh inilah penyelamat Bilal bin Rabah daripada lembah kekufuran biarpun diazab penuh dahsyat oleh tuannya. Iman yang mantap dan teguh inilah yang memperkasakan jatidiri ummah dan menyelamatkan mereka daripada gejala negatif seperti penagihan dadah, pelacuran serta pergaulan bebas.Statistik dadah kebangsaan 2004 menunjukkan 90% penagih terdiri daripada remaja muslim.Nah! terbuktilah iman dan takwa teras masyarakat hadhari memacu kecemerlangan ummah.


Wacana fikrah kedua " Insan Berakhlak MuliaTeras Masyarakat Hadhari".
Ini amat bertepatan dengan motif utama pengutusan Rasulullah ke muka bumi demi memurnikan akhlak manusia sebagaimana Sabda Baginda :

( إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق )

Terpancarlah keutuhan akhlak dan sahsiah terpuji Rasulullah melalui karektor beliau sebagai seorang pemimpin negara yang beretika, seorang sahabat yang prihatin serta ketua keluarga yang penyayang.Imbau sahaja keindahan akhlak Rasulullah dengan pemuda Yahudi yang kencing di dalam Masjid Nabawi,Baginda tidak memarahi pemuda tersebut bahkan baginda sendiri membasuhnya menyebabkan pemuda tadi memeluk Islam di hadapan Baginda. Lihatlah hari ini lantaran kerapuhan akhlak, remaja kita dirobek rakus oleh budaya punk , black metal memuja syaitan serta vandalisme meranapkan hartabenda awam.Ternyata akhlak mulia tonggak ummah bertamadun.

Wacana fikrah ketiga "Insan Berjiwa Merdeka Teras Masyarakat Hadhari".
Ini amat bertepatan dengan prinsip Islam Hadhari Ketiga "Rakyat Berjiwa Merdeka".

Hadhirin-hadhirat,

Lantaran goyahnya iman , jiwa dan jatidiri remaja muslim kita dijajah rakus gejala negatif seperti penagihan dadah, pelacuran serta seks bebas.Statistik dadah kebangsaan 2004 menunjukkan 90% penagih adalah remaja muslim bukti penjajahan terhadap jiwa dan identiti ummah oleh unsure-unsur negatif.Sabda Rasulullah :

(لا يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلا يَسْرِقُ السَّارِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ
مُؤْمِنٌ وَلا يَشْرَبُ الْخَمْرَ حِينَ يَشْرَبُهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ)-
Imbau sahaja kisah Rabiatul A'dawiyyah ,lantaran kemantapan iman beliau berjaya membebaskan jiwa daripada cengkaman kemaksiatan bertukar kepada perempuan sufi idaman sepanjang zaman.Bersamalah kita memerdekakan diri daripada cengkaman gejala sosial demi masyarakat hadhari tercinta.


Wacana fikrah keempat "Insan Berilmu Teras Masyarakat Hadhari"
amat bertepatan dengan prinsip Islam Hadhari keempat "Penguasaan Ilmu Pengetahuan. Beriman tanpa ilmu sesat.Inilah yang belaku kepada pengikut ajaran sesat Ayah Pin serta black metal memuja syaitan, lantaran kedangkalan ilmu mereka tersesat mencari Tuhan.Ini amat bertepatan dengan konsep Iqra' yang dianjurkan oleh dalam surah Al- A'laq ayat 1-3 :

( اقرأ باسم ربك الذي خلق . خلق الإنسان من علق . اقرأ وربك الأكرم
الذي علم بالقلم )

Konsep Iqra' yang diperkenalkan Rasulullah inilah yang mengeluarkan masyarakat Jahiliyyah daripada cengkaman kejahilan serta kebangkitan Tamadun Baghdad dan Andalusia menguasai dunia..Imbau kembali,kesungguhan Imam Mazhab yang empat menerokai pelbagai cabang ilmu meninggalkan khazanah berharga menjadi rujukan ummah sepanjang zaman..Mantapkan diri kita dengan ilmu demi ummah cemerlang ,gemilang dan terbilang.

Wacana fikrah kelima"Insan Berdaya Saing Teras Masyarakat Hadhari "

Kepercayaan yang teguh terhadap Qadha' dan Qadar mencetuskan muslim yang gigih berusaha, berdaya saing serta tidak menyalahkan takdir semata-mata menjadikan mereka berdiri sama tinggi, duduk sama sebaris dengan bangsa lain.Keazaman membara serta keyakinan yang tinggi kepada Allah menjadi kunci kejayaan Datin Paduka Mazlina ,wanita pertama di dunia belayar secara solo di Benua Antartika ,namanya gah terukir dipersada dunia.Ini bertepatan dengan seruan Allah:
( فاستبقوا الخيرات )
Sebagai contoh, imbau masa lampau, lantaran suburnya sifat berdaya saing serta berlumba-lumba dalam penerokaan ilmu muncullah nama besar seperti Ibnu Sina perintis ilmu matematik, al Khawarizmi perintis ilmu astronomi serta Ibnu Batuta ahli pelayaran tekemuka. Nama mereka meniti dibibir sepanjang zaman.Justeru, marilah kita suburkan sifat juang serta daya saing yang tinggi untuk kita berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain.

Wacana Fikrah terakhir "Insan Beramanah Dan Jujur Teras Masyarakat Hadhari ".

Dengan ketakwaan yang tinggi akan melahirkan rasa muraqabah Allah dalam segenap urusan hidup lantas tertegaklah konsep Al ihsan:

( أن تعبد الله كأنك تراه وإن لم تكن تراه فإنه يراك )

Imbau sahaja betapa jujur dan amanahnya seorang pemimpin bergelar Omar Abdul Aziz , yang sanggup bergelap bila membicarakan urusan keluarga kerana tidak mahu menggunakan harta kerajaan.Bilamana menyuburnya benih amanah dalam jiwa ummah maka lahirlah insan yang jujur kepada Allah, diri sendiri dan orang lain sekaligus terhindar daripada segala unsur penipuan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.Jikalau hadhirin masih ingat, agenda pertama yang dilaungkan Perdana Menteri kita sebaik sahaja memegang tampuk pemerintahan adalah memerangi rasuah serta penyalahgunaan kuasa.Ingatlah, tanpa jujur dan amanah hancurlah ummah.
Konklusinya, tidak tertegak rumah tanpa tiang, tidak tertegak agama tanpa iman, dan tidak tertegak masyarakat hadhari tanpa peribadi unggul.Justeru hiasi diri dengan senyuman, hiasi masyarakat hadhari dengan peribadi unggul, pasti cerialah hidup.

1 comment: